KUALA LUMPUR – Sebagai tanda solidariti, Pas tidak akan menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang akan dibentuk oleh Menteri Besar Perlis yang baharu Abu Bakar Hamzah.
Bukan cuma itu, semua anggota Exco sedia ada daripada Pas akan melepaskan jawatan masing-masing sebagai tanda solidariti dan seiring dengan peletakan jawatan bekas Menteri Besar yang lepas Mohd Shukri Ramli.
Perkara itu dimaklumkan oleh Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan, dengan menyatakan perubahan ini setelah meneliti dan membuat pertimbangan terhadap situasi semasa berkait kerajaan Negeri Perlis dan Parti Perikatan Nasional (PN).
Pun begitu katanya, Pas komited untuk meneruskan kelangsungan dan keberadaan Pas dalam Kerajaan Negeri Perlis selaras dengan mandat yang telah diberikan oleh rakyat pada PRU-15.
Sementara itu Takiyuddin berkata, Pas menyeru semua pihak agar bermuhasabah dan mengambil iktibar atas apa yang berlaku, dan seterusnya mengambil segala langkah bagi memperkukuh lagi kepercayaan rakyat terhadap PN.
Justeru katanya, Pas juga dengan ini menawarkan kesediaannya untuk menerajui Perikatan Nasional bagi tujuan memperkasakan organisasi dan
persiapan bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) dan pilihan raya umum (PRU) ke-16.
“Dalam pada itu, Pas juga menegaskan komitmen untuk kekal selamanya menghormati lunas-lunas undang-undang, prinsip-prinsip demokrasi, konsep Raja berperlembagaan serta kebijaksanaan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail demi kemaslahatan negeri dan rakyat,” ujar Ahli Parlimen Kota Bharu itu.



