ADUN BN Negeri Sembilan tidak akan ambil jawatan EXCO jika Aminuddin kekal

KUALA LUMPUR,— Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan tidak akan menerima sebarang jawatan Exco kerajaan negeri sekiranya Datuk Seri Aminuddin Harun kekal sebagai Menteri Besar.

Pendirian itu difahamkan susulan keputusan ADUN BN yang masih hilang kepercayaan terhadap Aminuddin, walaupun Biro Politik UMNO Malaysia menetapkan mereka terus menyokong Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan demi kestabilan negeri.

Sumber memberitahu SuaraTV, keputusan untuk tidak menerima jawatan Exco adalah isyarat jelas bahawa sokongan kepada Kerajaan Perpaduan tidak bermaksud sokongan politik peribadi kepada Aminuddin.

“Walaupun kecewa dengan keputusan Biro Politik namun ADUN BN akan akur dengan keputusan tersebut. Mereka akan kekal menyokong Kerajaan Perpaduan seperti diputuskan Biro Politik UMNO, tetapi tidak akan mengambil sebarang jawatan Exco sekiranya Aminuddin masih mengetuai kerajaan negeri.

“Ini kerana isu pokok masih belum selesai, iaitu hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar berhubung cara beliau mengurus krisis adat dan institusi di Negeri Sembilan,” kata sumber itu.

Malam tadi, Biro Politik UMNO Malaysia memutuskan untuk menghormati pendirian ADUN BN Negeri Sembilan yang kekal hilang kepercayaan terhadap Aminuddin, namun pada masa sama meminta mereka terus menyokong Kerajaan Perpaduan negeri bagi memastikan kestabilan dan kesejahteraan rakyat terpelihara.

Ketetapan itu dibuat selepas UMNO mendengar penjelasan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan mengenai tindakan ADUN BN yang hilang kepercayaan kepada Menteri Besar kerana didakwa membelakangkan institusi adat dan Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan.

Dalam kenyataan sama, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, satu pertemuan segera antara Biro Politik UMNO dan Biro Politik Pakatan Harapan perlu diadakan bagi merungkai beberapa isu melibatkan prinsip perjuangan parti masing-masing.

Menurut sumber, pendirian tidak menyertai Exco sekiranya Aminuddin kekal akan meletakkan pentadbiran negeri dalam keadaan janggal kerana BN secara teknikal terus menyokong kerajaan, tetapi enggan menjadi sebahagian daripada pentadbiran harian di bawah kepimpinan Menteri Besar sedia ada.

“Kalau Aminuddin mahu terus kekal, beliau perlu menjawab bagaimana hendak mentadbir sebuah kerajaan perpaduan apabila rakan gabungan sendiri tidak lagi mahu berada dalam Exco,” kata sumber itu lagi.

Sebelum ini, kesemua 14 ADUN BN Negeri Sembilan menarik sokongan terhadap Aminuddin dan menyatakan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan beliau susulan krisis adat dan perlembagaan negeri.

Bagaimanapun, keputusan terbaru Biro Politik UMNO menunjukkan BN Negeri Sembilan masih terikat dengan kerangka Kerajaan Perpaduan, sementara pertikaian terhadap kedudukan Aminuddin sebagai Menteri Besar dijangka dibawa ke peringkat rundingan antara UMNO dan Pakatan Harapan. – SUARATV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat