SHAH ALAM – Bekas pemimpin Pas, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mengingatkan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengenai keputusan Muzakarah Majlis Syura Ulamak yang sepakat mengekang kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menerusi hantaran di laman Facebook pada Isnin, Mohd Khairuddin dilihat turut mengucapkan penghargaan kepada Takiyuddin susulan kenyataan Menteri Tenaga dan Sumber Asli itu yang mengingatkan beliau bukan lagi ahli Pas.
“Terima kasih sahabatku Datuk Seri Takiyuddin. Kita kekal bersaudara meski berbeza.
“Musuh politik kita bersama ialah PH sebagaimana diputuskan oleh Muzakarah Majlis Syura Ulamak bertarikh 30 Disember 2021 berhubung kewajipan mengekang kemenangan PH sebagai matlamat pertama bagi PRU15 agar tidak berulang ancaman 22 bulan PH,” katanya.
- Bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS Seru Undi BN Jika Mahu Halang Mudarat PH
- PAS Syukur BN Menang PRN Melaka, UMNO Sahabat MN Kita – Mursyidul Am PAS
- PRN Melaka: Pemimpin PAS Kecewa Ahli Sokong BN, Akan Saran Parti Pecat Keahlian
Sebelum ini Takiyuddin dilaporkan menyelar kenyataan penyandang kerusi Parlimen Kuala Nerus itu bahawa ahli Pas perlu mengundi BN selain menganggap tidak layak memberi nasihat kepada parti.
Pada Ahad, Mohd Khairuddin menyeru ahli-ahli Pas mengundi BN bagi mengelak kemungkinan timbul sebarang mudarat sekiranya PH menang.
Beliau berkata, ia bukan bermakna ahli Pas tidak istiqamah dengan parti mereka, sebaliknya tindakan itu bertujuan menghilangkan mudarat yang sepatutnya dilakukan dengan muafakat Pas dan UMNO. – Sinar