𝗛alal kekal kuasa Jakim, Malaysia tak gadai prinsip syariah dan piawaian halal negara – Menteri Agama

KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa Malaysia berkompromi terhadap standard halal negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar menegaskan, dakwaan tersebut adalah tidak benar dan boleh menjejaskan reputasi serta integriti Sistem Pensijilan Halal Malaysia yang telah diiktiraf di peringkat antarabangsa.

“Saya menegaskan bahawa kerajaan Malaysia melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa Malaysia berkompromi terhadap standard halal negara. Dakwaan tersebut adalah tidak benar dan boleh menjejaskan reputasi serta integriti Sistem Pensijilan Halal Malaysia yang telah diiktiraf di peringkat antarabangsa.

“Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa Malaysia kekal tegas dalam mempertahankan kedaulatan dan keutuhan standard halal negara.

“Sistem pensijilan halal Malaysia terus menjadi penanda aras global dan diterima pakai oleh banyak negara Islam serta bukan Islam di seluruh dunia,” kata Na’im dalam kenyataan pada Jumaat.

Terkait 𝙋𝙚𝙧𝙠𝙖𝙧𝙖 2.5 𝙋𝙚𝙧𝙟𝙖𝙣𝙟𝙞𝙖𝙣 𝙋𝙚𝙧𝙙𝙖𝙜𝙖𝙣𝙜𝙖𝙣 𝙈𝙖𝙡𝙖𝙮𝙨𝙞𝙖-𝘼𝙢𝙚𝙧𝙞𝙠𝙖 𝙎𝙮𝙖𝙧𝙞𝙠𝙖𝙩 beliau berkata, perlu ditegaskan bahawa Malaysia tidak sesekali berkompromi terhadap Standard Halal Malaysia.

“Mana-mana badan pensijilan halal luar negara, termasuk dari Amerika Syarikat, tetap tertakluk sepenuhnya kepada prosedur, syariah, dan standard halal Malaysia.

“Perkara 2.5 hanya memperuntukkan penggunaan logo halal daripada badan pensijilan yang diiktiraf oleh JAKIM bagi tujuan pentadbiran dan kelancaran proses kelulusan. Namun demikian, semua proses pengauditan, pemantauan dan pengesahan akhir berada sepenuhnya di bawah kawalan JAKIM.

“Manakala bagi 𝙋𝙚𝙧𝙠𝙖𝙧𝙖 2.6 𝙋𝙚𝙧𝙟𝙖𝙣𝙟𝙞𝙖𝙣 𝙋𝙚𝙧𝙙𝙖𝙜𝙖𝙣𝙜𝙖𝙣 𝙈𝙖𝙡𝙖𝙮𝙨𝙞𝙖-𝘼𝙢𝙚𝙧𝙞𝙠𝙖 𝙎𝙮𝙖𝙧𝙞𝙠𝙖t – bagi abattoir (loji sembelihan) yang menghasilkan produk daging dan ayam untuk dieksport ke Malaysia, kelulusan halal hanya diberikan selepas melalui pengauditan mengikut Malaysian Standard dan The Malaysian Protocol for Halal Meat & Poultry Production,” ujarnya.

Jelas beliau, pengauditan tersebut mesti dilaksanakan dengan kehadiran sekurang-kurangnya dua pegawai Syariah daripada badan pensijilan halal yang diiktiraf, dan laporan audit itu pula akan diperakukan oleh Jawatankuasa yang dilantik oleh JAKIM.

Menurut Menteri Agama itu lagi, sebarang badan pensijilan halal luar negara yang ingin mengekalkan status pengiktirafan oleh JAKIM mesti mematuhi sepenuhnya semua keperluan Malaysia termasuk aspek syariah, keselamatan, kebersihan dan prosedur audit tanpa sebarang pengecualian.

“Pengiktirafan terhadap sijil halal dari Amerika Syarikat tidak bermaksud kelonggaran standard halal Malaysia. Sebaliknya, ia hanya mempercepatkan urusan pentadbiran bagi memperkukuh hubungan perdagangan dua hala. Semua produk import tetap tertakluk kepada audit JAKIM, pemantauan berkala, serta peruntukan Akta Perihal Dagangan 2011, bagi menjamin integriti dan ketelusan sistem halal negara.

“JAKIM memastikan bahawa standard pensijilan halal Malaysia kekal utuh dan tidak akan dikompromi dalam apa jua keadaan. Pengiktirafan mana-mana badan pensijilan luar negara hanya diberikan selepas melalui proses audit menyeluruh yang menilai tahap pematuhan terhadap Standard Halal Malaysia.

“Segala perjanjian antarabangsa yang ditandatangani oleh Malaysia tertakluk kepada pemakaian peraturan sedia ada di dalam negara. Sebarang penambahbaikan hanyalah bagi mempercepatkan proses pentadbiran, tanpa menjejaskan prinsip dan ketegasan standard halal Malaysia.

“Selaras dengan prinsip “dualist system”, komitmen Malaysia di bawah perjanjian antarabangsa hanya berkuat kuasa setelah diterjemahkan ke dalam undang-undang domestik.

“Pendekatan ini memastikan kelancaran urusan perdagangan tanpa mengorbankan prinsip syariah dan piawaian halal negara,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat