Bekalan makanan: Cari solusi bukan cari salah – Zahid

KUALA LUMPUR- Rakyat mahukan solusi pantas bukannya ‘melayan drama’ tuding menuding kesalahan antara kementerian dan agensi bertanggungjawab menyediakan bekalan ayam dan ikan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, seperti yang pernah beliau nyatakan, perihal tentang isu bekalan makanan sepatutnya sudah dalam “prediction” pihak bertanggungjawab terutamanya faktor pandemik dan cuaca.

“Seharusnya pelan kontingensi telah dirangka oleh kementerian dan agensi berkaitan untuk menangani hal yang sudah diduga akan berlaku. Malangnya apa yang kita dapati adalah sikap menuding jari pula yang berlaku.

“Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mendakwa masalah birokrasi dan sistem penyampaian yang lemah punca kekurangan bekalan ikan di negara ini.

“Beliau mendakwa telah membentangkan masalah bekalan ikan kepada lembaga pengarah yang dianggotai oleh kementerian berkaitan. Iaitu Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Kementerian Kewangan (MOF) dan Unit Perancang Ekonomi (EPU) agar tindakan segera diambil,” kata Zahid.

Namun dakwanya masih tiada jawapan balas mengakibatkan rakyat terpaksa menanggung kesan kenaikan harga ikan,katanya.

“Saya fikir rakyat tiada masa untuk ambil peduli adegan salah menyalah kerana mereka yang terpaksa menanggung kesannya.

“Rakyat perlukan solusi pantas dan tentunya kementerian serta agensi yang dipertanggungjawabkan perlu menyelesaikannya,” bidas beliau dalam catatan di Facebooknya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata demikian mengulas berkenaan situasi selepas isu kekurangan bekalan ayam melanda negara sehinggakan bos Mydin terpaksa ke Thailand mencari bekalan, kini bekalan ikan pula dilaporkan berdepan masalah.

“Saya pernah menzahirkan kekhuatiran tentang harga ikan akan meningkat disebabkan kekurangan bekalan ayam dan kebimbangan itu ternyata berasas.

“Tentunya keadaan lebih memburuk apabila pendaratan ikan terutama di utara semenanjung dilaporkan berkurangan sehingga 70 peratus.

“Daripada lebih sejuta tan kepada hanya kira-kira 300,000 tan sebulan berikutan keadaan cuaca tidak menentu sejak dua bulan lalu,” kata beliau.