KUALA LUMPUR – PAS melantik dua bekas pemimpin Umno iaitu Tan Sri Annuar Musa dan Datuk Seri Shahidan Kassim menyertai barisan Ahli Jawatankuasa (AJK) Kerja PAS Pusat.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengumumkan mengenai lantikan itu dibuat melalui kenyataan media malam tadi.
Beliau berkata, pelantikan dibuat hasil Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat berlangsung semalam berdasarkan kepada peruntukan Fasal 25 dan Fasal 26 Perlembagaan parti.
Shahidan yang juga Ahli Parlimen Arau dan Annuar selaku bekas Ahli Parlimen Ketereh meninggalkan Umno pada 2022 selepas keahlian mereka dibatalkan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu.
Annuar yang juga bekas Setiausaha Agung Umno disahkan sebagai ahli PAS pada Jun lalu, sementara Shahidan yang juga bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan mempertahankan Parlimen Arau.
Selain Shahidan dan Annuar, Takiyuddin melalui kenyataan sama turut menyenaraikan tujuh nama lain menyertai barisan AJK Kerja PAS Pusat.
Mereka ialah bekas Ahli Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga, Mohd Yusni Mat Piah; ADUN Melor, Wan Rohimi Wan Daud; bekas AJK PAS Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki; Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh; ADUN Sijangkang, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dan bekas calon Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Dr Mohd Mazri Yahya
PAS turut mengumumkan 14 nama membarisi jawatan Pesuruhjaya Negeri/ Wilayah Persekutuan.
Mereka ialah Mohd Shukri Ramli (Perlis), Datuk Ahmad Saad@Yahaya (Kedah), Datuk Ahmad Yakob (Kelantan), Datuk Husain Awang (Terengganu), Muhammad Fauzi Yusoff (Pulau Pinang), Razman Zakaria (Perak), Rosli Abdul Jabar (Pahang), Datuk Dr Ab Halim Tamuri (Selangor), Azhar Yahya (Wilayah Persekutuan), Rafiei Mustapha (Negeri Sembilan), Zulkifli Ismail (Melaka), Abdullah Husin (Johor), Dr Aliakbar Gulasan (Sabah) dan Jofri Jaraiee (Sarawak).