Oleh Zihan Zari
JITRA – Ke arah reformasi aduan buli Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memperkenalkan fungsi aduan anonim (tanpa nama) bagi melindungi identiti pengadu dan saksi dalam Portal Aduan Buli.
Selain itu, saluran aduan alternatif menggunakan sistem chatbot melalui pelantar ‘Digital Educational Learning Initiative Malaysia’ (DELIMa) ke arah reformasi aduan buli, kata Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Hal Ehwal Murid, Bahagian Pengurusan Sekolah Harian KPM, Hirudin Mohit.
Katanya, audit keselamatan pada masa ini giat dilaksanakan di institusi pendidikan dan asrama di bawah KPM secara menyeluruh oleh Jemaah Nazir, ianya antara strategi menangani salah laku buli.
Beliau berkata demikian dalam Sesi Townhall Antibuli Peringkat Negeri Kedah dan Perlis anjuran Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Auditorium Seri Perdana Institut Aminuddin Baki, Cawangan Utara (IABCU) dekat sini, pada Khamis.
Hirudin berkata KPM akan menambah baik skop keselamatan kemas kini garis panduan keselamatan termasuk tatacara menangani kes buli supaya relevan dengan keperluan semasa.
“KPM juga akan menubuhkan Jawatankuasa Reformasi Keselamatan yang menggabungkan pakar akademik, badan bukan kerajaan, pakar kanak-kanak, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Sektor Swasta Dalam Pendidikan (PIBKS) dan agensi kerajaan bagi memperkasakan keselamatan di sekolah, ”katanya.
Dalam masa yang sama, Pesuruhjaya Kanak-Kanak, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Prof Madya Dr. Mohd Al Adib Samuri berkata
buli adalah satu ancaman yang serius kepada keselamatan, kesihatan mental dan masa depan kanak-kanak. Di dapati trend ini semakin meningkat saban tahun.
“Ketika ini, Malaysia masih lagi belum ada lagi satu akta khusus untuk menangani buli, yang ada sekarang hanyalah peraturan yang bersifat peraturan disiplin di peringkat sekolah atau undang-undang umum sepertimana pindaan yang dibuat oleh BHEUU bagi akta Kanun keseksaan Seksyen 507,”katanya.
Turut membentangkan, Pengarah Seksyen Reformasi Undang-Undang, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang BHEUU JPM, Mohd Amiruddin Hamzah mengenai Reformasi Undang-Undang di bawah RUU Antibuli 2025.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah BHEUU JPM, Datuk Zamri Misman berkata sesi ini diadakan bagi mendapatkan suara pandangan bagi membantu merangka undang-undang tribunal anti-buli yang baharu dan mengukuhkan strategi pencegahan buli.
Beliau berkata RUU Antibuli bukan menghukum semata-mata tetapi lebih kepada pemulihan yang memfokuskan kepada usaha pemulihan kepada semua pihak yang terlibat bukan sahaja melibatkan mangsa, malah pelaku sendiri.
Sesi libat urus awam RUU di sini merupakan siri ke-12 dan yang terakhir diadakan telah menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk wakil jabatan dan agensi kerajaan, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), warga pendidik, pentadbir sekolah serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
BHEUU kini sedang dalam proses untuk memuktamadkan RUU ini dijangka akan dibentangkan di Parlimen pada Disember ini, merupakan inisiatif penting kerajaan dalam memperkenalkan kerangka perundangan khusus untuk menangani isu buli secara holistik merangkumi aspek pencegahan, perlindungan mangsa dan pemulihan pelaku. -SUARA.TV



