KUALA LUMPUR – Tokoh Wartawan Negara, Datuk A. Kadir Jasin menggunakan kisah pengasingan Almarhum Sultan Abdullah Muhammad Shah II dari Perak sebagai analogi untuk mengulas dakwaan bahawa seorang anggota keluarga diraja dari sebuah negeri di Semenanjung Malaysia kini sedang berada di luar negara atas nasihat pihak tertentu.
Dalam tulisan bertajuk Dark Days Produce Terang Bulan, beliau memulakan dengan mengingatkan bahawa tidak semua musibah akan berakhir dengan keburukan kerana “roda kehidupan sentiasa berputar.”
Menurut beliau, seseorang yang terpaksa berundur atau bercuti di luar negara akibat sesuatu keadaan mungkin akhirnya memperoleh pengalaman dan pengajaran yang bermanfaat untuk dibawa pulang.
Kadir berkata, beberapa rakan wartawan memaklumkan kepadanya bahawa seorang anggota keluarga diraja yang terkenal dari sebuah negeri di Tanah Melayu dikatakan telah dinasihatkan supaya mengambil cuti dan berada di luar negara untuk suatu tempoh tertentu.
Beliau bagaimanapun mengakui maklumat itu diterimanya daripada pihak lain dan memohon maaf sekiranya ia tidak tepat.
“Difahamkan baginda telah berlepas ke sebuah destinasi percutian di Lautan Hindi, yang secara kebetulan bertepatan dengan sambutan hari keputeraan baginda,” katanya.
Mengulas lanjut, Kadir mengaitkan keadaan itu dengan sejarah Almarhum Sultan Abdullah Muhammad Shah II, yang pada asalnya tidak ditabalkan sebagai Sultan Perak selepas kemangkatan Sultan Ali pada tahun 1871 apabila pembesar negeri memilih Raja Bendahara Ismail sebagai pemerintah baharu.
Menurut beliau, Raja Abdullah mempertikaikan pelantikan tersebut kerana mendakwa ia tidak mengikut adat negeri.
Kadir turut mengaitkan perbahasan mengenai adat itu dengan perkembangan semasa yang sedang melibatkan institusi diraja di Negeri Sembilan.
Beliau kemudian mengimbas kembali bagaimana Raja Abdullah akhirnya memperoleh takhta melalui Perjanjian Pangkor 1874 yang membuka jalan kepada campur tangan British di Tanah Melayu.
Bagaimanapun, nasib Sultan Abdullah berubah apabila baginda dikaitkan dengan pembunuhan Residen British, J.W.W. Birch, pada tahun 1875.
Beliau menjelaskan bahawa Datuk Maharaja Lela dihukum gantung manakala Sultan Abdullah bersama keluarga dan para pengikutnya dibuang negeri ke Seychelles pada tahun 1877.
Menurut Kadir, berdasarkan legenda, ketika berada dalam buangan di Seychelles, Sultan Abdullah mendengar anak-anak baginda menyanyikan lagu Perancis La Rosalie, yang kemudiannya diberi lirik dalam bahasa Melayu dan akhirnya menjadi lagu negeri Perak serta menjadi asas kepada lagu kebangsaan Negaraku.
Beliau berkata Sultan Abdullah dibenarkan pulang pada tahun 1894 sebelum menetap di Singapura dan Pulau Pinang, seterusnya kembali ke Kuala Kangsar pada 1922, tahun yang sama baginda mangkat dan dimakamkan di Makam Diraja Bukit Chandan.
Mengakhiri tulisannya, Kadir berharap para kerabat diraja dan pembesar yang berpeluang mengembara ke luar negara akan membawa pulang pengalaman serta manfaat yang dapat dikongsi bersama rakyat, sebagaimana kisah Sultan Abdullah yang dikaitkan dengan asal-usul lagu Negaraku.


