KPKT Akan Pantau 381 Projek ‘Sakit’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – 381 projek perumahan swasta yang dikategorikan sebagai sakit akan dipantau pasukan petugas bagi mencari penyelesaian.

Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) berkata, usaha itu bertujuan melindungi hak dan kepentingan pembeli rumah.

Menterinya Nga Kor Ming berkata, pembangunan perumahan antara sektor penting dalam menjana ekonomi negara dengan hampir 200 industri terlibat dan KPKT berharap industri perumahan terus berkembang maju pada 2023.

“KPKT akan melancarkan lebih banyak rumah mampu milik yang berkualiti tinggi supaya rakyat dapat memiliki rumah yang selesa dan berkualiti tinggi dengan harga berpatutan,” katanya dalam kenyataan hari ini lapor Bernama.

Kor Ming juga berkata berdasarkan statistik KPKT, untuk merealisasikan hasrat rakyat Malaysia memiliki rumah sendiri kementerian akan membina sejumlah 83,728 rumah di bawah Rancangan Malaysia ke-12.

“Sebanyak 22,209 rumah siap dibina, manakala 47,637 unit dalam pembinaan dan baki 13,882 unit akan disiapkan menjelang akhir 2025.

“Bergerak ke hadapan khususnya dalam pembinaan dan perancangan bandar, KPKT akan memberi fokus kepada Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang dikemukakan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap agar pihak swasta dapat bekerjasama secara aktif dengan kerajaan untuk membina lebih banyak ruang hijau dan menggunakan gaya reka bentuk yang mesra alam dalam pembinaan bagi mewujudkan lebih banyak perumahan yang berdaya huni serta berkonsep hijau.

Selain itu, menurutnya Kerajaan Perpaduan menyokong inisiatif untuk membantu lebih ramai golongan muda memiliki rumah pertama melalui insentif pengecualian duti setem 100 peratus bagi rumah berharga RM500,000 dan ke bawah, manakala bagi rumah berharga RM500,001 hingga ke RM1 juta akan menikmati pengecualian duti setem sebanyak 50 peratus.

“Memandangkan situasi politik negara kita kembali stabil selepas Pilihan Raya Umum ke-15, pelabur asing kembali mempunyai keyakinan terhadap Kerajaan Perpaduan, saya optimistik terhadap pasaran industri perumahan negara pada tahun depan.

“Saya berharap pengusaha dapat meningkatkan pelaburan domestik dan Kerajaan Perpaduan akan bekerjasama secara aktif dengan melancarkan dasar properniagaan dan prorakyat,” katanya.

Bagi memantapkan lagi pembinaan perumahan awam di negara ini, Nga berkata pihaknya telah menjemput Lembaga Pembangunan Perumahan Singapura (HDB) untuk berkongsi kepakaran dan berkongsi pengalaman berhubung isu perumahan.

“Saya percaya ini akan membantu meningkatkan tahap perancangan bandar di Malaysia dan bukan sahaja dapat membantu lebih ramai rakyat memiliki rumah sendiri tetapi juga mewujudkan rumah tangga bahagia serta sejahtera melalui kaedah yang inovatif,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat