222 pelajar IPT dijangkiti HIV tahun lalu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Seramai 222 pelajar institut pengajian tinggi (IPT) di negara ini disahkan menghidap HIV, tahun lalu.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, sebahagiannya dikesan mendapat jangkitan seawal usia 18 dan 19 tahun.

Menurutnya, jumlah keseluruhan jangkitan HIV dalam kalangan pelajar IPT dari 2020 hingga 2024 adalah seramai 1,091 orang.

“Pada tahun lepas, kita mencatatkan 222 jangkitan yang baharu (dalam pelajar IPT) daripada 3,185 jumlah keseluruhan jangkitan.

“Ini bermaksud aktiviti-aktiviti (berisiko) ini sudah pun berlangsung lebih awal,” katanya pada sidang media sempena Persidangan Meja Bulat Mengenai Pendekatan Pengurangan Kemudaratan, lapor Harian Metro pada Selasa.

Lukanisman berkata, sebagai langkah pengurangan kemudaratan, Kementerian Kesihatan (KKM) memperkenalkan penggunaan Profilaksis Pra-Pendedahan (PrEP) yang dilancarkan di beberapa fasiliti kesihatan dan sudah menunjukkan kejayaan.

Bagaimanapun beliau mengakui KKM berdepan cabaran besar untuk menyediakan akses ujian saringan kendiri kepada remaja di bawah umur.

“Apa yang menjadi satu permasalahan ketika ini adalah akses kepada ujian kendiri bagi remaja di bawah umur, di mana kita tidak mempunyai satu perundangan khusus.

“Kita memerlukan kebenaran ibu bapa untuk menjalankan ujian kendiri dan juga kebenaran untuk mendapatkan rawatan. Ini agak menyukarkan remaja yang ingin tampil ke hadapan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Sektor HIV, STI dan Hepatitis C, Bahagian Kawalan Penyakit KKM Dr Fazidah Yuswan berkata, pihaknya sedang mempergiatkan aktiviti ujian kendiri dalam kalangan komuniti terpinggir bagi mengesan baki individu yang hidup dengan HIV.

“Sekiranya mereka yang berisiko tidak mahu tampil ke fasiliti klinik kesihatan sedia ada, mereka boleh mendapatkan kit ujian kendiri HIV melalui Majlis Aids Malaysia atau farmasi komuniti.

“Dalam kit itu, disertakan panduan di mana mereka akan diminta untuk membuat penilaian risiko dan langkah susulan untuk memastikan mereka tidak dijangkiti HIV atau menjangkiti orang lain,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat