Lepas PAU 2020 UMNO bertukar jadi ‘harimau kertas’ – Nazri Aziz

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – UMNO diibaratkan sebagai “harimau kertas” selepas mengaum di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020,” kata Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz.

Beliau juga turut lantang mengecam Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dengan berkata Presiden parti itu “kurang sifat kepemimpinan” susulan laporan menteri dari parti itu akan kekal dalam Jemaah Menteri kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Nazri, yang semalam mencabar menteri UMNO untuk meletak jawatan selepas parti itu memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu, berkata kepemimpinan Zahid menyebabkan UMNO dilihat sebagai lemah.

“Sudah terang-terang menteri (UMNO) dan timbalan menteri tak ingin letak jawatan dengan alasan mereka akan berbuat demikian jika diarahkan parti,” kata beliau memetik FMT.

Namun, Nazri mempertikaikan bahawa ahli Umno dan akar umbi jelas bahawa resolusi yang diluluskan pada perhimpunan agung Umno (PAU2020) itu adalah keputusan parti.

“Sudah jelas mereka sepatutnya letak jawatan tetapi presiden tidak ada kepemimpinan untuk mengarahkan mereka berbuat demikian.

“Adakah beliau bimbang mereka tidak mahu ikut arahan beliau?” soal Nazri.

Dalam pada itu beliau tidak menjangka Zahid akan mengarahkan menteri-menteri berkenaan untuk letak jawatan dalam Jemaah Menteri.

Ini menampakkan UMNO sebagai “harimau kertas” selepas “mengaum” di PAU2020, tambah beliau.

Kata Nazri, Zahid perlu faham prinsip akauntabiliti moral dan “buat perkara yang betul”.

“Beliau mungkin dipilih melalui demokrasi, tetapi ada juga akauntabiliti moral. Sekiranya kamu didakwa di mahkamah, kamu mesti melakukan apa yang terbaik bagi parti,” kata beliau.

Pada Disember 2018, Zahid “bercuti” sementara bagi membendung gelombang wakil rakyat Umno yang meninggalkan parti. Beliau kembali ke pucuk pimpinan enam bulan kemudian.

Berkenaan menteri-menteri tersebut, Nazri mempertahankan pendirian beliau menyifatkan mereka sebagai “pengecut” kerana tidak meletak jawatan.

Beliau menuduh mereka mendapatkan “talian hayat” daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk kekal dalam Jemaah Menteri, sedangkan dalam keadaan darurat, Jemaah Menteri tidak diperlukan untuk mentadbir negara.

Awal hari ini, Muhyiddin mengumumkan bahawa semua menteri UMNO akan kekal dalam Jemaah Menteri setelah dia menasihati mereka untuk berbuat demikian demi kepentingan rakyat dan negara. -SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat