Takiyuddin wajar menghadap Agong, mohon maaf – Nazri Aziz

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menzahirkan dukacita terhadap tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengumumkan pembatalan enam Ordinan Darurat tanpa mendapat perkenan Seri Paduka Baginda, ternyata menggemparkan negara.

Titah Al-Sultan Abdullah pada Khamis lalu menyebabkan tumpuan seluruh pemerhati politik negara terarah kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama ahli Kabinetnya.

Dan sudah pasti, kritikan paling kuat tentunya datang daripada barisan ahli Parlimen pembangkang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menuntut Muhyiddin bersama jemaah menteri dan Speaker Parlimen, Datuk Azhar Azizan Harun melepaskan jawatan.

Bagaimanapun, seorang ahli Parlimen UMNO yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mempunyai sudut pandang berbeza berhubung krisis kerajaan PN-Istana Negara ketika ini.

Memetik wawancara eksklusif SINAR HARIAN PREMIUM, bersama Nazri bagi mendapatkan penjelasan beliau berhubung polemik terbaru politik negara ini.

SINAR PREMIUM (SP): Apakah sebenarnya punca masalah yang berlaku dalam proses pembatalan enam Ordinan Darurat yang diumumkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) lebih awal daripada tarikh penamatan Proklamasi Darurat pada 1 Ogos? Hal ini menyebabkan Yang di-Pertuan Agong menzahirkan rasa dukacita dan menganggap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengeluarkan kenyataan mengelirukan Dewan Rakyat.

NAZRI AZIZ: Daripada semua proses teknikaliti perundangan, apa yang diputuskan oleh Jemaah Menteri, perkara diperjelaskan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa melalui sebuah rakaman video serta penzahiran rasa dukacita yang dititahkan Yang di-Pertuan Agong, semuanya betul dan berlandaskan Perlembagaan Persekutuan.

Di mana silapnya? Silapnya apabila Menteri Undang-Undang telah mendahului keputusan Seri Paduka Baginda. Itu sahaja silapnya. Hal ini kerana apabila Annuar menjelaskan usaha kerajaan untuk membatalkan enam Ordinan Darurat masih dalam proses…kenyataan itu tepat.

Yang dimaksudkan beliau ‘dalam proses’ adalah kerajaan sedang menunggu perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk menandatangani surat pembatalan Ordinan Darurat berkenaan. Namun oleh kerana Takiyuddin telah mendahului Seri Paduka Baginda, sudah tentu perkara itu tidak kena dan mendukacitakan Al-Sultan Abdullah disebabkan baginda belum lagi menandatanganinya.

SINAR PREMIUM: Dari satu sudut, bila Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) menjawab persoalan penamatan Ordinan Darurat lebih awal bertarikh 21 Julai lalu di dalam sidang Parlimen, adakah jawapan Takiyuddin yang dianggap mendahului Yang di-Pertuan Agong itu, dalam pengetahuan Perdana Menteri dan Jemaah Kabinet?

NAZRI AZIZ: Sewaktu sidang Parlimen berlangsung, pemahaman Perdana Menteri dan Jemaah Kabinet ketika itu adalah keputusan penamatan enam Ordinan Darurat oleh kerajaan PN sebenarnya masih dalam proses menunggu perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk dibatalkan.

Hal ini disebabkan Yang di-Pertuan Agong belum memperkenankan keputusan pembatalan itu. Jadi kalau pada 26 Julai lalu, Takiyuddin tidak mendahului keputusan perkenan Seri Paduka Baginda, maka kerajaan PN tidak berdepan sebarang masalah dengan proses pembatalan Ordinan Darurat sememangnya mengikut aturan ditetapkan.

Tindakan beliau mendahului Yang di-Pertuan Agong seolah-olah mahu membelakangkan bidang kuasa yang diperuntukkan terhadap Seri Paduka Baginda. Konklusinya, penerangan Tan Sri Annuar Musa adalah tepat, titah penjelasan Yang di-Pertuan Agong juga adalah tepat.

Sememangnya Perdana Menteri dan Jemaah Kabinet sendiri tidak menyangka Takiyuddin akan mengeluarkan jawapan yang mendahului bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong. Hal ini disebabkan perkara itu berlaku sewaktu pertanyaan Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo kepada Speaker Parlimen, Datuk Azhar Azizan Harun.

Sepatutnya tidak ada keperluan kepada Menteri Undang-Undang menzahirkan perkara yang belum mendapat perkenan Seri Paduka Baginda. Tetapi Takiyuddin melakukan kesilapan dengan segera bangun menjawab pertanyaan Gobind Singh melalui pemberian jawapan kontroversi berkenaan.

Justeru, perkara ini memang silap menteri, bukan silap Perdana Menteri, bukan silap Jemaah Kabinet, jauh sekali silap Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong.

SINAR PREMIUM: Dalam konteks sekarang, bila Yang di-Pertuan Agong menzahirkan rasa dukacita terhadap kerajaan PN susulan isu pembatalan Ordinan Darurat tanpa melalui sesi perbahasan, adakah Perdana Menteri juga perlu meletak jawatan?

NAZRI AZIZ: Bagi saya, perkara ini tidak membabitkan integriti Perdana Menteri. Sebaliknya, Menteri Undang-Undang yang perlu bertanggungjawab di atas kesilapan yang beliau lakukan. Status kedudukan kerajaan PN juga tidak terkesan memandangkan krisis berlaku di antara kerajaan PN dan Yang di-Pertuan Agong masih boleh diselesaikan secara belakang tabir.

Perdana Menteri tidak boleh mengambil tanggungjawab meletak jawatan kerana Jemaah Menteri tidak membuat keputusan untuk memaklumkan pembatalan Ordinan Darurat lebih awal sebelum mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Jadi, sekali lagi yang buat silap adalah menteri dan beliau perlu dengan mengambil tanggungjawab itu secara jiwa besar.

SINAR PREMIUM: Adakah kesilapan Takiyuddin memberi kesan besar kepada kerajaan PN dari sudut nilai moral? NAZRI AZIZ: Tidak ada kesan negatif kepada kerajaan PN dari sudut nilai moral dan integriti. Sebaliknya isu yang timbul disebabkan kesilapan individu dan individu berkenaan perlu mengambil tanggungjawab berkenaan.

Beliau perlu melakukan apa yang perlu bagi membersihkan nama kerajaan. Sekiranya Takiyuddin terus berdiam diri, maka Perdana Menteri dan kerajaan PN akan berada pada posisi sukar bagi mempertahankan integriti kerajaan itu sendiri.

SINAR PREMIUM: Datuk Seri, adakah terdapat permintaan daripada ahli-ahli Parlimen menyokong kerajaan supaya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) berundur daripada jawatan digalas ketika ini?

NAZRI AZIZ: Kami tidak pernah mengemukakan permintaan sedemikian. Tetapi kami berharap Takiyuddin membuat perkara yang perlu untuk menjernihkan kembali hubungan di antara kerajaan PN dan pihak Istana Negara.

SINAR PREMIUM: Perkara yang perlu itu termasuk tindakan meletak jawatan, Datuk Seri?

NAZRI AZIZ: Tidak perlu sampai ke tahap itu. Namun Takiyuddin boleh secara sukarela memohon perkenan untuk sembah menghadap Yang di-Pertuan Agong dan memohon maaf di atas kesilapan yang dilakukan beliau.

Apa usaha sekalipun, kita masih perlu mendaulatkan institusi Yang di-Pertuan Agong sebagai institusi tertinggi di negara ini. Dalam konflik tercetus antara kerajaan PN dan Istana Negara, titah Yang di-Pertuan Agong adalah tepat dan jelas berlandaskan Perlembagaan Persekutuan. Seri Paduka Baginda tidak salah.

SINAR PREMIUM: Susulan titah dukacita dizahirkan Yang di-Pertuan Agong, majoriti ahli Parlimen pembangkang mendakwa kerajaan PN sudah derhaka kepada Istana Negara dan wajib dijatuhkan. Apa pandangan Datuk Seri?

NAZRI AZIZ: Dakwaan itu tidak tepat. Tiada isu kerajaan PN derhaka dan membelakangkan bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong. Konflik yang tercetus ketika ini hanya disebabkan kesilapan Menteri Undang-Undang.

SINAR PREMIUM: Ketua Whip Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan mendakwa sejumlah 40 ahli Parlimen BN kekal menyokong Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di sebalik tohmahan pembangkang kononnya kerajaan PN sudah hilang majoriti sokongan ahli Parlimen ketika ini. Bagaimanapun, Setiausaha Eksekutif BN, Mohamad Sahfri Ab Aziz menafikan BN mengeluarkan kenyataan sedemikian. Mana satu yang betul Datuk Seri?

NAZRI AZIZ: Mohamad Sahfri ini siapa? Beliau ahli Parlimenkah? Bagaimana beliau boleh bercakap bagi pihak ahli-ahli Parlimen BN? Semua ahli Parlimen BN bersetuju melantik Ismail Sabri sebagai ketua whip kita di Parlimen. Jadi beliau berhak untuk menggunakan lambang BN bagi menyatakan perkara sebenar yang telah berlaku.

Memandangkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi positif Covid-19 dan terpaksa kuarantin di rumah, maka Ismail Sabri merupakan wakil ahli Parlimen BN bagi membuat keputusan penting sebegini. Takkan kerana Zahid tiada, maka keputusan tidak boleh dibuat? Jadi Mohd Sahfri tidak ada hak bagi menafikan sokongan kami. Saya berada dalam mesyuarat yang diadakan di Tingkat 3, Bangunan Parlimen baharu dan ada tiga, empat orang ahli Parlimen BN yang tidak hadir tetapi menyatakan sokongan terhadap sebarang keputusan yang dibuat.

Saya mengesahkan pertemuan 40 ahli Parlimen BN itu adalah benar-benar berlaku. 40 ahli Parlimen BN yang menyokong keputusan mengekalkan kerajaan PN termasuklah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob.

Najib sememangnya menyokong kerajaan PN, bagaimanapun beliau meminta Muhyiddin meletakkan jawatan Perdana Menteri. Itu sahaja nada berbeza beliau sewaktu mengadakan sidang media di Parlimen selepas itu.

Nazri
Nazri
SINAR PREMIUM: UMNO merupakan antara parti paling kuat mendesak Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur selain mencadangkan penubuhan kerajaan interim. Mengapa majoriti ahli Parlimen UMNO dan BN masih kekal menyokong kerajaan PN pada saat genting kini?

NAZRI AZIZ: Ini kerana UMNO merupakan sebahagian daripada kerajaan sedia ada. Kalau kita tarik sokongan daripada Muhyiddin, yang bakal naik menggantikan beliau adalah kerajaan DAP-Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang bakal diterajui Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Keputusan Perhimpunan Agong UMNO (PAU) 2020 jelas menggariskan ‘No Anwar, No DAP’ dengan sokongan terhadap kerajaan PN akan diteruskan sehingga pembubaran Parlimen sahaja.

Kita tidak boleh tarik sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin. Lagipun, salah seorang ahli Parlimen UMNO dan BN dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri. Kalau kita tarik sokongan, naik DAP, naik Anwar dan naik PH…Kita mahu jadi apa? Mahu jadi pembangkang balik? Apakah ini yang akar umbi UMNO mahu?

SINAR PREMIUM: Siapakah individu yang tidak hadir dan tidak menyokong keputusan pertemuan tergempar ahli-ahli Parlimen BN?

NAZRI AZIZ: Saya kenal pasti dua orang iaitu Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah serta Zahid sendiri yang juga merupakan Ahli Parlimen Bagan Datuk.

SINAR PREMIUM: Berdasarkan penjelasan Datuk Seri, majoriti ahli Parlimen BN bersetuju untuk terus menyokong kerajaan PN ketika ini. Namun, nada UMNO di media sosial agak berbeza dan menampakkan seolah-olah mereka tidak mahu bersekongkol dengan kerajaan sedia ada? Apa pandangan Datuk Seri?

NAZRI AZIZ: Itu sebenarnya berpunca daripada surat yang dikeluarkan oleh Zahid menggunakan kuasa veto beliau sebagai Presiden UMNO. Beliau langsung tidak memanggil mana-mana pemimpin parti untuk bermesyuarat bagi membincangkan perkara ini.

Yalah, orang kena positif Covid-19. Jadi beliau buat keputusan berseorangan. Ditambah dengan ‘frust’ tidak dapat menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Tetapi saya hendak beritahu, mesyuarat dalam kalangan ahli Parlimen BN sememangnya ada. Boleh rujuk Ahmad Maslan untuk pengesahan.

Dalam Parlimen pun, ahli Parlimen UMNO menggunakan logo BN, bukan logo parti sendiri.

SINAR PREMIUM: Adakah persidangan Parlimen tidak akan dilanjutkan pada Isnin hadapan susulan pihak pengurusan Parlimen mengesahkan berlakunya penularan jangkitan Covid-19 di kawasan Parlimen?

NAZRI AZIZ: Hal itu, kita tunggu dan lihat. Saya sendiri tidak tahu.

SINAR PREMIUM: Sekiranya pada Isnin hadapan disambung persidangan Parlimen, adakah Ketua Pembangkang boleh mengemukakan usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri?

NAZRI AZIZ: Pertama sekali, usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri itu tiada dalam agenda mesyuarat khas Dewan Rakyat. Kedua, kerajaan menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong untuk membincangkan isu darurat dan krisis Covid-19 demi kepentingan rakyat.

Saya yakin bahawa notis mengemukakan usul undi tidak percaya berkenaan oleh pihak pembangkang tidak cukup tempoh ditetapkan. Sudah tentulah, segala usul urusan kerajaan mesti diutamakan Speaker Parlimen untuk berbahas mengenai Ordinan Darurat.

Jadi ini sebab-sebab saya fikir menyebabkan usul undi tidak percaya Muhyiddin tidak akan naik. Selain itu, sidang Parlimen kali ini merupakan sidang khas yang mana agenda utama adalah untuk membincangkan isu darurat.

SINAR PREMIUM: Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata tandatangan Yang di-Pertuan Agong tidak diperlukan sekiranya kerajaan memutuskan untuk membatalkan Ordinan Darurat. Selaku bekas Menteri Undang-Undang, setujukah Datuk Seri dengan pandangan itu?

NAZRI AZIZ: Saya tidak setuju pandangan itu. Saya berpegang kepada perkara yang dinasihatkan Peguam Negara kepada Jemaah Menteri. Sepertimana saya sebut, daripada semua sudut perundangan, kerajaan PN menjalankan proses pembatalan Ordinan Darurat mengikut aturan ditetapkan.

Masalahnya sekali lagi disebabkan oleh kesilapan Menteri Undang-Undang yang mendahului perkenan Yang di-Pertuan Agong. Jika tidak, segalanya berjalan mengikut prosedur yang betul.

Gopal Sri Ram bukan Peguam Negara…Itu hanya pandangan peribadi beliau sahaja. Saya setuju pandangan segala keputusan pembatalan Ordinan Darurat perlu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong terlebih dahulu.

SINAR PREMIUM: Terdapat pandangan yang mendakwa bekas Perdana Menteri dua kali, Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan individu bertanggungjawab mengurangkan bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong sejak tahun 1983 sehingga tahun 1994.

Dr Mahathir bertanggungjawab meminda Perlembagaan Persekutuan pada tahun 1983 bagi membolehkan sesebuah akta yang dikemukakan kerajaan akan tergubal secara automatik selepas 30 hari dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, walaupun Seri Paduka Baginda tidak berkenan untuk meluluskannya.

Kemudian, pada tahun 1994, Dr Mahathir dan Anwar merupakan individu bertanggungjawab melucutkan kekebalan raja-raja Melayu dan mahu peruntukan undang-undang supaya baginda boleh diheret dan dibicarakan di mahkamah khas. Justeru, apa yang berlaku ketika ini sebenarnya terkait dengan perbuatan Dr Mahathir dan Anwar sendiri. Bagaimana Datuk Seri melihat keadaan ini?

NAZRI AZIZ: Saya amat bersetuju. Perkara itu disebabkan Dr Mahathir selaku Perdana Menteri dan Anwar menjadi Timbalan Perdana Menteri bersetuju memastikan pindaan Perlembagaan Persekutuan dibuat bagi mengurangkan bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong.

Selain perbuatan itu, dua individu ini juga sudah acapkali menderhaka kepada institusi Diraja termasuk Majlis Raja-Raja Melayu.

SINAR PREMIUM: Dalam situasi genting ketika ini, adakah Datuk Seri yakin sokongan terhadap kerajaan PN akan terus utuh?

NAZRI AZIZ: Selain daripada Ku Li dan Zahid, sokongan ahli Parlimen BN terhadap kerajaan PN adalah kukuh.

SINAR PREMIUM: Memandangkan sidang Parlimen yang berjalan ketika ini adalah sidang Parlimen khas, adakah pembangkang kembali berpeluang membangkitkan usul undi tidak percaya Perdana Menteri pada persidangan penuh Parlimen, bulan September hadapan?

NAZRI AZIZ: Kalau hendak buat juga usul undi tidak percaya, Anwar kena tunggu hingga bulan September. Bagus juga tempoh sebulan diberi kepada Anwar untuk ‘membeli’ ahli-ahli Parlimen menyokong kerajaan ketika ini.

Kita hendak tengok sama ada beliau mampu atau tidak.

SINAR PREMIUM: Cadangan kerajaan interim diadakan sekarang, adakah bersesuaian?

NAZRI AZIZ: Kerajaan PN masih utuh, tidak perlu dibentuk kerajaan interim. Kemelut politik yang berlaku susulan pembukaan semula sidang Parlimen khas mendedahkan wajah buruk sebenar ahli-ahli Parlimen PH.

Mereka sebenarnya bukan benar-benar mahu berbahas untuk kepentingan rakyat, sebaliknya sibuk mahu mendapatkan kuasa politik. Sepertimana kita jangka, mereka lebih berminat untuk menjatuhkan kerajaan.

Baguskah sikap sebegini? Sepatutnya apabila kerajaan membenarkan sidang Parlimen kembali berjalan seperti biasa, gunakan sebaiknya untuk bincang permaslahatan rakyat.

Selama 22 bulan mereka menjadi kerajaan dan gagal mentadbir dengan baik, kini PH sibuk hendak ambil alih semula kerajaan? Presiden UMNO pula sibuk hendak kita bersama mereka…Mana boleh.

Tindakan Zahid mengeluarkan arahan kepada ahli-ahli Parlimen UMNO dan BN untuk menarik sokongan daripada kerajaan PN dibuat tanpa berunding dengan kami. Mana boleh…beliau kena bincang dengan ahli-ahli Parlimen UMNO dahulu. Kami bukan lembu yang boleh dicucuk hidung.

SINAR PREMIUM: Terdapat kenyataan pihak tertentu yang berpandangan Perdana Menteri harus meletak jawatan dan memberi laluan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggalas tanggungjawab bagi menyelesaikan kemelut politik yang berlaku ketika ini. Apa komen Datuk Seri?

NAZRI AZIZ: Ini adalah waktu semua ahli Parlimen UMNO dan BN berbincang bagi mencari jalan bagaimana membantu kerajaan PN dalam mendepani krisis Covid-19. Ini bukan waktu hendak ambil kesempatan, tengok Perdana Menteri berada dalam keadaan susah, kita tolak dia ke tepi untuk kita pula jadi Perdana Menteri.

Tindakan itu tidak betul. Sejak lebih setahun lalu, Datuk Seri Ismail Sabri hari-hari keluar di kaca televisyen dan media sosial, bercakap tentang bagaimana rakyat Malaysia mahu memerangi Covid-19.

Jadi, ini bukan masanya untuk mengambil kesempatan bagi menjadi Perdana Menteri. Ini bukan masanya untuk mendahului kepentingan individu, tetapi perlu mengutamakan kepentingan negara terutama rakyat marhaen yang menderita akibat krisis pandemik.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,555FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat