Anwar umum enam inisiatif baharu sempena Hari Kebangsaan, kuota BUDI95 naik 300 liter

PUTRAJAYA,  — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan enam inisiatif baharu melibatkan bantuan bahan api, penyelenggaraan sekolah, pembangunan kecerdasan buatan (AI) untuk belia, pendigitalan kesihatan awam, e-Invois serta bantuan kepada peniaga kecil sempena Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2026.

Antara pengumuman utama ialah peningkatan kelayakan bulanan BUDI MADANI RON95 (BUDI95) daripada 200 liter kepada 300 liter, manakala kelayakan BUDI MADANI Diesel bagi kenderaan pikap dan jip dinaikkan daripada 300 liter kepada 400 liter.

Langkah itu akan berkuat kuasa seawal 1 September dan dijangka memberi manfaat kepada 16 juta pengguna BUDI95 serta lebih 500,000 pengguna diesel.

Dalam sektor pendidikan, kerajaan menyediakan tambahan RM500 juta bagi penyelenggaraan dan pembaikan prasarana sekolah pada 2027, menjadikan keseluruhan peruntukan meningkat daripada RM1 bilion tahun ini kepada RM1.5 bilion tahun depan.

Peruntukan itu meliputi semua jenis sekolah termasuk sekolah kebangsaan, SJK Cina dan Tamil, sekolah agama, tahfiz, pondok serta sekolah pendidikan khas.

Kementerian Pendidikan (KPM) turut diarahkan turun padang mulai 1 September bagi meneliti setiap permohonan pembaikan prasarana dengan kerja penyelenggaraan dijadualkan bermula seawal Januari 2027.

Kerajaan turut memperkenalkan Program AI untuk Rakyat bagi membuka peluang digital kepada belia berusia antara 18 hingga 30 tahun dengan sasaran awal membabitkan 100,000 peserta.

Belia yang melengkapkan modul pembelajaran AI menerusi Rakyat Digital akan menerima langganan percuma selama tiga bulan melibatkan YTL AI Labs dan Alibaba.

Bagi sektor kesihatan pula, RM1 bilion diperuntukkan bagi mempercepatkan urusan rawatan serta mengurangkan tempoh menunggu menerusi pelaksanaan sistem Rekod Kesihatan Elektronik (EMR) dan peningkatan ketersambungan WiFi di fasiliti kesihatan awam.

Inisiatif itu akan melibatkan 150 hospital dan 2,000 klinik kesihatan di seluruh negara.

Dalam perkembangan berkaitan pelaksanaan e-Invois, kerajaan menaikkan ambang pengecualian berdasarkan nilai jualan tahunan daripada RM1 juta kepada RM3 juta.

Perubahan itu membolehkan kira-kira 1.1 juta perniagaan dikecualikan daripada pelaksanaan e-Invois.

Peniaga kecil pula bakal menerima manfaat menerusi peruntukan RM200 juta Geran Sejahtera MADANI untuk pembelian kelengkapan, termasuk ibu yang berniaga dari rumah, penjaja dan peniaga pasar malam.

Kerajaan pada masa sama menambah RM1 bilion bagi Pinjaman Perniagaan Mikro 2026, menjadikan jumlah keseluruhan kemudahan itu meningkat daripada RM5 bilion kepada RM6 bilion.

Pengumuman berkenaan merupakan sebahagian daripada Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2026 yang memberi tumpuan kepada langkah meringankan beban rakyat, memperbaiki perkhidmatan awam serta memperkukuh peluang ekonomi dan digital.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat