KUALA PILAH – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merayu rakyat supaya menegur dan memberikan nasihat sekiranya ada kekurangan dalam pentadbirannya namun bukan dengan cara menghina.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu mengingatkan rakyat supaya tidak menghina beliau dan kerajaan pimpinannya seolah-olah tidak melakukan apa-apa.
“Tegurlah saya. Berilah nasihat. Tetapi janganlah menghina macamlah saya tidak membuat apa-apa.
“Usia saya sudah lanjut dan saya bersyukur kepada Allah SWT kerana masih diberikan kesihatan serta peluang untuk berkhidmat.
“Jika ada kelemahan, berilah teguran yang membina dan berilah ruang kepada kami untuk memperbaiki kekurangan tersebut.
“Saya merayu kepada rakyat supaya menyelamatkan negeri dan negara ini.
“Pilihlah berdasarkan rekod, integriti dan kemampuan bekerja, bukan kerana sentimen kebencian,” katanya ketika berucap dalam Majlis Kuala Pilah Berselawat.
Anwar yang juga Presiden PKR mengingatkan, jika ada pemimpin yang rajin bekerja, berakhlak baik, tidak mencuri dan tidak menyalahgunakan kuasa, pertahankanlah mereka.
“Sebab itulah saya datang membantu Datuk Seri Aminuddin Harun kerana saya mengetahui rekod pentadbirannya.
“Tiada isu kehilangan hasil balak, kontrak atau penyelewengan dana yang dihantar ke luar negara,” ujar Menteri Kewangan itu lagi.
Sementara itu, Anwar menambah, walaupun dunia berdepan peperangan dan harga minyak meningkat, kerajaan terus berusaha mengurangkan beban rakyat.
Katanya, harga minyak di negara pengeluar seperti Iraq dan Arab Saudi juga lebih tinggi berbanding Malaysia.
“Apabila kerajaan menetapkan harga RON95 pada RM1.99 seliter, kerajaan terpaksa menanggung subsidi sekitar RM40 hingga RM45 bilion setahun.
“Sebab itu setiap kali mengisi minyak, ingatlah bahawa kerajaan menanggung sebahagian besar kos tersebut demi mengurangkan beban rakyat.
“Kos barangan import masih tinggi dan kos sara hidup terus meningkat.Apa yang mampu kita lakukan ialah membantu rakyat melalui Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) serta pelbagai bentuk bantuan lain yang kini mencecah RM16 bilion setahun.
“Begitu juga selepas 12 tahun tiada kenaikan gaji penjawat awam dan anggota polis, kerajaan melaksanakan kenaikan gaji terbesar dalam sejarah dengan tambahan perbelanjaan sebanyak RM18 bilion,” ujar Anwar.
Dalam perkembangan lain, Anwar menegur sikap sesetengah pihak yang menggunakan nama Islam untuk menghina, menindas atau memecah-belahkan masyarakat.
“Apabila diberi amanah, kita mesti melaksanakannya dengan penuh integriti.
“Lihat sahaja isu Tabung Haji dan Felda. Tabung Haji mengalami kerugian puluhan bilion ringgit, manakala Felda menanggung kerugian sekitar RM10 bilion.
“Saya tidak bercakap berdasarkan dakwaan semata-mata, tetapi berdasarkan laporan Suruhanjaya Diraja Siasatan (RCI). Tanggungjawab saya sebagai Perdana Menteri ialah memastikan siasatan dijalankan secara telus. Jangan ada lagi usaha menutup kesalahan,” tegas beliau.



