RMK13 bukan retorik, Malaysia menuju negara berpendapatan tinggi, KDNK disasar 4.5 – 5.5 peratus – PM

KUALA LUMPUR – Rencana Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) bukanlah sekadar retorik, sebaliknya kerajaan telah menetapkan sasaran keberhasilan yang boleh diukur melalui angka-angka ekonomi, untuk memandu dan memantau gerak kerja yang akan dilaksanakan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, 5 tahun mendatang adalah tempoh kritikal untuk Malaysia melonjak bukan hanya ke arah negara berpendapatan tinggi, malah mampu melahirkan rakyat berjiwa insaniah dan menyediakan kehidupan berkualiti.

“Tidak boleh tidak, RMK13 akan menjadi titik tolak kepada usaha kita, dengan tema Melakar Semula Pembangunan demi mengangkat martabat rakyat. Ikhtiar ini bukan untuk kita semata, tapi yang lebih utama, buat generasi yang akan mewarisi tanah air ini.

“Bagi menggapai hasrat ini, RMK13 akan menumpukan kepada tiga kebijakan utama.

“Pertama – Tatakelola baik menjadi paksi kepada pentadbiran negara dalam memastikan kekayaan negara diagihkan secara adil dan saksama serta mengambil kira keperluan rakyat. Kerajaan Madani akan meneruskan usaha untuk memperkukuh integriti dan akauntabiliti, mempertingkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam serta memantapkan pengurusan fiskal.

“Kedua – meningkatkan kerencaman ekonomi secara menyeluruh kepada penciptaan nilai dalam semua sektor ekonomi. Peralihan ini bermatlamat untuk memperkukuh kedudukan ekonomi negara, umpama menaikkan siling atau bumbung. Tunjang utama peralihan ini adalah pendigitalan dan teknologi termaju, terutama kecerdasan buatan (AI).

“Penekanan akan diberikan kepada pembangunan industri HGHV dan sektor strategik yang bernilai tinggi, pertumbuhan yang terangkum, mampan dan seimbang, serta pengukuhan kedudukan Malaysia di persada ekonomi dunia. Justeru, budaya mencipta menjadi agenda terpenting dalam melonjakkan penghasilan produk dan perkhidmatan tempatan yang berdaya saing.

“Ketiga – Pembangunan yang terangkum dan responsif dengan keutamaan untuk meningkatkan darjat kehidupan rakyat. Usaha akan dipergiat untuk membantu rakyat menangani beban kos sara hidup, membentuk sistem sosial negara berteraskan insan Madani, mempertingkatkan mutu kehidupan serta memperkukuh tahap sosioekonomi golongan sasar ke arah mencapai kehidupan wajar,” katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.

Menyedari cabaran trend mega dan isu kelemahan struktur ekonomi, maka asas ekonomi Malaysia perlu dirungkai semula justeru Anwar berkata, ekonomi negara tidak boleh hanya bergantung kepada pengeluaran bahan asas dalam sektor pertanian, perindustrian dan perkhidmatan.

“Kita perlu melonjakkan kerencaman ekonomi dengan beralih kepada penciptaan nilai dalam semua sektor ekonomi.

“Kemajuan ekonomi ini tidak akan lengkap dan mungkin pincang jika meninggalkan aspek kerohanian dan nilai insaniah. Kedua-duanya adalah peri penting untuk membentuk sebuah sistem sosial negara yang lebih baik dan terangkum ke arah menjadi Negara Bangsa yang berdaulat dan bermaruah serta disegani,” katanya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata lagi, dalam tempoh RMK13, pertumbuhan KDNK disasarkan antara 4.5 hingga 5.5 peratus setahun, diterajui oleh permintaan domestik, terutama penggunaan dan pelaburan swasta.

Manakala katanya, eksport kasar negara dijangka meningkat sebanyak 5.8 peratus setahun dengan peluang perdagangan yang lebih luas.

“Sektor perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan kekal sebagai sumber utama pertumbuhan yang disumbang oleh peralihan kepada ekonomi berasaskan penciptaan nilai.

“Defisit fiskal Kerajaan Persekutuan dijangka berkurang secara berperingkat di bawah 3 peratus kepada KDNK dan paras hutang Kerajaan tidak melebihi 60% kepada KDNK. Pendapatan negara kasar (PNK) per kapita disasarkan meningkat kepada RM77,200 dan dijangka —melepasi nilai ambang negara berpendapatan tinggi.

“Pasaran buruh negara dijangka bertambah baik dengan bahagian pampasan pekerja kepada KDNK mencapai 40 peratus, manakala kadar pengangguran mencapai tahap guna tenaga penuh menjelang 2030. Kadar inflasi juga dijangka kekal stabil dalam lingkungan 2 hingga 3 peratus setahun,” katanya.

Selain itu, Anwar memberitahu bagi menjayakan RMK13, pelaburan sebanyak RM611 bilion perlu disediakan. Daripada jumlah ini, peruntukan pembangunan daripada kerajaan dianggarkan berjumlah RM430 bilion, manakala pembiayaan daripada GLC dan GLIC berjumlah RM120 bilion. Sokongan pihak swasta pula, melalui kaedah perkongsian awam swasta (PPP) adalah sebanyak RM61 bilion.

“Daripada peruntukan RM430 bilion tersebut, lebih daripada separuh iaitu sebanyak RM227 bilion akan disalurkan kepada sektor ekonomi sebagai tunjang utama pertumbuhan negara.

“Sektor sosial turut diberi keutamaan. RM133 bilion diperuntukkan dengan sektor pendidikan menerima RM67 bilion, manakala sektor kesihatan diperuntukkan RM39 bilion.

“Sektor keselamatan pula akan diperuntukkan RM51 bilion, manakala sektor pentadbiran akan menerima RM17 bilion. Agihan strategik ini mencerminkan komitmen Kerajaan untuk memacu pembangunan negara secara menyeluruh dan berimpak tinggi,” ujarnya.

Dengan berjayanya kebijakan ikhtiar ini, menjelang 2030, Anwar berkata, kita bukan sekadar memiliki pencapaian material yang hebat dan mampu mengeluarkan produk bernilai tinggi, malah kita juga mempunyai rakyat yang berjiwa besar, hidup bersatu padu, saling menghormati kepelbagaian budaya dan memiliki jati diri yang utuh. Inilah impian Malaysia Madani.

“RMK13 harus menjadi milik semua – setiap individu, masyarakat, sektor swasta dan kerajaan berganding bahu dan teguh bergerak di landasan pembangunan yang dihasratkan demi mengangkat darjat, harkat dan martabat rakyat,” tegas Perdana Menteri.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat