KUALA LUMPUR,— Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar menafikan dakwaan bahawa mesej dihantarnya kepada Ketua Unit Pengadil, Haji Kassim Kadir Bacha, bertujuan mempengaruhi keputusan pengadil atau mempunyai unsur rasuah.
Menurut Shahril, mesej berkenaan dihantar pada 23 Februari 2026 jam 12.56 pagi, selepas tamat perlawanan antara Selangor FC dan Kuching City FC, semata-mata bagi menyatakan rasa tidak puas hati terhadap keputusan pengadil pada minit-minit akhir perlawanan.

“Adakah tindakan tersebut merupakan satu bentuk rasuah atau corruption? Jawapannya tidak. Tiada sebarang tawaran, imbuhan atau unsur yang boleh ditafsirkan sebagai rasuah dalam mesej tersebut.
“Adakah saya cuba mempengaruhi keputusan pengadil? Juga tidak. Sekiranya itu niat saya, mesej tersebut sudah tentu dihantar sebelum perlawanan berlangsung, bukannya selepas ia berakhir,” katanya seperti dipetik Stadium Astro.
Shahril berkata, tujuan mesej itu hanyalah untuk membangkitkan rasa tidak puas hati terhadap keputusan pengadil yang menurut pandangannya tidak melalui semakan VAR.
Beliau turut memaklumkan sudah berkongsi tangkap layar mesej tersebut kepada umum demi ketelusan.
Malah, katanya, sebaik isu itu timbul, beliau sendiri telah mengemukakan tangkap layar berkenaan kepada Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Abd Ghani Hassan, serta Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman, selain memohon supaya siasatan dijalankan sekiranya terdapat unsur rasuah atau cubaan mempengaruhi keputusan pengadil.
“Kenyataan ini dibuat bagi menjelaskan keadaan sebenar dari pihak saya. Saya juga tidak mahu Selangor FC dan Persatuan Bolasepak Selangor terpalit dengan isu ini, memandangkan dakwaan tersebut ditujukan kepada saya secara peribadi sebagai pegawai kelab,” katanya.
Berdasarkan tangkap layar perbualan yang tular, mesej itu antara lain memaparkan Shahril berkongsi pautan insiden perlawanan sebelum menulis, “Please la brother… the whole Malaysia saw what took place.”
Penerima mesej kemudian membalas bahawa beliau akan menyemak perkara tersebut dengan VAR dan pengadil.



