Bajet 2022: Kerajaan tanggung sepenuhnya bayaran lesen kenderaan persendirian milik OKU

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan menanggung sepenuhnya bayaran lesen kenderaan persendirian yang dimiliki orang kelainan upaya (OKU) bagi tahun depan.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata perkara itu dapat meringankan kos sara hidup golongan itu.

Beliau berkata selain itu, kerajaan memperuntuk RM30 juta bagi menaik taraf infrastruktur bangunan kerajaan supaya mesra OKU antaranya dengan menyediakan banyak laluan khas untuk golongan cacat penglihatan.

“Sebanyak RM10 juta turut diperuntuk kepada Pusat Latihan Berdikari serta sebuah Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan Kerajaan bagi melaksanakan program latihan serta bimbingan ajar kepada golongan OKU,” katanya.

Tengku Zafrul berkata demikian ketika membentangkan Bajet 2022 yang bertemakan Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata kerajaan turut menyediakan kuota khas sebanyak satu peratus menerusi program Pekerjaan Jangka Pendek (MySTEP) bagi memastikan golongan muda OKU menceburi bidang pekerjaan.

“Bagi meningkatkan akses terhadap media selain membolehkan golongan OKU cakna dengan berita semasa dan informasi terkini, dengan bantuan Bernama, semua rangkaian televisyen termasuk saluran swasta akan menyediakan jurubahasa isyarat dalam penyampaian berita mereka,” katanya.

— BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,594FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat