Ancaman COVID-19, Dewan Rakyat ditunda

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Mesyuarat Khas Dewan Rakyat pada Isnin ini ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

Menerusi notis dikeluarkan Setiausaha Dewan Rakyat Nizam Mydin Bacha Mydin kepada Ahli-ahli Dewan Rakyat bertarikh hari ini, pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat telah dimaklumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung penangguhan persidangan berkenaan selaras Peraturan Mesyuarat 11(3) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

“Penangguhan ini adalah selaras dengan cadangan Ketua Pengarah Kesihatan (Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah) serta penilaian risiko semasa yang telah dijalankan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

“…susulan perkembangan terbaharu penularan jangkitan COVID-19, yang mana KKM berpendapat bahawa Parlimen Malaysia merupakan lokaliti berisiko berlakunya penularan jangkitan itu,” demikian menurut notis itu.

Menurut notis itu juga, setiausaha Dewan Rakyat memaklumkan beliau telah diarahkan oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon untuk mengemukakan pemberitahuan itu kepada Ahli-ahli Dewan Rakyat untuk tidak bersidang pada Isnin ini.

Semalam, Dr Noor Hisham dalam kenyataan berkata 11 kes positif COVID-19 dikesan di Parlimen ketika berlangsungnya persidangan berkenaan, dengan 10 kes positif dikesan melalui Kit Ujian Rapid Antigen (RTK Ag) menggunakan air liur, manakala satu lagi menerusi ujian saringan Tindak Balas Berantai Polimerase Masa Nyata (RT-PCR).

Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 itu dijadual berlangsung selama lima hari mulai 26 hingga 29 Julai dan 2 Ogos bagi Dewan Rakyat, manakala bagi Dewan Negara pula ditetapkan selama tiga hari mulai 3 Ogos.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,555FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat