KUALA LUMPUR – Kerajaan Madani akan terus memperhalusi dan menilai pelaksanaan beberapa lagi inisiatif strategik dalam masa terdekat bagi memastikan masyarakat India terus menerima manfaat pembangunan yang adil, saksama dan mampan.
Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan kerajaan teguh dengan prinsip bahawa setiap lapisan rakyat, termasuk komuniti India, berhak menikmati peluang dan kemajuan negara secara menyeluruh selaras dengan
semangat Malaysia Madani.
“Pejabat Perdana Menteri ingin memaklumkan bahawa sebanyak 16 program berimpak tinggi telah diluluskan untuk manfaat masyarakat India sehingga Julai 2025, melalui Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA).
“Program-program ini memberi tumpuan kepada tiga bidang utama pembangunan masyarakat, iaitu: pendidikan dan latihan dan kerohanian dan kebudayaan serta esejahteraan sosial.
“Langkah ini mencerminkan tekad berterusan Kerajaan Madani dalam mengangkat peranan masyarakat India sebagai rakan pembangunan negara menerusi pendekatan yang inklusif, progresif dan berteraskan impak menyeluruh,” kata kenyataan itu.
Bagaimanapun PMO berkata, terdapat juga beberapa permohonan yang tidak dapat diluluskan antaranya melibatkan program berkaitan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang bertindih serta berada di bawah bidang kuasa dan selenggaraan Majlis TVET Negara.
“Selain itu, beberapa lagi cadangan program tidak dapat diluluskan kerana bertindih dengan inisiatif sedia ada di bawah beberapa kementerian, termasuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP),” katanya.
Justeru PMO memaklumkan, penyelarasan perlu dilakukan bagi mengelak pertindihan peranan dan penggunaan sumber.



