Solat Jumaat Di Perlis Dibenarkan Dengan SOP Ketat

- Advertisement -

KANGAR: Aktiviti solat berjemaah di masjid seluruh Perlis dibenarkan dilakukan bermula esok namun dengan kapasiti maksimum mengikut saiz sesuatu masjid sahaja.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam titahnya, berkata perkenan berkenaan dilaksanakan setelah mendapat limpah perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berdasarkan situasi semasa penularan COVID-19 di Perlis yang dilihat semakin terkawal serta pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada oleh masyarakat Perlis.

“Oleh hal demikian, kehadiran jemaah di masjid seluruh Perlis dibolehkan dengan kapasiti maksimum mengikut saiz masjid bermula solat Subuh pada hari esok sehingga tempoh baharu arahan terkini yang mungkin dikeluarkan.

“Namun begitu, kebenaran ini hanya terpakai di masjid di seluruh negeri Perlis sahaja manakala sebarang aktiviti di surau kekal ditangguhkan.

“Sebagai langkah pencegahan dan ikhtiar untuk mengelakkan penularan wabak, pematuhan kepada semua SOP tetap diperketatkan dan semua jemaah yang hadir hendaklah sentiasa mematuhinya antaranya, memakai pelitup separuh muka dengan digalakkan memakai dua pelitup muka (double face masks) serta ditambah baik dengan pemakaian bersama pelindung muka (face shield),” katanya dalam titahnya, hari ini.

Titahnya lagi, jemaah digalakkan untuk membawa uncang pembungkus kasut ke masjid bagi mengelakkan kesesakan ketika keluar masuk ke dalam masjid.

Baginda selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bertitah, jemaah juga hendaklah terdiri dalam kalangan anak kariah sahaja yang berusia antara 12 hingga 59 tahun.

“Bagi jemaah yang berusia 60 tahun dan ke atas, dibenarkan dengan syarat lengkap dua dos suntikan vaksin COVID-19.

“Sebagai langkah kawalan, mereka yang terbabit dengan aktiviti rentas sempadan dan negeri sama ada dengan kebenaran atau tanpa kebenaran termasuk yang berulang-alik bekerja pada setiap hari adalah tidak dibenarkan hadir.

“Demikian juga ahli keluarga mereka yang tinggal bersama tidak dibenarkan hadir melainkan ahli keluarga yang telah lengkap dua dos suntikan vaksin,” titahnya.

Baginda turut menyatakan, bahawa tempoh masa pelaksanaan solat fardu adalah selama 10 minit manakala tempoh pelaksanaan khutbah dan solat Jumaat adalah selama 15 minit sahaja.

“Laungan azan akan kembali dilaungkan dengan lafaz dan kaedah seperti biasa,” titah baginda.

Titahnya, Jawatankuasa Kariah Masjid diberikan tanggungjawab untuk memastikan segala SOP yang ditetapkan, sentiasa dipatuhi dan dilaksanakan dengan sebaiknya.

“Selain itu, aktiviti berkumpulan sama ada kuliah, kelas, pengajian dan sebagainya selain solat Jumaat dan solat fardu buat masa ini masih tidak dapat dibenarkan,” titahnya.

-BERITA HARIAN

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat