KUALA LUMPUR- Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang tidak hadir pertemuan presiden-presiden komponen Perikatan Nasional (PN) di kediaman Tan Sri Muhyiddin Yassin, malam tadi.
Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) P Punithan memaklumkan pertemuan Presiden parti komponen PN malam tadi membincangkan hala tuju gabungan itu.
Jelas Punithan selain beliau, pertemuan itu hanya disertai Presiden Parti Bersatu, dan Presiden Gerakan Datuk Dominic Lau.
“Pas tiada, tapi kita akan bincang dengan Pas. Kita kuat dan jadi kerajaan bayangan untuk Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 nanti.
“Lepas ini kita akan jumpa dengan Pas. Tiada isu, kita nak buat perbincangan supaya ada hala tuju yang jelas,” katanya menurut Buletin TV3.
Tambah Punithan, satu mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) akan diadakan dalam masa terdekat.
“Mesyuarat Majlis Tertinggi PN dalam masa terdekat, mungkin (masa) terdekat biar semua setuju dulu,” katanya lagi.
Terdahulu, Presiden parti komponen PN itu tiba di kediaman Muhyiddin di sini kira-kira jam 8.30 malam.
Ia selepas jemputan Presiden Bersatu bagi perbincangan ‘pra-majlis’ susulan Mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang sepatutnya diadakan malam tadi dibatalkan.
Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh, mengumumkan meletak jawatan Pengerusi PN, berkuat kuasa 1 Januari lalu.
Beliau melepaskan jawatannya selepas lima tahun menerajui kepimpinan PN sejak gabungan itu didaftarkan secara rasmi, pada 7 Ogos 2020.



