Teks Penuh Ucapan Bajet 2022, Keluarga Malaysia Makmur Sejahtera

- Advertisement -

BAJET 2022: KELUARGA MALAYSIA, MAKMUR SEJAHTERA

Datuk Yang di-Pertua,

Saya mohon mencadangkan supaya Rang Undang-undang bernama “Suatu Akta bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2022 dan bagi memperuntukkan jumlah wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu dibaca bagi kali kedua sekarang.”

MUKADIMAH

1. Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan salam sejahtera.

2. Syukur Alhamdulillah, atas nikmat Allah yang terbentang luas sepemandangan; seraya kami bertawakal dan berserah, pada setiap daya yang diikhtiarkan. Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wa Sallam – bahawa Bagindalah suri teladan, buat umat manusia zamanberzaman.

3. Datuk Yang di-Pertua, Ahli-ahli Yang Berhormat, serta saudara dan saudari seluruh Keluarga Malaysia yang dikasihi.

4. Amatlah besar harapan rakyat menjelang Pembentangan Bajet 2022, yang sarat didasari dengan usaha kita semua – sebagai sebuah Keluarga Malaysia, untuk bangkit semula memulih negara.

5. Maka, untuk pembentangan kali ini, Insya-Allah kita harapkan ada perkhabaran-perkhabaran baik. Moga Bajet 2022 menjadi suar harapan, terang menyinar di hujung kemelut pandemik, agar rakyat kembali makmur dalam norma baharu.

PRESTASI DAN CABARAN EKONOMI 2021 DAN 2022

Datuk Yang di-Pertua,

6. Dalam mengharung pandemik global ini, negara-negara sedunia terpaksa mengurus dua beban duka, menyelamat nyawa sejagat dan mempertahan iktisad.

7. Bagi Malaysia, ternyata tahun ini adalah lebih mencabar buat kita. 2021 yang pada awalnya kita jangka sebagai sebuah tahun pemulihan; malangnya telah tertangguh, dek situasi penularan COVID-19 yang terus kritikal sejak pembentangan Belanjawan 2021 setahun lalu.

8. Di luar rencana, COVID-19 bermutasi dan mengganas. Negara kita tidak terkecuali daripada tempias gelombang ketiga sehingga mengakibatkan kes harian pernah mencecah lebih 24 ribu. Kini, jumlah kes direkodkan sudah menjangkau 2.4 juta; dan lebih 28 ribu orang ahli Keluarga Malaysia telah terkorban. Takziah diucapkan kepada ahli keluarga kita yang telah kehilangan orang tersayang akibat virus ini.

9. Buat kesekian kalinya, negara terpaksa mengharungi episod Perintah Kawalan Pergerakan yang panjang, sementara kita laksanakan Pelan Pemulihan Negara yang turut didokong Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan sebagai langkah keluar daripada pandemik durjana ini.

10. Alhamdulillah, kita kini berjaya mencapai 95 peratus penduduk dewasa, dan 62 peratus remaja, yang telah divaksinasi sepenuhnya. Pencapaian ini merupakan antara yang terbaik di dunia. Hasilnya, bilangan kes COVID-19 telah menurun, sementara penggunaan wad ICU bagi kes COVID-19 berada pada tahap 42 peratus. Oleh itu, sistem kesihatan awam kita kini tidak lagi terbeban.

11. Dalam soal memelihara rakyat dan perniagaan, kita tak pernah alpa. Walau digasak pelbagai cabaran dalam ruang fiskal yang terhad, Kerajaan tetap mencari jalan menyediakan bantuan kepada yang memerlukan. Bukanlah perkara yang mudah, tetapi Alhamdulillah, sebanyak lapan pakej bantuan dan rangsangan ekonomi telah disediakan Kerajaan dengan jumlah keseluruhan 530 bilion ringgit, yang tidak termasuk peruntukan Belanjawan 2021.

12. Pakej-pakej inilah yang telah memastikan kita – ada makanan dihidangkan, ada didikan buat anak watan, ada perniagaan yang dipertahan, ada pekerjaan yang diciptakan dan pastinya masih ada lagi sebuah kehidupan.

13. Melaluinya juga, pertumbuhan ekonomi yang sebelum ini menguncup 5.6 peratus pada 2020, kini telah berkembang 7.1 peratus setakat separuh pertama 2021. Walaupun suku ketiga tahun ini dijangka terkesan ekoran PKP ketiga, namun suku keempat dijangka akan memulih apabila hampir semua negeri beralih ke fasa empat serta sektor ekonomi dan sosial dibenarkan beroperasi dengan kapasiti penuh. Keseluruhannya, pertumbuhan ekonomi kita dijangka berkembang antara 3 hingga 4 peratus bagi tahun ini, Insya-Allah.

14. Pada tahun depan, ekonomi negara diunjur terus berkembang antara 5.5 hingga 6.5 peratus berpaksikan asas ekonomi yang masih kukuh dan strukturnya yang pelbagai. Namun, prestasi ini turut bergantung kepada faktorfaktor lain, antaranya kejayaan mengawal pandemik, keberkesanan pelaksanaan program vaksinasi serta keteguhan prospek ekonomi dan perdagangan dunia.

BAJET 2022: KELUARGA MALAYSIA, MAKMUR SEJAHTERA

Datuk Yang di-Pertua,

15. Seperti tahun lalu, Bajet 2022 dirangka dengan mengekalkan tradisi keterbukaan #TeamMOF. Bajet ini terhasil dari siri turun padang dan jelajah negeri, perbincangan dengan lebih 30 sesi kumpulan fokus selain mengkaji lebih 1,100 memorandum dan hampir 50 ribu cadangan yang diterima melalui portal Bajet 2022.

16. Lebih bermakna, Bajet 2022 dirangka setelah 80 sesi sumbang saran bersama ahli-ahli Yang Berhormat merentasi doktrin politik, tak kira Kerajaan mahupun Pembangkang. Kita semua telah bermusyawarah, bertukar-tukar pandangan dan sama-sama memikir kemaslahatan negara.

17. Tidak cukup dengan itu, bagi meningkatkan ketelusan penyediaan bajet tahunan, buat julung-julung kalinya #TeamMOF telah menerbitkan Kenyataan Pra-Bajet 2022 dan empat Kertas Konsultasi Awam merangkumi topik berkenaan penambahbaikan perolehan kerajaan, pemberian bantuan tunai, insentif cukai dan tanggungjawab fiskal.

18. Saya rakamkan jutaan penghargaan kepada semua pihak yang meluangkan masa dan mengemukakan idea serta pandangan. Pada kami di MOF, inilah bukti kebersamaan kita dalam mengharungi hari-hari mendatang sebagai sebuah keluarga.

19. Tahun hadapan, tumpuan kita semestinya adalah untuk memulih semula setiap segmen sosioekonomi negara. Usaha untuk membina daya tahan turut digerakkan bagi mengukuh keupayaan perniagaan dan sistem kesihatan dalam mendepani cabaran mendatang. Akhirnya, melangkah ke hadapan, instrumen pembaharuan akan mula dilaksana supaya seiring dengan landskap dunia teknologi tanpa sempadan serta agenda kelestarian.

20. Atas iltizam tersebut, Bajet tahun 2022 akan bertemakan, “Keluarga
Malaysia, Makmur Sejahtera”. Bajet kali ini mendokong Tiga Paksi Utama iaitu memperkukuh pemulihan, membina daya tahan dan memacu pembaharuan.

Matlamat Bajet 2022 kekal dengan tiga Fokus Induk iaitu:

Pertama: Rakyat Yang Sejahtera;
Kedua: Perniagaan Yang Berdaya Tahan; dan Ketiga: Ekonomi Yang Makmur dan Mampan.

21. Bajet 2022 yang dijajarkan kepada Rancangan Malaysia Kedua Belas telah diadun sebagai kesinambungan daripada pakej bantuan dan rangsangan ekonomi sebelum ini; juga ditambah baik dan dilengkapi usaha baharu untuk membentuk sebuah Bajet yang inklusif, mampan dan seimbang.

22. Mengambil kira aspirasi, impian dan keperluan ahli Keluarga Malaysia, di samping jangkaan peningkatan hasil Kerajaan bagi tahun 2022 kepada 234 bilion ringgit, Kerajaan akan terus menyediakan bajet yang mengembang.

23. Bajet 2022 akan menyediakan sejumlah 332.1 bilion ringgit – yang menyaksikan nilai peruntukan tertinggi berbanding bajet-bajet sebelum ini. Daripada jumlah tersebut, Kerajaan bercadang untuk menyediakan 233.5 bilion ringgit bagi belanja mengurus, 75.6 bilion ringgit untuk belanja pembangunan dan 23 bilion ringgit di bawah Kumpulan Wang COVID-19. Sejumlah 2 bilion ringgit turut disediakan sebagai simpanan luar jangka. Sungguhpun ini merupakan bajet mengembang, defisit fiskal 2022 diunjur berkurang kepada 6 peratus daripada KDNK berbanding 6.5 peratus pada 2021.

FOKUS PERTAMA: RAKYAT YANG SEJAHTERA

Datuk Yang di-Pertua,

24. Fokus pertama Bajet ini ialah Rakyat Yang Sejahtera. Bagi mendakap erat makna sejahtera, iltizam Keluarga Malaysia atas ilham Yang Amat Berhormat Perdana Menteri memasang impian, agar setiap daripada kita tersemai nilai keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran.

STRATEGI 1: MEMULIH KEHIDUPAN DAN MATA PENCARIAN

25. Strategi pertama di bawah fokus ini ialah Memulih Kehidupan dan Mata Pencarian. Tumpuan Kerajaan di bawah strategi ini adalah untuk meneruskan pemberian bantuan tunai langsung secara bersasar, memperkasa aspek pendidikan dan kesihatan awam serta terus menjana peluang-peluang pekerjaan.

Inisiatif 1: Bantuan Tunai Langsung dan Kebajikan

26. Pada tahun hadapan, inisiatif bantuan tunai langsung akan ditambah baik. Kerajaan akan memperkenalkan Bantuan Keluarga Malaysia (atau BKM) dengan beberapa pembaharuan supaya kumpulan yang benar-benar terkesan, diberi lebih tumpuan.

27. Pembaharuan ini telah mengambil kira cadangan yang diterima daripada orang ramai melalui penerbitan Kertas Konsultasi Awam berhubung penambahbaikan bantuan rakyat. Oleh itu, untuk tahun 2022, BKM akan menyalurkan bantuan iaitu sebanyak 2,000 ringgit kepada isi rumah yang mempunyai tiga orang anak atau lebih dengan pendapatan kurang 2,500 ringgit sebulan. Pemberian bantuan ini merupakan peningkatan berbanding 1,800 ringgit iaitu kadar tertinggi di bawah Bantuan Prihatin Rakyat (atau BPR) sebelum ini.

28. Selanjutnya, maklum balas lain yang diterima turut menyentuh soal cabaran yang perlu ditanggung oleh ibu tunggal dalam menyara anak-anaknya; selain warga emas B40 yang kekurangan simpanan persaraan dan tiada sumber pendapatan tetap. Sebagai pembaharuan untuk tahun hadapan, Kerajaan juga akan memberi bantuan tambahan sebanyak 500 ringgit lagi kepada ibu atau bapa tunggal yang mempunyai anak tanggungan dan berpendapatan bulanan sehingga 5,000 ringgit. Selain itu, bantuan tambahan sebanyak 300 ringgit lagi turut diberikan kepada isi rumah warga emas. Ini bermakna, kepada ibu atau bapa tunggal dengan tiga anak atau lebih, layak mendapat BKM maksimum sebanyak 2,500 ringgit.

29. Secara keseluruhan, BKM akan memanfaatkan lebih 9.6 juta penerima dengan peruntukan 8.2 bilion ringgit iaitu peningkatan berbanding 8.6 juta penerima dengan peruntukan 7 bilion ringgit di bawah BPR.

30. Selanjutnya, berhubung bantuan yang disalurkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat, syarat kelayakan kebajikan akan dinaikkan kepada Paras Garis Kemiskinan Makanan 2019 iaitu 1,169 ringgit berbanding PGK 2016 iaitu 980 ringgit sebelum ini. Usaha meluaskan liputan perlindungan sosial ini adalah selaras dengan komitmen Kerajaan bagi memastikan bantuan yang sampai ke tangan mereka yang memerlukan, turut mengambil kira kenaikan kos sara hidup semasa. Oleh itu, dengan kenaikan ini, lebih ramai akan menikmati faedah bantuan kebajikan di bawah JKM dengan peruntukan tambahan 200 juta ringgit. Secara keseluruhan, 2.4 bilion ringgit disediakan bagi penyaluran bantuan kebajikan untuk manfaat lebih 440 ribu isi rumah memerlukan.

Datuk Yang di-Pertua,

31. Mengambil ibrah firman Allah Subhanahu Wa Taala dalam surah al-Baqarah ayat 220 – kita diingatkan akan perlunya menjaga kesejahteraan anak-anak yatim. Sejak wabak COVID-19 menjengah ke tanah kita, lebih 4,700 anak-anak telah hilang tempat bermanja, apabila ibu dan bapa mereka pergi buat selamanya akibat virus ini. Sebagai Keluarga Malaysia, menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan masa depan anak-anak ini terus terjaga.

32. Pada tahun hadapan, Kerajaan menyediakan 25 juta ringgit kepada Yayasan Keluarga Malaysia bagi memimpin usaha melindungi kebajikan, pendidikan dan masa depan anak-anak ini. Sebagai tambahan, Kerajaan juga menyeru semua pihak khususnya sektor korporat untuk sama menyumbang demi kebajikan anak-anak ini.

33. Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah berkesempatan melawat anakanak yang kehilangan ibu dan bapa akibat COVID-19 pada 16 Oktober lalu. Seluruh negara turut melahirkan rasa simpati atas nasib adik-beradik ini. Buat adik Muhammad Hadhrami; Husna Humaira; Muhammad Harraz; Muhammad Hawwas dan Hannan Humaira serta anak-anak yatim piatu Keluarga Malaysia yang lain, kami sayang semua, kami sentiasa ada untuk menjaga kamu semua.

34. Kerajaan menggesa semua pihak tidak kira NGO, komuniti setempat, pemimpin tempatan malah syarikat korporat untuk memainkan peranan bagi memastikan kebajikan anak-anak ini terus terpelihara supaya semua dapat hidup bersama sebagai satu keluarga tanpa terpisah dan dapat membina masa hadapan yang cerah.

Inisiatif 2: Akses Kemudahan Kesihatan Awam

Datuk Yang di-Pertua,

35. Kerajaan akan terus mengutamakan aspek kesihatan awam bagi membina daya tahan negara dalam persediaan kita ke fasa endemik COVID-19. Bajet 2022 menyediakan 32.4 bilion ringgit kepada Kementerian Kesihatan untuk perbelanjaan mengurus dan pembangunan. Sebagai Kerajaan yang mementingkan kesejahteraan rakyatnya, peruntukan bagi Kementerian Kesihatan adalah yang kedua terbesar selepas Kementerian Pendidikan.

36. Peperangan kita dengan pandemik COVID-19 ini masih belum berakhir. Oleh itu, tambahan 4 bilion ringgit disediakan khusus untuk meneruskan agenda menangani COVID-19 yang merangkumi 2 bilion ringgit bagi membiayai program vaksinasi. Manakala 2 bilion ringgit lagi disediakan bagi meningkatkan kapasiti fasiliti perkhidmatan kesihatan awam seperti pembelian bekalan ubat, bahan guna habis, PPE dan kit kesihatan. Dalam semangat Keluarga Malaysia, Kementerian Kesihatan juga telah menyumber luar ke hospital swasta dan hospital seliaan Kementerian lain bagi mengoptimumkan kapasiti kesihatan dalam negara.

37. Selanjutnya, bagi terus menang dalam melawan COVID-19, Kerajaan bercadang untuk melaksanakan perolehan ubat antiviral yang didapati berkesan terhadap pelbagai virus termasuk COVID-19.

38. Yang utama sekali, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan akan terus diperkasa bagi membekalkan dos ketiga sebagai vaksin penggalak kepada semua orang dewasa di samping meneruskan vaksinasi kepada anak-anak berusia 12 hingga 17 tahun. Kerajaan telah menandatangani perjanjian untuk mendapatkan 88 juta dos iaitu bersamaan lebih 140 peratus penduduk dan cukup untuk memberi dos ketiga kepada semua penduduk berusia 12 tahun dan ke atas.

39. Pada kesempatan ini, saya merakamkan penghargaan kepada semua ahli Yang Berhormat yang sebulat suara meluluskan pindaan Akta untuk membenarkan kegunaan dana Kumpulan Wang Amanah Negara bagi membiayai perolehan vaksin COVID-19. Dengan pindaan ini, Kerajaan akan membelanjakan sebaiknya bagi memenuhi keperluan vaksinasi dalam memulih semula dan membina daya tahan buat rakyat dan perniagaan.

40. Bagi tahun hadapan, Kerajaan bercadang untuk memberikan pelepasan cukai individu dan potongan cukai kepada majikan ke atas kos berkaitan pengambilan vaksin penggalak yang dibiayai sendiri.

Datuk Yang di-Pertua,

41. Aspek kesihatan awam juga akan diberi perhatian. Dalam memupuk budaya sihat serta menangani masalah penyakit tidak berjangkit seperti kencing manis, darah tinggi dan obesiti, Kerajaan bersetuju untuk meneruskan Agenda Nasional Malaysia Sihat. Dalam sesi sembang santai bersama anak muda, Dr Shantesh Kumar telah membangkit isu berkenaan penyakit jarang jumpa. Oleh itu, Kerajaan akan memantapkan pengurusan Klinikal Penyakit Jarang Jumpa di Malaysia seperti lisosomal.

42. Selain itu, ke arah gaya hidup sihat juga, Kerajaan bercadang untuk meluaskan kenaan duti eksais ke atas produk minuman bergula dalam bentuk pracampuran berasaskan coklat atau koko, malt, kopi dan teh. Kerajaan juga bercadang mengenakan duti eksais ke atas produk cecair atau gel mengandungi nikotin yang digunakan untuk rokok elektronik dan vape.

43. Bagi memastikan kesiapsiagaan perkhidmatan kesihatan awam, Kerajaan akan bekerjasama dengan Persatuan Bulan Sabit Merah dan St John Ambulance untuk meningkatkan akses dan capaian respons perkhidmatan ambulans.

44. Kerajaan telah bersetuju untuk menyambung pelantikan secara kontrak lebih 10 ribu pegawai perubatan, pergigian dan farmasi selepas tempoh khidmat wajib selama dua tahun kepada maksimum empat tahun bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan dan sebagai persediaan pengajian kepakaran mereka. Sebagai tambahan, sukacita diumumkan Kerajaan bersetuju meluluskan penajaan program kepakaran dengan peruntukan 100 juta ringgit untuk manfaat 3,000 pegawai kontrak perubatan dan pergigian.

45. Krisis pandemik ini telah menerukkan masalah kesempitan hidup, keganasan rumah tangga dan kemurungan sehingga menjadi punca kepada isu kesihatan mental. Maka, Bajet ini memperuntukkan 70 juta ringgit bagi terus memastikan isu kesihatan mental ini diberi keutamaan, antaranya untuk memperkukuh perkhidmatan sokongan, kaunseling dan psikososial, menambah program advokasi serta memperkasa peranan NGO sebagai penggerak program kesihatan mental.

46. Selanjutnya, Kerajaan juga bercadang untuk meluaskan skop pelepasan cukai pendapatan individu bagi perbelanjaan pemeriksaan kesihatan meliputi kos khidmat konsultasi pakar psikiatri, ahli psikologi klinikal dan kaunselor yang berdaftar.

Inisiatif 3: Pendidikan Berkualiti Untuk Semua

Datuk Yang di-Pertua,

47. Bajet ini kekal mengutamakan pendidikan sebagai segmen terpenting perbelanjaan negara. Kementerian Pendidikan Malaysia akan terus menerima peruntukan terbesar iaitu sejumlah 52.6 bilion ringgit atau 16 peratus daripada keseluruhan anggaran perbelanjaan Persekutuan. Sementara itu, Kementerian Pengajian Tinggi bakal diperuntukkan sejumlah 14.5 bilion ringgit.

48. Tidak ada yang lebih menggembirakan buat anak-anak apabila dapat kembali semula ke sekolah secara bersemuka bersama rakan. Setiap awal tahun, tentunya ibu bapalah yang paling sibuk menyediakan kelengkapan sekolah anakanak. Bagi tahun 2022, Kerajaan bersetuju untuk menyediakan Bantuan Awal Persekolahan sebanyak 150 ringgit iaitu meningkat berbanding 100 ringgit sebelum ini. Sejumlah 450 juta ringgit diperuntukkan yang dijangka memanfaatkan 3 juta murid-murid yang layak.

49. Dengan sekolah mula dibuka, suasana pembelajaran yang kondusif buat anak-anak akan terus diberi perhatian. Pada tahun hadapan, sejumlah 1 bilion ringgit disediakan untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan sekolah. Peruntukan ini juga termasuk 140 juta ringgit kepada JAKIM bagi menyelenggara antaranya sekolah tahfiz, sekolah agama rakyat dan institusi pondok berdaftar iaitu meningkat berbanding 100 juta ringgit pada tahun 2021.

50. Peruntukan penyelenggaraan kepada lebih 10 ribu sekolah di bawah Kementerian Pendidikan akan diagihkan mengikut jenis sekolah berdasarkan kadar yang seragam. Bagi tahun 2022, sebanyak 120 juta ringgit disediakan untuk manfaat 1,800 buah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan juga Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil.

51. Di samping itu, pada tahun hadapan juga, Kerajaan akan terus menaik taraf sekolah-sekolah daif dengan peruntukan dinaikkan kepada 746 juta ringgit. Sebilangan besar peruntukan ini adalah untuk menaik taraf sekolah daif dengan 112 projek di Sabah dan 165 projek di Sarawak.

52. Bagi memperkasa agenda pendidikan khas, Kerajaan menyediakan 50 juta ringgit antaranya untuk membiayai pembelian peralatan mengajar dan menambah baik fasiliti sekolah berkeperluan khas. Selain itu, sebanyak lapan buah blok baharu pendidikan khas turut dibina, antaranya di SMK Tuanku Lailatul Shahreen di Perlis dan SMK Agama Alor Gajah di Melaka.

53. Bagi memastikan murid-murid daripada keluarga berpendapatan rendah mendapat kandungan khasiat harian demi pertumbuhan fizikal dan mental yang menyeluruh, Kerajaan akan meneruskan penyediaan bekalan susu harian di bawah Rancangan Makanan Tambahan dengan peruntukan 400 juta ringgit.

Sebahagian perolehan ini akan dikhaskan kepada pengeluar susu tempatan.

54. Sewaktu pelaksanaan PdPR, para guru memainkan peranan mereka dalam memastikan setiap anak murid tidak tercicir daripada mendapat pendidikan formal. Sebagai menghargai jasa guru yang menyediakan bahan mengajar tambahan kepada murid-murid semasa tempoh pandemik, Bajet ini buat pertama kalinya menyediakan Insentif Khas Alat Bantuan Mengajar secara sekali bayar sebanyak 100 ringgit kepada lebih 400 ribu guru sekolah di bawah KPM.

Datuk Yang di-Pertua,

55. Sepanjang tempoh pandemik, mahasiswa tetap meneruskan pengajian mereka dalam norma yang baharu. Bagi pelajar yang kurang mampu, mereka adakalanya perlu meminjam peranti kawan, atau terpaksa ke pusat internet di pekan, untuk membuat tugasan pengajian. Malah, kadang-kadang ada juga antara mereka yang tidak dapat hadir ke kuliah online. Bagi memastikan proses pengajian para pelajar B40 terus terpelihara, Kerajaan dengan kerjasama syarikat telekomunikasi terpilih akan melaksanakan inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia bagi membekalkan sebuah tablet kepada setiap pelajar B40 di institusi pengajian tinggi. Bagi tujuan ini, Kerajaan akan menyediakan peruntukan 450 juta ringgit di samping komitmen syarikat telekomunikasi yang turut menyumbang kirakira 65 juta ringgit. Insya-Allah, seramai 600 ribu siswa-siswi daripada keluarga B40 bakal menerima manfaat daripada inisiatif ini.

56. Sebagai tambahan, Kerajaan bercadang untuk melanjutkan pelepasan khas cukai pendapatan individu sehingga 2,500 ringgit ke atas pembelian telefon bimbit, komputer dan tablet sehingga 31 Disember 2022.

57. Seperti semua maklum, PTPTN ditubuhkan bagi mengurus pinjaman pendidikan yang disediakan sebagai kemudahan kepada pelajar institusi pengajian tinggi tempatan. Sebagai pinjaman, semestinya ia satu amanah yang wajib dibayar semula oleh peminjam. Jika tidak, ia menafikan peluang anak-anak kita pada masa hadapan. Oleh itu, bagi memudahkan proses bayaran balik dan memupuk sikap bertanggungjawab, Kerajaan bersetuju memberikan diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN bermula 1 November 2021 hingga 30 April 2022 seperti berikut:

Pertama:
Diskaun 15 peratus atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman;

Kedua:
Diskaun 12 peratus untuk bayaran sekurang-kurangnya
50 peratus daripada baki hutang dalam sekali bayaran; dan

Ketiga: Diskaun 10 peratus untuk bayaran balik melalui potongan gaji
atau debit terus mengikut jadual.

58. Dalam RMK-12, Kerajaan telah mengenal pasti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (atau TVET) sebagai salah satu pemacu perubahan bagi memenuhi permintaan pekerja oleh industri kita dengan lebih baik. Bagi memperkasa bidang TVET, Kerajaan menyediakan 6.6 bilion ringgit untuk melaksanakan pelbagai inisiatif di bawah kementerian dan agensi-agensi berkaitan. Tumpuan diberikan kepada usaha memenuhi keperluan industri semasa. Sehubungan itu, peruntukan tambahan 200 juta ringgit disediakan untuk program usaha sama dengan industri termasuk Skim Latihan Dual Nasional dan program persijilan industri.

Inisiatif 4: Menjana dan Mengekalkan Pekerjaan

Datuk Yang di-Pertua,

59. Seperti semua sedia maklum, pandemik COVID-19 telah memberi kesan yang signifikan kepada pekerjaan dan mata pencarian rakyat, dengan kadar pengangguran telah meningkat sehingga 5.3 peratus pada Mei 2020. Sungguhpun ia kini telah menyederhana dengan kadar 4.6 peratus pada Ogos 2021, hampir 750 ribu saudara-saudari kita yang masih menganggur perlu dibantu.

60. Oleh itu, mengambil semangat konsep job guarantee, bagi tahun hadapan, Kerajaan di bawah inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia (atau JaminKerja) akan menjamin penyediaan 600 ribu peluang pekerjaan dengan peruntukan berjumlah 4.8 bilion ringgit.

61. Kerajaan melalui PERKESO akan meneruskan usaha pengambilan pekerja melalui inisiatif insentif penggajian JaminKerja dengan sasaran 300 ribu orang dan peruntukan 2 bilion ringgit. Di bawah inisiatif ini, kepada majikan yang mengambil Keluarga Malaysia yang tidak aktif bekerja, Kerajaan akan memberikan insentif sebanyak 20 peratus daripada gaji bulanan bagi tempoh enam bulan pertama dan 30 peratus bagi enam bulan berikutnya tertakluk kepada pekerjaan bergaji 1,500 ringgit ke atas.

62. Selain itu, bagi menggalakkan majikan menyediakan peluang pekerjaan kepada kumpulan tumpuan seperti OKU, Orang Asli dan banduan pula, Kerajaan akan memberikan insentif sebanyak 30 peratus daripada gaji bulanan bagi tempoh enam bulan pertama dan 40 peratus bagi enam bulan berikutnya tertakluk kepada pekerjaan bergaji 1,200 ringgit ke atas. Bagi menggalakkan wanita kembali bekerja, insentif ini turut dipanjangkan kepada majikan yang menggaji golongan wanita tidak bekerja melebihi 365 hari, ibu tunggal dan suri rumah.

63. Selanjutnya, inisiatif Malaysia Short-term Employment Programme atau MySTEP akan diteruskan dengan menawarkan 80 ribu peluang pekerjaan secara kontrak merangkumi 50 ribu pekerjaan dalam sektor awam dan 30 ribu pekerjaan dalam Syarikat Berkaitan Kerajaan mulai Januari 2022.

64. Bajet ini turut menyasarkan 220 ribu pelatih untuk menjalani pelbagai program latihan dan peningkatan kemahiran dengan peruntukan keseluruhan 1.1 bilion ringgit. Antara inisiatif yang akan dilaksanakan termasuklah program place and train iaitu latihan dengan jaminan pekerjaan. Program peningkatan kemahiran dengan kerjasama industri turut dipergiat dengan keutamaan kepada kemahiran digital seperti contoh program Global Online Workforce (atau GLOW) di bawah MDEC.

65. Contohnya Puan Zeti Haiza, pengurus di sebuah agensi pelancongan di Melaka. Tanpa pelancong dari luar negara, pendapatannya terjejas. Melalui program latihan GLOW oleh MDEC, Puan Zeti menceburkan diri secara freelancing di platform dalam talian untuk menjana pendapatan dari rumah sekali gus boleh menawarkan perkhidmatannya ke luar negara.

66. Berdasarkan keberhasilan pelaksanaan program latihan dan peningkatan kemahiran di bawah Belanjawan 2021, lebih 85 peratus daripada pelatih telah ditawarkan peluang penempatan pekerjaan. Diharapkan melalui pelaksanaan inisiatif JaminKerja serta langkah pemulihan ekonomi dapat menurunkan kadar pengangguran negara kepada 4 peratus dan mencapai tahap guna tenaga penuh.

67. Sebagai usaha menggalakkan Keluarga Malaysia mengikuti program latihan serta menceburi bidang baharu, pelepasan cukai bagi perbelanjaan menghadiri kursus peningkatan kemahiran atau kemajuan diri dinaikkan daripada 1,000 kepada 2,000 ringgit sehingga 2023. Selain itu, kepada yang mengambil kursus dengan badan-badan profesional yang diluluskan, mereka layak mendapat pelepasan cukai ke atas yuran sehingga 7,000 ringgit. Kursus profesional yang diluluskan antaranya merangkumi bidang perakaunan, kewangan serta yang berkaitan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (atau ESG).

68. Kerajaan juga bercadang melanjutkan potongan cukai dua kali kepada syarikat yang memberi biasiswa kepada pelajar institusi pengajian tinggi dan diperluas kepada semua bidang pengajian.

Inisiatif 5: Perlindungan Sosial

Datuk Yang di-Pertua,

69. Krisis pandemik ini telah membuktikan bahawa sistem perlindungan sosial perlu diperkukuh dan diberi keutamaan buat semua. Maka, Kerajaan ini komited untuk meneruskan pelbagai dasar dan program perlindungan bagi manfaat Keluarga Malaysia yang memerlukan.

70. Di bawah Program Baucar Perlindungan Tenang, penerima bantuan B40 layak menerima baucar 50 ringgit sebagai bantuan kewangan untuk membeli produk Perlindungan Tenang termasuk takaful hayat dan kemalangan diri. Untuk tahun hadapan, inisiatif ini akan diteruskan dengan nilai baucar ditingkatkan kepada 75 ringgit. Sebagai tambahan, baucar ini juga boleh digunakan untuk membeli polisi insurans komprehensif bagi motosikal 150cc ke bawah mulai 1 Januari 2022. Diharapkan dengan peluasan skop perlindungan ini, kumpulan B40 terutamanya yang menunggang motosikal untuk mencari rezeki akan memperoleh manfaat daripadanya.

71. Selanjutnya, Kerajaan juga bercadang untuk memberikan pengecualian duti setem kepada produk Perlindungan Tenang serta produk insurans atau takaful dengan nilai premium atau sumbangan tidak melebihi 150 ringgit bagi individu dan 250 ringgit bagi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (atau PMKS).

72. Setakat 30 September 2021, mySalam sebagai skim insurans perubatan khas untuk B40 telah membayar tuntutan berkaitan hospitalisasi dan penyakit kritikal sebanyak lebih 180 juta ringgit kepada 125 ribu pesakit. Di samping itu, 229 ribu individu juga telah menerima pampasan disebabkan COVID-19 dengan nilai keseluruhan 115 juta ringgit. Pada tahun ini, skop mySalam telah diperluas meliputi tuntutan kos peranti perubatan seperti stent untuk jantung. Bagi tahun hadapan, skim MySalam akan diperluas kepada penerima BKM dan manfaat tuntutan kos peranti perubatan juga akan dipanjangkan kepada anak tanggungan penerima mySalam yang layak.

73. Inisiatif i-Saraan dilaksanakan bagi menggalakkan pekerja sektor informal menabung untuk hari persaraan melalui caruman KWSP. Melalui inisiatif ini, Kerajaan mencarum sebanyak 15 peratus daripada caruman sukarela yang dibuat oleh pekerja sektor informal, terhad kepada maksimum 250 ringgit setahun. Bagi tahun 2022, Kerajaan akan meluaskan penerima manfaat inisiatif ini untuk turut merangkumi mereka yang berumur antara 55 sehingga 60 tahun. Sejumlah 30 juta ringgit disediakan untuk memanfaatkan lebih 100 ribu peserta sedia ada dan baharu.

74. Bagi memberi perlindungan sosial kepada suri rumah dan balu melalui caruman ke KWSP dan PERKESO, Kerajaan menyediakan 80 juta ringgit di bawah Program Kasih Suri Keluarga Malaysia khusus untuk manfaat mereka hingga umur 55 tahun.

75. Pada tahun ini, Kerajaan telah meluaskan liputan perlindungan sosial negara di bawah PERKESO untuk turut mencarum bagi pekerja sendiri dan sektor informal. Bagi tahun hadapan, inisiatif ini diteruskan dengan nilai caruman 80 peratus dan meluaskan manfaatnya kepada 9 kategori pekerja sendiri baharu antaranya petani, nelayan, penjaja, artis, ejen pelancongan dan petugas Pemulihan Dalam Komuniti. Inisiatif ini dijangka memanfaatkan lebih 810 ribu pekerja sendiri.

76. Puan Ch’ng Pui Peng dan suaminya yang tinggal di Perak, telah hilang mata pencarian. Selain menyara seorang anak, beliau turut menjaga ibunya yang sudah tua. Sepanjang tempoh mencari peluang kerja baharu, beliau telah diberikan Elaun Mencari Kerja Tambahan di bawah Sistem Insurans Pekerjaan. Wang yang diperolehi, beliau belanjakan sebaiknya untuk menyara keluarga sementara menunggu pekerjaan tetap. Syukur, Puan Ch’ng kini telah kembali bekerja sejak Oktober lalu. Oleh itu, dalam terus membantu individu yang aktif mencari pekerjaan, Kerajaan akan meneruskan pemberian Elaun Mencari Pekerjaan kepada pencarum dan bukan pencarum PERKESO.

77. Sejak penularan wabak COVID-19, ribuan Keluarga Malaysia yang kehilangan punca pendapatan akibat kematian suami, isteri atau ibu bapa telah menerima faedah pencen penakat di bawah PERKESO. Bagi tahun hadapan, Kerajaan bercadang untuk meningkatkan kadar pencen minimum di bawah Skim Keilatan daripada 475 kepada 550 ringgit yang akan membantu 56 ribu isi rumah. Selain itu, inisiatif ini diikuti dengan penyelarasan faedah-faedah PERKESO kepada kos sara hidup yang dijangka akan memanfaatkan lebih 400 ribu penerima faedah sedia ada. Dengan peningkatan ini, Kerajaan juga bercadang meningkatkan siling gaji yang diinsuranskan daripada 4,000 kepada 5,000 ringgit untuk menambah baik liputan keselamatan sosial bagi 9 juta pekerja yang dilindungi oleh PERKESO. Secara keseluruhan, inisiatif ini akan melibatkan penambahan faedah PERKESO yang berjumlah 267 juta ringgit.

78. Kerajaan bercadang untuk meluaskan pelepasan cukai sehingga 4,000 ringgit kepada pencarum KWSP meliputi caruman secara sukarela seperti mereka yang bekerja sendiri dalam sektor gig.

79. Akhir sekali, untuk terus menggalakkan pekerja swasta mencarum dengan PERKESO dan melindungi mereka yang kehilangan pekerjaan, had pelepasan cukai dinaikkan daripada 250 kepada 350 ringgit dan skop pelepasan bagi caruman PERKESO turut diperluas meliputi caruman pekerja melalui Sistem Insurans Pekerjaan.

STRATEGI 2: MEMBANGUN SEBUAH KELUARGA MALAYSIA

Datuk Yang di-Pertua,

80. Strategi kedua adalah untuk Membangun Sebuah Keluarga Malaysia. Apalah maknanya Keluarga Malaysia tanpa inisiatif menyeluruh buat segenap lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa, agama, usia, jantina dan wilayah.

Inisiatif 1: Pembangunan Bumiputera dan Syiar Islam

81. Bajet 2022 memastikan agenda pemerkasaan Bumiputera terus diberi keutamaan dalam usaha untuk merapatkan jurang antara kaum di negara ini. Untuk itu, sejumlah 11.4 bilion ringgit disediakan bagi melaksanakan pelbagai inisiatif di bawah payung pembangunan Bumiputera.

82. Daripada jumlah tersebut, 6.6 bilion ringgit disediakan bagi kemudahan pendidikan buat anak-anak Bumiputera antaranya di bawah MARA, UiTM dan Yayasan Peneraju. Peruntukan ini disediakan untuk pinjaman pendidikan, menaik taraf program sijil ke diploma, selain usaha melahirkan profesional dalam kalangan Bumiputera di bidang perubatan, kejuruteraan dan kewangan.

83. Manakala, sebanyak 4.8 bilion ringgit pula adalah untuk melaksanakan pelbagai program peningkatan kapasiti dan pembiayaan perniagaan di bawah
Perbadanan Usahawan Nasional Berhad, TEKUN Nasional dan Dana Kemakmuran Bumiputera.

84. Sebagai usaha meningkatkan penglibatan syarikat anchor dalam membangunkan vendor Bumiputera tempatan, potongan cukai dua kali bagi perbelanjaan operasi yang layak dinaikkan daripada sehingga 300 ribu kepada sehingga 500 ribu ringgit dan dilanjutkan bagi tempoh 5 tahun sehingga 31 Disember 2025.

85. Akhir sekali, bagi menggalakkan penyertaan belia Bumiputera dalam melaksanakan projek-projek berskala kecil perolehan Kerajaan, sebanyak 200 juta ringgit akan disediakan. Sebagai tambahan, Kerajaan melalui CIDB akan mewujudkan accelerator programme khusus kepada kontraktor belia G1 hingga G4 melalui kursus peningkatan kapasiti dan on-the-job training dengan peruntukan 10 juta ringgit.

Datuk Yang di-Pertua,

86. Aspek pengimarahan syiar Islam juga menjadi tumpuan dalam Bajet 2022. Secara keseluruhan, Kerajaan memperuntukkan 1.5 bilion ringgit bagi pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam di bawah Jabatan Perdana Menteri.

87. Di bawah payung pendidikan Islam, Kerajaan akan melaksana inisiatif berikut:

Pertama:
Membina sebuah Sekolah Menengah Agama di Wilayah Persekutuan Labuan dengan kos keseluruhan projek berjumlah 65 juta ringgit;

Kedua:
Meluaskan skop pengajaran Takmir di bawah JAKIM kepada agensi-agensi Kerajaan seperti Jabatan Penjara Malaysia, Agensi Antidadah Kebangsaan dan Jabatan Kebajikan
Masyarakat dengan menambah 1,000 orang Guru Takmir; dan

Ketiga: Menyalurkan pemberian khas sekali bayar sebanyak 500
ringgit untuk manfaat 70 ribu orang Imam, Bilal, Siak, Noja, Marbut, Guru Takmir dan Guru KAFA.

88. Kerajaan akan terus memperkasa wakaf sebagai instrumen agihan semula kekayaan bagi pembangunan ekonomi ummah. Bagi melahirkan lebih ramai usahawan tani dan pengusaha industri halal serta membantu mereka sekiranya ditimpa bencana, Kerajaan akan menyalurkan dana permulaan sebanyak 10 juta ringgit bagi memulakan inisiatif Wakaf Halal PKS, Wakaf Pertanian dan Wakaf Bencana. Syarikat-syarikat Korporat dan individu dialu-alukan untuk mewakafkan harta mereka ke dalam tabung ini.

Inisiatif 2: Pembangunan Semua Kaum

Datuk Yang di-Pertua,

89. Selain daripada program-program nasional untuk manfaat semua, sebanyak 200 juta ringgit turut disediakan khusus untuk kaum Cina. Peruntukan ini antaranya untuk melaksanakan program baik pulih rumah dan kemajuan kampung baru, akses pembiayaan bagi penduduk kampung baru dan Skim Pembiayaan Usahawan PKS.

90. Bagi kaum India pula, sebanyak 145 juta ringgit disediakan antaranya untuk melaksanakan program memperkasa sosioekonomi komuniti India di bawah Unit Transformasi Masyarakat India dan dana pembiayaan di bawah Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India oleh TEKUN.

91. Dalam menggalakkan anak-anak Sabah dan Sarawak mendalami ilmu berkaitan budaya dan warisan, sebanyak 10 juta ringgit disediakan untuk tujuan ini.

92. Kepada komuniti Orang Asli pula, sebanyak 274 juta ringgit diperuntukkan, antaranya bagi melaksanakan Program Peningkatan Taraf Hidup Orang Asli seperti pemberian subsidi dan bantuan persekolahan serta bantuan kebajikan untuk manfaat hampir 200 ribu Orang Asli. Untuk tahun hadapan, Kerajaan akan menaikkan kadar wang saku murid sekolah menengah kepada 4 ringgit sehari.

93. Bagi mendokong agenda perpaduan dan budaya sukarela di peringkat komuniti, Kerajaan menyediakan geran 6,000 ringgit untuk setiap Kawasan Rukun Tetangga (atau KRT). Lebih 8,000 KRT akan menerima manfaat daripada geran ini dengan peruntukan sebanyak 50 juta ringgit.

94. Kerajaan juga memperuntukkan 50 juta ringgit bagi kerja-kerja pembaikan, penyelenggaraan dan pembangunan kecil rumah ibadat di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan. Peruntukan ini turut merangkumi pelaksanaan aktiviti-aktiviti komuniti dengan kerjasama pengurusan rumah ibadat dan penduduk setempat.

Inisiatif 3: Pembangunan Wanita

Datuk Yang di-Pertua,

95. Bila kita sebut perihal seorang yang bernama wanita, merekalah insan yang begitu istimewa dan patut dihargai sebagai pasangan kita dunia akhirat. Kaum wanita, jika diberi peluang dan ruang, boleh menjadi daya penggerak utama produktiviti dan ekonomi negara. Kita seharusnya memastikan kaum wanita dapat memenuhi potensi mereka dalam menyumbang kepada kesejahteraan kita bersama.

96. Sumbangan wanita dalam ekonomi tidak pernah dinafikan malah perlu diperkukuh. Buat masa ini, golongan wanita memegang 25 peratus daripada komposisi ahli lembaga pengarah bagi 100 syarikat awam utama. Namun, masih terdapat 27 peratus atau 252 syarikat-syarikat tersenarai di Bursa Malaysia yang belum mempunyai komposisi pengarah wanita. Bagi mengiktiraf peranan wanita dalam proses membuat keputusan dan memperkukuh kepimpinan serta keberkesanan lembaga pengarah, Kerajaan melalui Suruhanjaya Sekuriti akan mewajibkan pelantikan sekurang-kurangnya seorang pengarah wanita bagi semua syarikat senaraian awam. Cadangan ini dijangka berkuat kuasa pada 1 September 2022 bagi syarikat bermodal besar dan 1 Jun 2023 bagi syarikat tersenarai lain.

97. Selain itu, Kerajaan juga menyediakan 5 juta ringgit kepada Yayasan Kepimpinan Wanita bagi merancakkan penyertaan wanita dalam sektor ekonomi melalui antaranya latihan kepimpinan muda dan program keusahawanan.

98. Bagi membantu usahawan wanita yang turut terkesan akibat COVID-19 serta sebagai langkah meningkatkan kapasiti perniagaan mereka, sejumlah 230 juta ringgit dana pembiayaan akan disediakan antaranya melalui Program DANANITA di bawah MARA dan TEKUNITA di bawah TEKUN.

99. Kerajaan juga akan melaksanakan Program MyKasih Kapital untuk menggalakkan wanita menjana pendapatan dari rumah. Insentif dalam bentuk bantuan asas modal perniagaan akan diberikan di samping program bimbingan bagi menggalakkan perniagaan secara dalam talian. 5,000 peserta termasuk 2,000 ibu tunggal akan meraih manfaat daripada program ini.

100. Bagi menambah baik sistem sokongan sedia ada buat kaum ibu berkerjaya, 30 juta ringgit disediakan untuk menyediakan kemudahan taska di bangunan-bangunan Kerajaan, terutamanya di hospital dan universiti awam. Kerajaan juga menggalakkan majikan sektor swasta untuk pengaturan kerja fleksibel serta menyediakan kemudahan taska di pejabat. Untuk itu, selain insentif cukai, Kerajaan turut akan meminda garis panduan bagi membenarkan taska beroperasi di aras melebihi tingkat 1 pejabat.

101. Sebagai mengiktiraf wanita berkerjaya yang menguruskan anak-anak mereka ketika waktu bekerja, Kerajaan bercadang untuk melanjutkan pelepasan cukai pendapatan individu sehingga 3 ribu ringgit bagi bayaran yuran taska dan tadika sehingga tahun taksiran 2023.

102. Kita harus akui pada tangan suri kita, tersemat keringat yang menghayun buaian, yang memupuk dan sama menyumbang kepada kehidupan. Namun, kadangkala ada pula tangan-tangan lain yang tidak mengerti perjuangan seorang ibu, isteri, dan puteri sehingga tergamak berkelakuan tidak manusiawi. Ini tidak sepatutnya berlaku.

103. Oleh itu, dalam perjuangan menoktahkan kerakusan ini, Kerajaan bersedia untuk memperuntukkan 13 juta ringgit khas untuk memperkasa Bahagian D11 Polis Diraja Malaysia bagi Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak, termasuk pewujudan 100 perjawatan baharu. Di samping itu, program kesedaran komuniti berhubung keganasan terhadap wanita di seluruh negara melalui Skuad WAJA akan dilaksanakan.

104. Selain itu, bagi melindungi kebajikan lebih ramai mangsa keganasan rumah tangga, Kerajaan juga akan menambah Pusat Sokongan Sosial Setempat serta bekerjasama dengan NGO untuk meningkatkan bilangan Rumah Perlindungan Khas Wanita.

105. Aspek kesihatan dan kebersihan diri remaja wanita amat penting dalam mengurangkan sebarang risiko kesihatan dan keciciran di sekolah. Timbalan saya, YB Paya Besar dalam sebuah sesi libat urus telah mengenal pasti satu isu serius. Dianggarkan 130 ribu remaja wanita dari keluarga B40 di Malaysia tidak mendapat akses kepada produk kebersihan seperti tuala wanita atas sebab kekangan kewangan. Oleh itu, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Malaysia dengan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia akan mengedarkan secara percuma kit asas kebersihan diri setiap bulan kepada 130 ribu remaja wanita golongan B40. Di samping itu, kempen dan pendidikan kesihatan reproduktif juga akan terus dijalankan di sekolah-sekolah dengan kerjasama pihak NGO.

106. Selanjutnya, berhubung segmen kesihatan wanita juga, sejumlah lebih 11 juta ringgit disediakan sebagai subsidi ujian mammogram kepada wanita berisiko tinggi dan melaksanakan ujian saringan kanser serviks kepada wanita.

Inisiatif 4: Pembangunan Komuniti Tumpuan

Datuk Yang di-Pertua,

107. Kerajaan ini akan terus giat melaksanakan program-program pembangunan sosioekonomi dan memelihara kebajikan komuniti tumpuan, terutamanya melibatkan warga emas, kanak-kanak, OKU dan lain-lain.

108. Menjelang tahun 2030, Malaysia bakal dikategorikan sebagai negara menua. Bagi memastikan setiap warga emas yang memerlukan mendapat sokongan berterusan, Bajet ini menyediakan lebih 635 juta ringgit khusus untuk bantuan kebajikan, institusi penjagaan dan pusat aktiviti warga emas.

109. Aspek keselamatan kanak-kanak adalah penting lebih-lebih lagi ketika kita sedang berada di jalan raya untuk menuju ke suatu destinasi. Bagi memastikan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak di dalam kereta, Kerajaan akan mensubsidi 50 peratus atau sehingga 150 ringgit untuk pembelian kerusi keselamatan kanak-kanak oleh keluarga B40. Sejumlah 30 juta ringgit disediakan untuk tujuan ini dan bakal memanfaatkan 188 ribu keluarga B40.

110. Selanjutnya, aspek kesihatan kanak-kanak juga perlu dititikberatkan. Masalah kurang zat terutamanya dalam kalangan kanak-kanak miskin bandar sangat membimbangkan. Bagi tahun hadapan, Kerajaan menyediakan 24 juta ringgit bagi:

Pertama:
Meluaskan Program Community Feeding kepada kanakkanak daripada keluarga miskin bandar di Selangor, Johor, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Putrajaya dengan sasaran untuk menyediakan makanan tambahan lima kali seminggu kepada 100 kanak-kanak berusia 1 hingga 6 tahun;

Kedua:
Meluaskan skop penerima bantuan Program Pemulihan Kanak-kanak Kekurangan Zat Makanan bagi manfaat lebih 1,100 kanak-kanak; dan

Ketiga: Menubuhkan Bank Susu Ibu untuk bayi pramatang di Neonatal
Care Unit melibatkan hospital di Pulau Pinang, Johor, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

Datuk Yang di-Pertua,

111. Kebajikan golongan OKU tidak pernah dilupakan. Bagi tahun hadapan, Kerajaan menyediakan peruntukan khusus 30 juta ringgit bagi menaik taraf infrastruktur bangunan Kerajaan supaya mesra OKU. Peruntukan ini antaranya untuk menyediakan lebih banyak laluan khas bagi kegunaan golongan cacat penglihatan.

112. Selain itu, 10 juta ringgit juga diperuntukkan untuk Pusat Latihan Berdikari serta sebuah Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan Kerajaan bagi melaksanakan program latihan dan bimbingan ajar kepada golongan OKU.

113. Bagi memastikan tempat buat anak muda OKU menceburi bidang pekerjaan, Kerajaan akan menyediakan kuota khas sebanyak 1 peratus untuk program MyStep kepada golongan OKU.

114. Mungkin tidak ramai yang mengenali gerangan Puan Tan Lee Bee, Khairunnisa Kho Abdullah, Wan Zuraidah Abu dan Goh Soo Leng. Merekalah sebenarnya yang berjasa sebagai jurubahasa isyarat yang sering kita lihat di sudut kaca televisyen. Bagi meningkatkan akses terhadap media di samping membolehkan golongan OKU cakna dengan berita semasa dan informasi terkini, dengan bantuan BERNAMA, semua rangkaian TV termasuk saluran swasta akan menyediakan jurubahasa isyarat dalam penyampaian berita mereka.

115. Bagi tahun hadapan, Kerajaan bersetuju untuk menanggung sepenuhnya bayaran Lesen Kenderaan Motor kepada semua kenderaan persendirian yang dimiliki oleh OKU. Harapnya, ini sedikit sebanyak meringankan kos sara hidup golongan OKU.

116. Program Pemulihan Dalam Komuniti merupakan antara medium intervensi awal untuk anak-anak kurang upaya meningkatkan kemahiran diri dan menceburi pekerjaan. Setakat ini, USM merupakan universiti pertama yang melaksanakan program ini. Tahun hadapan, Kerajaan bercadang untuk meluas pelaksanaannya ke universiti-universiti awam lain.

Inisiatif 5: Pembangunan Belia dan Sukan

Datuk Yang di-Pertua,

117. Pemuda-pemudi belia negara ialah penentu pada jatuh bangunnya negara ini. Pendedahan kepada alam pekerjaan amat penting untuk mereka berhadapan dengan dunia sebenar yang kian mencabar. Sejak 2019, Kerajaan telah mula membayar elaun sebanyak 900 ringgit kepada pelajar yang menjalani program latihan industri. Oleh itu, saya menyeru agar pihak swasta turut memberi elaun sekurang-kurangnya 900 ringgit atas khidmat pelajar tersebut.

118. Selain itu, Kerajaan akan menyediakan insentif kepada majikan yang menggaji perantis lepasan sekolah dan graduan berumur 18 hingga 30 tahun sebanyak 900 ringgit sebulan bagi tempoh enam bulan; iaitu meningkat berbanding 800 ringgit sebelum ini.

119. Bagi belia yang menceburi bidang keusahawanan pula, pelan pembiayaan sebanyak 150 juta akan disediakan di bawah Bank Simpanan Nasional dan Agrobank.

120. Kerajaan bercadang untuk melanjutkan galakan cukai bagi Program Latihan Industri Berstruktur sehingga tahun taksiran 2025 dan turut diperluas kepada pelajar di peringkat Ijazah Sarjana, Sijil Profesional serta Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 1 dan 2.

121. Bagi memupuk budaya transaksi tanpa tunai di premis perniagaan, Kerajaan memperkenalkan program e-Start iaitu sebuah Skim Transaksi Tanpa Tunai. E-Start akan mengkreditkan 150 ringgit secara one-off ke dalam akaun e-dompet para belia berumur 18 hingga 20 tahun dan juga pelajar sepenuh masa di institusi pengajian tinggi. Dengan peruntukan 300 juta ringgit, Kerajaan berharap lebih 2 juta belia yang menerima manfaat daripada program ini dapat menggunakan sebaiknya melalui pembelian berguna seperti buku dan kelengkapan pembelajaran.

122. Lagu Negaraku, yang berkumandang di bumi Tokyo menandakan kejayaan atlet kita merangkul pingat emas di Kejohanan Paralimpik Tokyo. Tahniah diucapkan khususnya kepada Bonnie Bunyau Gustin, Cheah Liek Hou dan Abdul Latif Romly serta seluruh kontinjen negara atas pencapaian membanggakan ini. Menjelang Paralimpik Paris 2024, kejayaan yang lebih besar pastinya menjadi sasaran. Bagi memperkasa Sukan OKU, 10 juta ringgit diperuntukkan kepada Majlis Sukan Negara khusus untuk meningkatkan program latihan atlet OKU dan melaksanakan Liga Sukan OKU.

123. Dalam konteks yang lebih luas, Bajet ini turut menyediakan 159 juta ringgit bagi membina, menaik taraf dan menyelenggara kemudahan sukan di seluruh negara. Peruntukan ini antaranya untuk memulakan pembinaan sebuah stadium di Bukit Merbau, Pasir Putih, Kelantan merangkumi pelbagai fasiliti sukan seperti gelanggang hoki, lapang sasar menembak dan pusat akuatik.

124. Bagi memastikan rakyat kembali aktif selaras pemulihan pasca-COVID 19, Kerajaan akan memperuntukkan 50 juta ringgit bagi melaksanakan program seperti pembudayaan gaya hidup aktif, Fit Forever dan Penganjuran Hari Sukan Negara.

125. E-Sukan kini sudah menjadi fenomena baharu dalam kalangan anak muda dan dilihat mempunyai prospek terbaik pembangunan sukan negara. Bagi merancakkan pertumbuhan e-Sukan, 20 juta ringgit disediakan bagi pembangunan e-Sukan kebangsaan termasuk 5 juta ringgit untuk mewujudkan Pusat Kecemerlangan Sukan Dron.

126. Saya amat gembira apabila membaca berita bahawa terdapat atlet e-Sukan anak tempatan yang berjaya meraih pencapaian cemerlang di kejohanan antarabangsa di Romania baru-baru ini. Kejayaan seperti ini adalah bukti bahawa negara kita mempunyai bakat-bakat muda yang perlu disokong dan digilap. Bagi mengiktiraf pencapaian atlet e-Sukan kelahiran Malaysia yang telah mengharumkan nama negara seperti NothingToSay, xNova, Mushi dan Oli, Kerajaan bercadang untuk memberikan pengecualian cukai pendapatan ke atas wang hadiah kemenangan kejohanan e-sukan yang layak.

127. Industri sukan juga terjejas akibat pandemik COVID-19. Larangan aktiviti sukan tertentu telah menyebabkan banyak pengusaha fasiliti sukan berdepan cabaran untuk memulakan semula perniagaan mereka setelah ekonomi kembali dibuka. Untuk meringankan keperluan kewangan pengusaha, Bank Simpanan Nasional akan menyediakan dana pembiayaan sehingga 50 juta ringgit dengan kadar faedah 0 peratus untuk enam bulan pertama dan moratorium untuk enam bulan.
STRATEGI 3: MEMBINA KEHIDUPAN YANG KONDUSIF

128. Strategi ketiga adalah untuk Membina Kehidupan Yang Kondusif. Usaha di bawah strategi ini tertumpu kepada meringankan kos sara hidup, menggalakkan pemilikan rumah kediaman, akses kepada kemudahan pengangkutan, pembangunan infrastruktur luar bandar serta pertahanan dan keselamatan awam.

Inisiatif 1: Meringankan Kos Sara Hidup

Datuk Yang di-Pertua,

129. Secara keseluruhan, Kerajaan menyediakan lebih 31 bilion ringgit khusus untuk subsidi, bantuan dan insentif bagi Bajet 2022. Peruntukan ini adalah untuk meminimum kesan peningkatan kos sara hidup rakyat melibatkan kawalan harga barang dan perkhidmatan.

130. Bagi memastikan kawasan luar bandar, khususnya di Sabah dan Sarawak, mendapat barangan keperluan asas seperti LPG dan petrol pada harga yang berpatutan, Kerajaan memperuntukkan 200 juta ringgit untuk membiayai kos pengangkutan dan pengedaran barangan asas ke kawasan luar bandar.

131. Kerajaan amat memahami kekangan kewangan yang dihadapi oleh rakyat akibat PKP yang berpanjangan, terutamanya dari segi pengurusan aliran tunai. Untuk menambah wang dalam tangan kepada rakyat, KWSP akan melanjutkan tempoh pengurangan kadar caruman minimum KWSP daripada 11 kepada
9 peratus sehingga Jun 2022 melibatkan anggaran nilai 2 bilion ringgit.

132. Untuk mengurangkan kos pemilikan kenderaan, Kerajaan juga akan melanjutkan 100 peratus pengecualian cukai jualan ke atas kenderaan penumpang CKD dan 50 peratus ke atas CBU termasuk MPV dan SUV selama enam bulan sehingga 30 Jun 2022.

Inisiatif 2: Pemilikan Rumah Kediaman

Datuk Yang di-Pertua,

133. Setiap daripada Keluarga Malaysia berhak memiliki rumah kediaman sebagai keperluan kehidupan. Untuk itu, Kerajaan akan meneruskan projekprojek perumahan khususnya kepada golongan berpendapatan rendah dengan nilai keseluruhan 1.5 bilion ringgit. Peruntukan ini antaranya bagi meneruskan program-program rumah mesra rakyat dan bantuan menyelenggara perumahan rakyat. Pada masa yang sama, Kerajaan tidak lagi mengenakan Cukai Keuntungan Harta Tanah bagi pelupusan oleh individu warganegara, pemastautin tetap dan selain syarikat mulai tahun ke enam dan ke atas.

134. Saya mendengar keluhan pekerja gig, pengusaha kecil dan petani yang sukar membeli rumah kerana tiada pendapatan tetap sehingga menyebabkan mereka sukar mendapatkan pinjaman perumahan. Ada antara mereka yang sebenarnya mempunyai keupayaan untuk membayar balik pinjaman tetapi tiada bukti pendapatan tetap. Untuk tahun hadapan, bagi membantu kumpulan ini membeli rumah, Kerajaan menyediakan jaminan sehingga 2 bilion ringgit kepada bank melalui Skim Jaminan Kredit Perumahan untuk memberi akses pembiayaan kepada golongan ini membeli rumah.

Inisiatif 3: Akses Kemudahan Pengangkutan

Datuk Yang di-Pertua,

135. Penduduk di pedalaman Sabah dan Sarawak ada yang terpaksa menempuh jalan balak dan memakan masa berjam-jam untuk mendapatkan perkhidmatan di pekan berdekatan. Kerajaan memahami kesukaran yang dihadapi oleh mereka seperti penduduk di Kudat dan Long Pasiah di Sabah serta Ba’kelalan dan Bario di Sarawak. Oleh itu, bagi tahun hadapan, Kerajaan akan terus memberikan subsidi sebanyak 209 juta ringgit bagi perkhidmatan pengangkutan udara untuk manfaat penduduk setempat.

136. Saya tertarik dengan perkhidmatan tren yang kini sedang tular iaitu ‘Train to
Dabong’. Dabong di Kuala Krai, Kelantan memang merupakan kawasan tumpuan bagi akitiviti ekopelancongan dan harga tambang tiket kereta api untuk ke sana juga adalah berpatutan. Perkhidmatan tren KTMB sememangnya sentiasa penuh pada hujung minggu. Pada hari-hari biasa pula, kebanyakan penumpang merupakan murid-murid sekolah. Mereka kini menerima manfaat di bawah inisiatif Pas MyRail5 yang cuma berharga 5 ringgit sebulan untuk perjalanan tanpa had. Oleh itu, Kerajaan akan meneruskan pemberian subsidi bagi menampung sebahagian kos operasi perkhidmatan tren kurang ekonomik di luar bandar terutamanya di wilayah timur dan meneruskan inisiatif Pas MyRail5 untuk manfaat murid sekolah.

137. Selain inisiatif ini, Kerajaan juga menyediakan 80 juta ringgit sebagai Dana Bantuan Sementara Bas Henti-henti untuk manfaat pengendali bas henti-henti dan 115 juta ringgit bagi inisiatif pas perjalanan bas dan rel tanpa had dengan harga 50 ringgit sebulan untuk pengguna terutamanya di Lembah Klang.

Inisiatif 4: Infrastruktur Luar Bandar

Datuk Yang di-Pertua,

138. Kerajaan akan terus menambah baik aspek kesejahteraan penduduk luar bandar dalam usaha mengurangkan jurang pembangunan antara wilayah. Bagi tahun hadapan, lebih 2.5 bilion ringgit disediakan bagi melaksanakan pelbagai program berikut:

Pertama:
Hampir 1.5 bilion ringgit untuk projek jalan luar bandar dan jalan perhubungan desa sepanjang 519 kilometer bagi manfaat lebih 130 ribu penduduk setempat;
Kedua:
382 juta ringgit bagi bekalan air luar bandar dan bekalan air alternatif dengan sasaran 4,800 buah rumah;
Ketiga:
485 juta ringgit untuk bekalan elektrik luar bandar dengan sasaran lebih 2,100 buah rumah; dan
Keempat: 107 juta ringgit bagi memasang 7 ribu unit Lampu Jalan
Kampung, menyelenggara lebih 500 ribu unit Lampu Jalan Kampung dan menaik taraf 20 buah jambatan uzur serta kerjakerja awalan bagi 30 buah jambatan baharu.

Daripada keseluruhan peruntukan ini, sebahagian besar iaitu 1.5 bilion ringgit disediakan untuk pembangunan infrastruktur luar bandar Sabah dan Sarawak.

Inisiatif 5: Pertahanan & Ketenteraman Awam

Datuk Yang di-Pertua,

139. Kemakmuran ekonomi tidak akan tercapai tanpa negara yang aman dan damai. Bagi tahun hadapan, Bajet ini menyediakan peruntukan kepada Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri masing-masing sebanyak 16 bilion dan 17 bilion ringgit.

140. Antaranya sejumlah 1.6 bilion ringgit diperuntukkan untuk mempertingkatkan kesiagaan aset-aset utama Angkatan Tentera Malaysia. Peruntukan ini turut melibatkan 14 juta ringgit bagi mengganti peralatan utama PASKAL dan PASKAU seperti payung terjun, alat selam litar tertutup dan bot.

141. Kebajikan anggota-anggota polis dan tentera kita juga tetap menjadi keutamaan. Bagi tahun hadapan, 230 juta ringgit disediakan untuk kerja-kerja menyelenggara sekolah dalam kem tentera, fasiliti ketenteraan dan Rumah Keluarga Angkatan Tentera. Peruntukan ini turut melibatkan penggantian dan pembaikan lif serta kuarters PDRM.
142. Ke arah memperkukuh kedaulatan negara, Kerajaan akan menambah lapan pos kawalan Pasukan Gerakan Am antaranya di Pagalungan di Sabah dan Temong Mura di Sarawak bagi meningkatkan kawalan keselamatan sempadan yang berterusan oleh anggota penguatkuasaan.

143. Selain itu, Kerajaan juga akan menambah empat pintu masuk imigresen baharu antaranya di Telok Melano dan Baleh, Sarawak bagi memenuhi keperluan peningkatan pergerakan melalui imigresen susulan perubahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan dan pembukaan Lebuh Raya Pan Borneo jajaran Telok Melano.

144. Dalam menghadapi musim banjir Monsun Timur Laut, kesiapsiagaan Agensi Pengurusan Bencana Negara adalah amat penting. Bagi tahun 2022, peruntukan sebanyak 100 juta ringgit disediakan, antaranya bagi meringankan beban mangsa banjir melalui pemberian Kit Makanan.

145. Selanjutnya, Kerajaan akan melaksanakan inisiatif Malaysian Incentive Community Empowerment melalui pemberian geran sehingga 10 ribu ringgit kepada 2,000 pertubuhan yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia dalam kategori Kebajikan, Sosial, Keselamatan dan Hak Asasi. Inisiatif ini melibatkan peruntukan sebanyak 20 juta ringgit.

FOKUS KEDUA: PERNIAGAAN YANG BERDAYA TAHAN

Datuk Yang di-Pertua,

146. Daripada secekal-cekal peniaga kecil hinggalah sebesar syarikat multinasional, semua segmen perniagaan menerima impak langsung daripada krisis COVID-19. Misalnya, dilaporkan bahawa lebih 37 ribu perniagaan PKS telah ditutup semenjak krisis ini bermula. Dalam meminimum kesan ini, Kerajaan telah umumkan pelbagai inisiatif melalui pakej-pakej bantuan dan rangsangan bagi memastikan kelangsungan perniagaan.

147. Dengan kebanyakan sektor ekonomi kini kembali beroperasi, permintaan domestik dijangka memulih. Namun, masih terdapat sebilangan segmen ekonomi yang terjejas teruk, memerlukan sokongan untuk bangkit semula dan membina daya tahan. Maka, fokus kedua iaitu Perniagaan Yang Berdaya Tahan akan menumpukan kepada strategi untuk mengembalikan keupayaan perniagaan melalui akses kepada pembiayaan, memacu pelaburan strategik dan memulih sektor-sektor tumpuan.

STRATEGI 1: MENGEMBALI KEUPAYAAN PERNIAGAAN

148. Dalam mengembali keupayaan perniagaan sebagai strategi pertama, Kerajaan sebagai pemudah cara akan memperbanyak akses pembiayaan kepada sektor perniagaan, terutamanya untuk pengusaha PMKS dan sektor informal. Berdasarkan sesi libat urus yang telah saya hadiri dengan pelbagai pihak, akses kepada kemudahan pembiayaan kerap kali dibangkitkan, baik oleh usahawan kecil, mahupun syarikat besar.
149. Untuk itu, bagi tahun 2022, pakej pembiayaan dengan nilai keseluruhan berjumlah 40 bilion ringgit disediakan di bawah Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia (atau SemarakNiaga). Skim pembiayaan ini merangkumi pinjaman langsung, jaminan pembiayaan dan suntikan ekuiti dengan sasaran untuk memanfaatkan setiap golongan usahawan tidak kira perusahaan mikro ataupun syarikat tersenarai awam.

Inisiatif 1: Skim Kredit Mikro

150. Tahun depan, pembiayaan kredit mikro bernilai hampir 1.8 bilion ringgit akan disediakan melalui pelbagai agensi seperti TEKUN, Agrobank, BSN, Bank Rakyat dan Bank Negara Malaysia. Yang Amat Berhormat Perdana Menteri peka akan perlunya akses kepada pembiayaan tanpa faedah disediakan terutamanya bagi membantu para peniaga kecil.

151. Dengan itu, Skim Pembiayaan Informal dan Mikro di bawah TEKUN akan menawarkan pinjaman sehingga 10 ribu ringgit pada kadar faedah 0 peratus berserta moratorium selama 12 bulan dengan keutamaan diberi kepada peniaga sektor informal dan mikro. Selain itu, BSN dan Agrobank juga akan menawarkan pinjaman mikro sehingga 75 ribu ringgit pada kadar 0 peratus untuk enam bulan pertama berserta kemudahan moratorium sehingga enam bulan.

152. Menyedari kepentingan sumbangan gerakan koperasi, Kerajaan akan meneruskan Program Transformasi Ekonomi Gerakan Koperasi (TRANSFER) dengan peruntukan sebanyak 10 juta ringgit bagi memulihkan aktiviti koperasi yang terjejas. Di samping itu, dana sebanyak 30 juta ringgit akan disediakan untuk Program Pembiayaan Intervensi Pemulihan Ekonomi Koperasi. Pasa masa sama, bagi menyokong aktiviti perniagaan oleh koperasi, program seperti penyediaan tapak perniagaan food truck di kawasan bandar utama akan dilaksanakan melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia.

153. Kerajaan juga menyokong perluasan program I-TEKAD, iaitu sebuah program kewangan sosial yang menawarkan modal permulaan, kredit mikro dan latihan kemahiran kepada usahawan mikro dengan peruntukan sebanyak 20 juta ringgit.

Inisiatif 2: Pembiayaan Perniagaan dan Pembiayaan Alternatif

Datuk Yang di-Pertua,

154. Untuk syarikat yang berdaya maju namun mempunyai kekangan mendapatkan dana baharu kerana terjejas oleh situasi semasa, Kerajaan dan institusi kewangan telah merangka suatu pembiayaan bentuk baharu yang lebih anjal bagi membolehkan syarikat mempunyai lebih keupayaan untuk memulihkan perniagaan.

155. Satu perkembangan menarik sewaktu pandemik ini ialah peningkatan pesat dalam pembiayaan melalui kaedah equity crowd funding dan peer-to-peer financing, iaitu lebih 1.3 bilion ringgit dana diperolehi melalui kaedah-kaedah ini sejak tempoh pandemik bermula. Makanya, bentuk pembiayaan sebegini akan terus disokong dengan peruntukan 80 juta ringgit secara geran padanan untuk Malaysia Coinvestment Fund, tambahan kepada pelaburan oleh BPMB sebanyak
100 juta ringgit.
156. Bagi membantu syarikat yang berdepan masalah gearing atau leveraj, kaedah pendanaan bernilai 2.1 bilion ringgit melalui pelaburan ekuiti dan quasi-equity akan diperkenalkan. Kaedah ini akan diterajui oleh SME Bank dengan kerjasama TERAJU dan BSN dengan dana bernilai 600 juta ringgit dan terbuka kepada semua terutamanya usahawan Bumiputera. Selain itu, BPMB juga akan menawarkan Skim RESET (atau Rehabilitation and Support Through Equity) dan BNM juga menyediakan Business Recapitalisation Fund bernilai 1 bilion ringgit untuk tujuan yang sama.

157. Secara keseluruhan, sejumlah 14.2 bilion ringgit dana tersedia untuk PKS.
Untuk ketersediaan dana yang berterusan, dana khas BNM terutamanya Targeted Relief and Recovery Facility telah ditingkatkan sebanyak 2 bilion ringgit dan menjadikan jumlah ketersediaan pelbagai dana PKS BNM pada masa ini sebanyak 11.2 bilion ringgit. Selain itu, institusi kewangan seperti SME Bank, PUNB, BPMB, AgroBank, MIDF dan MARA turut menyediakan dana untuk PKS.

158. Satu inisiatif khusus untuk membantu syarikat tersenarai di Bursa juga akan diperkenalkan. Inisiatif ini bertujuan membantu syarikat berdaya maju tetapi terkesan akibat pandemik COVID-19 mendapat suntikan dana tambahan melalui sebuah SPV milik Kerajaan dalam bentuk instrumen ekuiti atau instrumen lain yang berkaitan. Untuk tujuan ini, Khazanah Nasional Berhad akan diberi mandat bagi membantu Kerajaan menyediakan infrastruktur untuk mentadbir dana bersaiz sekurang-kurangnya 3 bilion ringgit.

Inisiatif 3: Jaminan Pembiayaan Perniagaan

Datuk Yang di-Pertua,

159. Sehingga kini, Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (atau SJPP) telah memberikan jaminan pembiayaan perniagaan bernilai lebih 46 bilion ringgit kepada lebih 44 ribu syarikat. Ia telah membantu memudahkan PKS mendapat pembiayaan terutamanya dalam tempoh sukar ini. Lantaran itu, SJPP akan ditambah baik dengan menyediakan jaminan untuk pembiayaan yang dijadual dan distruktur semula dengan tambahan had jaminan sebanyak 10 bilion ringgit termasuk 2 bilion ringgit dikhaskan untuk bumiputera. Ini akan membantu syarikat mendapatkan pembiayaan baharu yang sebelum ini sukar diperolehi. Untuk mengurangkan kos transaksi, pengecualian duti setem akan diberikan ke atas dokumen transaksi penjadualan dan penstrukturan semula pembiayaan.

Inisiatif 4: Kemudahan Menjalankan Perniagaan

Datuk Yang di-Pertua,

160. Untuk memastikan ekonomi dibuka dengan selamat dan mengurangkan risiko penularan virus COVID-19, pematuhan kepada SOP terutamanya di tempat kerja adalah amat penting.

161. Oleh itu, bagi kerja-kerja mengubah suai fasiliti perniagaan supaya mematuhi keperluan SOP seperti pengudaraan serta ruang duduk pelanggan dan pekerja, Kerajaan bercadang untuk melanjutkan potongan cukai ke atas kos pengubahsuaian dan pembaharuan premis sehingga 300 ribu ringgit sehingga 31 Disember 2022.

162. Selanjutnya, bagi syarikat yang berdaftar di bawah Safe@Work, potongan cukai tambahan sehingga 50 ribu ringgit ke atas perbelanjaan sewaan premis penginapan pekerja akan dilanjutkan untuk satu tahun lagi.

163. Bagi menambah peluang penyertaan dalam perolehan Kerajaan, syarat keperluan pendaftaran akan dipermudah. Syarikat yang pertama kali mendaftar sijil pendaftaran perniagaan MOF, dikenakan bayaran cuma 150 ringgit berbanding 450 ringgit sebelum ini. Sebagai tambahan, syarikat yang beroperasi daripada premis perniagaan jenis SOHO, shared partition dan co-working space juga dibenarkan mendaftar.

164. Untuk memberi kemudahan kepada pelawat perniagaan dan pelabur, sebuah Business Travellers Center telah dibuka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Pusat ini memudahkan ketibaan Pelawat Perniagaan Jangka Pendek yang dikecualikan daripada menjalani kuarantin wajib tertakluk kepada pematuhan SOP yang ketat. Tahun hadapan, sebuah pusat sehenti yang sama akan disediakan di Johor untuk Pelawat Perniagaan Jangka Pendek dari Singapura dengan kos 10 juta ringgit.

165. Setiap kali saya berjumpa dengan usahawan PMKS, mereka yakin bahawa tahun 2022 ialah masa untuk kembali merancakkan ekonomi negara. Namun, setelah dua tahun diselubungi pandemik COVID-19, mereka tetap memerlukan bantuan sebelum boleh bangkit semula sepenuhnya. Oleh itu, Kerajaan mencadangkan beberapa inisiatif berikut:
Pertama: Penangguhan bayaran ansuran cukai pendapatan bagi PMKS selama enam bulan sehingga 30 Jun 2022;

Kedua:
Semua perniagaan dibenar membuat pindaan anggaran cukai pendapatan yang kena dibayar dalam bulan ke 11 sebelum
31 Oktober 2022;
Ketiga: Potongan cukai khas sehingga Jun 2022 kepada pemilik
bangunan atau ruang perniagaan yang memberikan pengurangan sewa sekurang-kurangnya 30 peratus; dan

Keempat: Kerugian terkumpul yang tidak dapat diserap boleh dibawa ke hadapan untuk tempoh daripada maksimum 7 tahun taksiran berturut-turut kepada maksimum 10 tahun taksiran berturutturut.

STRATEGI 2: MEMACU PELABURAN STRATEGIK

Datuk Yang di-Pertua,

166. Kerajaan tetap komited untuk memastikan Malaysia terus menjadi destinasi pelaburan yang menarik dan dapat memberi kesan limpahan signifikan kepada ekonomi. Strategi kedua pula adalah untuk memacu pelaburan strategik dalam sektor-sektor utama dan mengukuhkan pemboleh pertumbuhan.

Inisiatif 1: Pelaburan Dalam Sektor Utama

167. Dana khas pelaburan strategik sehingga 2 bilion ringgit disediakan bagi menarik pelaburan asing strategik dalam kalangan syarikat multinasional, khususnya yang dapat melengkapkan rantaian nilai industri dan memacu penjanaan pekerjaan berteraskan pengetahuan dan peluang pembangunan PKS tempatan.

168. Bagi memperkasa daya pemulihan ekonomi negara, Bajet ini memperuntukkan 25 juta ringgit untuk meneroka pelaburan berimpak tinggi dan pasaran eksport baharu melalui Misi Perdagangan dan Pelaburan.

169. Untuk memenuhi keperluan kemahiran terutamanya oleh industri dengan aktiviti nilai tambah tinggi, 80 juta ringgit akan disediakan melalui MITI bagi melatih 20 ribu pekerja yang menyokong kluster industri seperti MRO di Subang, E&E di Kulim dan Kimia di Gebeng. Di samping itu, 50 juta ringgit juga disediakan melalui pusat pembangunan kemahiran negeri, seperti di Sarawak, Johor dan Pulau Pinang, bagi meningkatkan tahap kemahiran TVET untuk 5,000 pekerja dalam bidang seperti kimpalan minyak dan gas, automasi perindustrian dan mekatronik.

170. Saya berpeluang bertemu dengan Encik Kamarul Muhamed, pengasas syarikat Aerodyne Group di Cyberjaya dan berasa amat kagum dengan perkembangan syarikat Bumiputera ini. Syarikat Aerodyne telah memulakan operasi pada tahun 2014 dengan hanya tiga orang pekerja sahaja. Pada hari ini, Aerodyne telah berkembang pesat dan dinobatkan sebagai syarikat terbesar di dunia dalam industri perkhidmatan teknologi dron. Maka, bagi terus merancakkan penglibatan pemain industri tempatan menceburi bidang ini, geran padanan bernilai 100 juta ringgit disediakan untuk syarikat PKS Bumiputera meneroka peluang perniagaan dalam bidang aeroangkasa.

171. Bagi meningkatkan produktiviti melalui automasi, Kerajaan turut menyediakan 100 juta ringgit sebagai geran padanan Automasi Pintar kepada 200 syarikat pembuatan dan perkhidmatan untuk mengautomasikan proses perniagaan mereka.

172. Kerajaan juga akan melanjutkan elaun pelaburan semula (atau EPS) tambahan selama dua tahun bagi syarikat sedia ada di Malaysia yang telah tamat tempoh kelayakan EPS dan EPS khas. Ini menjadikan tempoh keseluruhan EPS tambahan ini kepada 5 tahun. Langkah ini adalah antara cadangan daripada Pasukan Petugas Khas Pemudah Cara Perniagaan atau PEMUDAH yang telah dipertimbangkan untuk Bajet 2022. Maka, Kerajaan akan terus meneliti cadangan seumpamanya bagi menambah baik kelancaran urusan perniagaan atau ease of doing business demi memacu pelaburan.

173. Dalam melahirkan lebih ramai PMKS Halal yang dapat bersaing di peringkat antarabangsa, 25 juta ringgit diperuntukkan kepada Halal Development Corporation untuk melaksanakan pelbagai program termasuk Penjenamaan Digital Produk Halal PMKS dan program Peningkatan Kebolehpasaran Produk Halal PMKS.

Inisiatif 2: Sains, Teknologi dan Inovasi

Datuk Yang di-Pertua,

174. Kerajaan menyediakan 423 juta ringgit di bawah MOSTI dan KPT bagi mempergiat aktiviti R&D ke arah mengaplikasikan pembaharuan yang selari dengan perkembangan sains dan teknologi. Peruntukan ini termasuk 295 juta ringgit kepada universiti awam untuk terus berperanan dalam ekosistem penyelidikan dan inovasi serta menggalakkan kerjasama dengan industri.

175. Selain itu, Kerajaan juga akan menyediakan 12 juta ringgit secara geran padanan melalui Collaborative Research in Engineering, Science and Technology dalam bidang seperti Gallium Nitride untuk diaplikasikan dalam LED dan kenderaan elektrik. Bidang fokus R&D ini disyorkan oleh Encik Tan dari Clarion Malaysia semasa sesi dialog saya bersama-sama tokoh industri Elektrikal dan Elektronik sebelum ini.

176. Sejumlah 30 juta ringgit akan disediakan bagi melaksanakan Hab Inovasi: Revolusi Industri Keempat di bawah Taman Teknologi Malaysia sebagai pusat sehenti untuk ekosistem inovasi dengan pembangunan kluster teknologi baharu muncul seperti dron, robotik dan kenderaan berautonomi. Hab ini dijangka memberi manfaat dan pendedahan kepada 10 ribu bakal usahawan.

177. Sebagai contoh kejayaan startup, Puan Goh Ai Ching dari Pulau Pinang pernah menerima geran Cradle Fund dan telah mengasaskan Piktochart, syarikat yang menyediakan perkhidmatan komunikasi visual melalui infografik menarik. Piktochart telah berjaya menembusi pasaran luar negara dan antara pengguna perkhidmatan mereka ialah Kerajaan Amerika Syarikat dan syarikat Disney. Antara infografik yang dipaparkan pada skrin di hadapan Yang Berhormat sekalian juga menggunakan perisian Piktochart.

178. Bagi menggalakkan kejayaan seperti yang dicapai Piktochart, Cradle Fund sebagai agensi penyelaras ekosistem startup akan diperuntukkan 20 juta ringgit untuk mempergiat usaha memulih dan membina daya tahan ekonomi startup. Selari dengan matlamat Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia
(atau MyDIGITAL), strategi MyStartup akan dilaksanakan secara berfasa untuk memberi manfaat kepada lebih 2,500 syarikat dan mewujudkan 5,000 peluang pekerjaan.

179. Kerajaan juga memperuntukkan sejumlah 45 juta ringgit sebagai galakan transformasi teknologi ke arah revolusi industri keempat atau Industry4WRD dalam kalangan PKS serta syarikat tahap pertengahan bagi sektor pembuatan dan perkhidmatan.

180. Bagi merancakkan inovasi, National Regulatory Sandbox di bawah MOF iaitu FUTURISE akan digiatkan lagi untuk menjalankan kajian industri dan mengesyorkan langkah melancarkan inovasi dalam masyarakat dan ease of doing business.

Inisiatif 3: Inisiatif Perkukuh Pelaburan Rakyat (PERKUKUH)

Datuk Yang di-Pertua,

181. GLC memainkan peranan penting sebagai penggerak modal insan dan kewangan serta pemangkin transformasi ekonomi negara. Tahun ini, GLC telah banyak membantu dalam agenda pemulihan negara antaranya termasuk pengedaran komputer riba kepada 150 ribu pelajar melalui Tabung Cerdik dan tawaran pekerjaaan melalui program MySTEP. Untuk tahun 2022, syarikat GLC akan terus memainkan peranan penting dalam memacu pemulihan negara. Antara inisiatif utama yang bakal dilaksanakan termasuklah:

Pertama:
Inisiatif JALINAN GLC: MEMPERKASA PMKS bagi membantu usahawan melalui inisiatif seperti khidmat nasihat dan sokongan kewangan dengan dana kolektif bernilai 5 bilion ringgit;
Kedua:
Inisiatif JALINAN GLC CSR: SEJAHTERA RAKYAT untuk menolong rakyat melalui inisiatif seperti derma peralatan perubatan dan program biasiswa dengan dana kolektif bernilai 500 juta ringgit;
Ketiga:
Mempercepat bayaran kepada vendor selewat-lewatnya 14 hari dari tarikh pengesahan invois;
Keempat: Memastikan 40 peratus perolehan tempatan dianugerahkan kepada usahawan Bumiputera;
Kelima:
Menawarkan 30 ribu peluang pekerjaan di bawah program
MySTEP and PROTEGÉ; dan
Keenam: Mempertingkatkan kerja-kerja sukarela dalam kalangan GLC.

182. Dalam membina daya tahan, syarikat GLC akan terus membuat pelaburan antaranya dalam bidang tenaga boleh diperbaharui, pemodenan rantaian bekalan dan infrastruktur 5G. Secara kolektif, sekurang-kurangnya 30 bilion ringgit akan diperuntukkan untuk perbelanjaan modal dan pelaburan pada tahun hadapan. 183. Diharapkan melalui program Perkukuh Pelaburan Rakyat, GLC akan lebih berdaya tahan dan mempunyai prospek pertumbuhan yang lebih baik. Contohnya, Khazanah Nasional Berhad telah menyediakan Dana Impak sebanyak 6 bilion ringgit sebagai pemangkin kepada pertumbuhan sektor-sektor baharu bernilai tinggi.

STRATEGI 3: MEMULIH SEKTOR-SEKTOR TUMPUAN

Datuk Yang di-Pertua,

184. Bagi strategi ketiga, Kerajaan memberi komitmen untuk memulihkan dan memangkin pembaharuan beberapa sektor tumpuan seperti industri pelancongan, kreatif, peruncitan, pertanian dan komoditi supaya dapat kembali beroperasi pada kapasiti maksimum.

Inisiatif 1: Industri Pelancongan

185. Sektor pelancongan merupakan industri yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19. Antara yang terkesan sepanjang tempoh ini ialah Encik Jasni Amir, pengarah urusan sebuah agensi pelancongan yang menumpukan kepada pakej haji dan umrah. Disebabkan COVID-19 dan penutupan pintu sempadan antarabangsa, syarikat Encik Jasni tidak dapat beroperasi sepenuhnya. Syarikat beliau bergantung kepada bantuan Kerajaan, khususnya Program Subsidi Upah untuk mengekalkan pekerjanya serta menjadualkan semula pinjaman bagi mengurangkan komitmen kewangannya.

186. Bagi membantu pihak seperti Encik Jasni, beberapa inisiatif utama dengan nilai keseluruhan 1.6 bilion ringgit akan dilaksanakan pada tahun hadapan merangkumi:

Pertama: Pelaksanaan Program Subsidi Upah bersasar kepada pemain industri pelancongan. Kerajaan akan meneruskan inisiatif PSU khusus kepada pengusaha pelancongan yang mengalami penurunan pendapatan sekurang-kurangnya 30 peratus. Dengan peruntukan sebanyak 600 juta ringgit, inisiatif ini bakal memanfaatkan lebih 26 ribu majikan dan 330 ribu pekerja;
Kedua: Pembiayaan khusus bagi sektor pelancongan sebanyak 600 juta ringgit di bawah PENJANA Tourism Financing dan BPMB
Rehabilitation Scheme;
Ketiga: Bantuan Khas kepada lebih 20 ribu pengusaha
pelancongan yang berdaftar di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk tempoh tiga bulan dengan peruntukan 85 juta ringgit;

Keempat:
Penyelenggaraan infrastruktur pelancongan dengan peruntukan 50 juta ringgit termasuk Bangunan Sultan Abdul
Samad serta Lembah Bujang di Kedah;
Kelima:
Pemberian geran padanan bagi tujuan pembaikan kepada 738 hotel bajet yang berdaftar di bawah MOTAC serta geran pembaikan kepada pemilik inap desa berdaftar dengan peruntukan 30 juta ringgit;
Keenam:
Pemberian geran padanan kepada syarikat yang menganjurkan program berkaitan seni dan budaya dengan peruntukan
50 juta ringgit; dan
Ketujuh: Dana galakan bagi tujuan aktiviti promosi serta galakan
pelancongan domestik dengan peruntukan 60 juta ringgit.

187. Pelepasan khas cukai pendapatan individu bagi perbelanjaan pelancongan domestik sehingga 1,000 ringgit dilanjutkan sehingga tahun taksiran 2022. Kita harus menikmati keindahan serta kepelbagaian destinasi pelancongan daripada taman eko rimba di Taman Eko Rimba Bukit Ayer di Perlis, warisan bersejarah di Kota A Famosa Melaka, pantai Teluk Cempedak di Pahang, Kampung Budaya di Kota Kinabalu dan Gunung Santubong di Sarawak.

188. Kerajaan akan menggiatkan lagi usaha pemulihan industri pelancongan kesihatan antarabangsa dengan kadar segera bagi memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelancongan kesihatan dengan peruntukan 20 juta ringgit kepada Malaysia Healthcare Travel Council.

189. Selanjutnya, Kerajaan bercadang untuk melanjutkan beberapa galakan cukai termasuk pengecualian cukai pendapatan kepada penganjur aktiviti kesenian dan kebudayaan serta pertandingan sukan dan rekreasi bertaraf antarabangsa sehingga tahun taksiran 2025.

190. Pengecualian duti hiburan ke atas aktiviti hiburan termasuk taman tema dan panggung wayang di semua Wilayah Persekutuan dan pengecualian cukai pelancongan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2022. Pihak negeri juga disaran untuk memberi pengecualian duti hiburan bagi menyokong pemulihan sektor ini.

Inisiatif 2: Industri Kreatif

Datuk Yang di-Pertua,

191. Dalam merancakkan semula aktiviti industri kreatif, agensi-agensi seperti FINAS, CENDANA dan MyCreative Ventures akan menggiatkan pelbagai inisiatif. Sejumlah 188 juta ringgit disediakan antaranya untuk meneruskan pelbagai inisiatif seperti Dana Kandungan Digital, projek Kandungan Multimedia Digital, Insentif Filem, program Perkasa Modal Insan dan perlindungan PERKESO kepada golongan artis.

192. Sebagai tambahan, pada tahun hadapan Kerajaan akan menjayakan
Program Riuh Keluarga Malaysia melalui dana padanan pinjaman pelaburan berjumlah 20 juta ringgit. Langkah ini dijangka memberi 5 ribu peluang pekerjaan baharu.

193. Nama Upin dan Ipin, Ejen Ali dan Boboboi terkenal bukan sahaja di negara kita tetapi tersohor serantau Asia Tenggara. Bagi mengetengahkan lebih banyak animasi tempatan ke persada antarabangsa, Kerajaan memperuntukkan 30 juta ringgit melalui Skim Padanan Pinjaman Pelaburan bagi inisiatif Platform Animasi Negara yang akan dikendalikan oleh MyCreative Ventures.

Inisiatif 3: Industri Peruncitan

Datuk Yang di-Pertua,

194. Industri peruncitan juga antara yang terjejas disebabkan pandemik. Bagi tahun 2022, tumpuan khas diberikan bagi membantu perusahaan sosial, halal, kraf tangan, pertanian dan usahawan tempatan untuk beralih kepada khidmat digital. Melihat kepada kejayaan kempen Shop Malaysia Online dan Go-eCommerce Onboarding yang telah memanfaat lebih daripada 500 ribu usahawan tempatan, Kerajaan akan meneruskan program ini dengan peruntukan 250 juta ringgit.

195. Usahawan PMKS layak menerima manfaat sehingga 2,000 ringgit bagi aktiviti penerapan e-dagang, latihan dalam pemasaran dan pembayaran digital. Sebagai inisiatif menyokong pemulihan sektor pelancongan, Kerajaan menggalakkan penggunaan baucar Shop Malaysia Online di premis perniagaan dan pembelian tiket tempat tarikan pelancong seperti zoo dan taman tema.

196. Bagi merancakkan penghasilan dan pembelian produk tempatan, Kerajaan komited untuk melaksanakan inisiatif-inisiatif menyokong produk hasil tangan tempatan dan produk khazanah alam melalui Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia, Program Jualan Malaysia dan Program Khazanah Alam Industri Jualan Langsung dengan peruntukan 33 juta ringgit.

197. Saya yakin ramai dalam kalangan kita pernah membeli Putu Bambu World yang dijual di hentian rehat dan rawat lebuh raya. Pengasasnya Encik Mohamad Hassan bermula dengan hanya sebuah gerai kecil pada tahun 2008 dan dengan papan tanda kadbod yang ditulis tangan. Hari ini, bilangan francais Putu Bambu World di seluruh negara telahpun mencecah 70 cawangan. Kepada yang berminat menjadi usahawan francais, Kerajaan melalui PERNAS akan menyediakan 74 juta ringgit antara lain untuk menyediakan program latihan dan bimbingan perniagaan dan skim pembiayaan mudah kosong peratus selama enam bulan pertama beserta moratorium.

Inisiatif 4: Industri Pertanian, Jaminan Makanan dan Komoditi

Datuk Yang di-Pertua,

198. Kerajaan akan terus memacu pemodenan sektor pertanian dalam meningkatkan jaminan dan keselamatan makanan serta menjana pendapatan lebih tinggi dan menarik lebih ramai generasi muda agropreneur.

199. Pemberian subsidi dan insentif bagi industri pertanian dan perikanan akan diteruskan dengan peruntukan sebanyak 1.7 bilion ringgit antaranya 1.5 bilion ringgit bagi subsidi benih, baja, harga dan pengeluaran padi termasuk subsidi baja padi huma sebanyak 40 juta ringgit. Insentif hasil tangkapan nelayan juga turut disediakan berjumlah 150 juta ringgit.

200. Bagi tahun 2022, inisiatif bagi meningkatkan jaminan bekalan makanan berjumlah 120 juta ringgit akan dilaksanakan seperti berikut:

Pertama:
Pelbagai projek Jaminan Bekalan Makanan melibatkan pelbagai negeri termasuk Pembangunan Industri Akuakultur dan Estet Kerang-Kerangan di Johor;
Kedua:
Program Pemantapan Jaminan Bekalan Makanan Negara bagi menyediakan kemudahan logistik dan pusat penyimpanan stok bekalan makanan dan hasil pertanian segar berteknologi tinggi untuk petani dan pengusaha agromakanan;
Ketiga: Program Bantuan Insentif Makanan Ternakan Ruminan
melalui Skim Harga Bersubsidi Dedak Isi Rong Sawit bagi membolehkan penternak kecil ruminan mendapatkan bekalan makanan ternakan dengan harga lebih murah selaras dengan konsep ekonomi kitaran; dan

Keempat: Program Galakan Usahawan Tekno PKS bagi meningkatkan hasil pengeluaran tanaman dan pemprosesan makanan melalui aplikasi teknologi untuk manfaat 140 usahawan tani serta program.

201. Dalam usaha meningkatkan kawasan pertanian dan memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah dan belia termasuk graduan untuk menjana pendapatan, dicadangkan tanah terbiar dan tidak dibangunkan milik Kerajaan Persekutuan dan tanah Rizab Melayu disewakan bagi projek pertanian atau perniagaan. Melalui inisiatif ini, tanah-tanah tersebut juga dapat diuruskan secara optimum dan teratur.

202. Sebagai pelengkap, program pembiayaan sehingga 1.25 bilion ringgit akan disediakan oleh Agrobank dan BNM melalui antaranya AgroFood Facility berjumlah 500 juta ringgit dan Dana Pembiayaan Agromakanan oleh AgroBank berjumlah 200 juta ringgit.

Datuk Yang di-Pertua,

203. Kerajaan memperuntukkan 2.5 bilion ringgit bagi tahun 2022 untuk terus memperkasa pembangunan masyarakat luar bandar melalui program pembangunan komoditi. Daripada jumlah ini, 1.3 bilion ringgit disalurkan kepada FELDA bagi tujuan pakej pemulihan dan pembangunan peneroka, 495 juta ringgit untuk manfaat peserta FELCRA dan 699 juta ringgit untuk kemajuan pekebun kecil bagi perusahaan getah di bawah RISDA.

204. Kerajaan akan melaksanakan Program Transformasi Perusahaan Getah Negara bertujuan menyatukan pekebun kecil, usahawan getah dan koperasi kecil dalam satu konsortium yang lebih besar, agar mampu untuk memproses getah sekerap ke bentuk getah krip.

205. Bagi membantu meningkatkan taraf sosioekonomi pekebun kecil kategori B40, Kerajaan akan memperkenal dan memperluas penggunaan teknologi RRIM Hydrobest kepada pekebun kecil melalui geran padanan.

206. Kerajaan juga bersetuju untuk meneruskan Bantuan Musim Tengkujuh untuk membantu meringankan beban sara hidup bagi 320 ribu pekebun kecil yang kehilangan pendapatan semasa musim tengkujuh dengan peruntukan 190 juta ringgit.

207. Kerajaan juga akan memberikan perlindungan takaful kepada semua ahli peladang PPK seluruh Malaysia di bawah Skim Perlindungan Takaful Smart Card Peladang dengan peruntukan sebanyak 5 juta ringgit.

208. Selanjutnya, bagi menyokong industri kelapa sawit, Kerajaan memperuntukkan 35 juta ringgit bagi melaksanakan Skim Rangsangan Tanam Semula Sawit Pekebun Kecil dan 20 juta ringgit untuk usaha menangani kempen anti-minyak sawit di peringkat antarabangsa.

209. Akhir sekali, untuk tahun hadapan, Kerajaan bersetuju menaikkan nilai ambang kenaan levi keuntungan luar biasa kelapa sawit bagi Semenanjung Malaysia daripada 2,500 kepada 3,000 ringgit dan bagi Sabah dan Sarawak daripada 3,000 kepada 3,500 ringgit. Manakala kadar levi Sabah dan Sarawak diselaraskan kepada 3 peratus seperti mana kadar levi di Semenanjung.

FOKUS 3: EKONOMI YANG MAKMUR DAN MAMPAN

Datuk Yang di-Pertua,

210. Fokus ketiga ialah Ekonomi yang Makmur dan Mampan. Kerajaan komited untuk mengukuhkan agenda pembangunannya supaya pertumbuhan kekal mampan dan inklusif. Di samping itu, Bajet 2022 akan terus menyokong pelaksanaan RMKe-12, yang memberi keutamaan kepada tiga tema iaitu penjanaan semula ekonomi, kesejahteraan dan inklusitiviti, dan kemampanan, ke arah Keluarga Malaysia yang makmur sejahtera. Di bawah fokus ini, penumpuan akan diberikan kepada agenda kelestarian, merapatkan jurang ekonomi, konsolidasi fiskal dan kemampanan hasil serta mendokong penyampaian perkhidmatan awam.
STRATEGI 1: AGENDA KELESTARIAN

211. Strategi pertama di bawah fokus ketiga adalah untuk mengukuhkan Agenda
Kelestarian negara. Kita komited untuk memenuhi Matlamat Pembangunan Mampan (atau SDG) dan penggubalan bajet tahunan sudah mula dijajarkan kepada 17 SDG. Selain itu, Bajet kali ini dan tahun-tahun seterusnya juga akan dijajarkan kepada green budgeting bagi beralih ke arah pelaksanaan projek dan program pembangunan bersifat mesra alam.

Inisiatif 1: Amalan Rendah Karbon

212. Perubahan iklim merupakan isu sejagat dan impaknya adalah sama buruk seperti pandemik yang kita alami hari ini.

213. Baru-baru ini, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah menzahirkan komitmen untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara neutral karbon seawal-awalnya pada tahun 2050. Komitmen ini memerlukan negara untuk memacu pembaharuan supaya pertumbuhan kekal mampan dan berdaya saing di pasaran global.

214. Bagi memenuhi sasaran neutral karbon, inisiatif Voluntary Carbon Market akan dilancarkan di bawah kendalian Bursa Malaysia. Inisiatif ini akan bertindak sebagai platform sukarela bagi dagangan kredit karbon antara pemilik aset hijau dengan mana-mana entiti ke arah peralihan amalan rendah karbon.

215. Selain itu, untuk membantu PMKS meningkatkan amalan lestari dan rendah karbon seperti menambah penggunaan bahan mentah lestari dan tenaga boleh diperbaharui, BNM akan menyediakan Kemudahan Peralihan Kepada Rendah Karbon dengan nilai dana sebanyak 1 bilion ringgit secara padanan dengan dana yang setara daripada institusi kewangan peserta.

216. Kerajaan melihat potensi kenderaan elektrik (atau EV) yang memiliki ciriciri energy efficient vehicle sebagai usaha meminimum pencemaran asap kenderaan ke udara. Bagi menyokong pembangunan industri EV tempatan, Kerajaan bercadang untuk memberikan pengecualian sepenuhnya ke atas duti import, duti eksais dan cukai jualan bagi kenderaan EV. Pengecualian cukai jalan sehingga 100 peratus juga diberikan kepada kenderaan berkenaan. Di samping itu, pelepasan cukai pendapatan individu sehingga 2,500 ringgit turut diberikan ke atas kos pembelian dan pemasangan, sewaan dan sewa beli kemudahan serta bayaran yuran langganan kemudahan pengecasan EV.

Inisiatif 2: Alam Sekitar dan Biodiversiti

Datuk Yang di-Pertua,

217. Keindahan alam semula jadi dan kepelbagaian biodiversiti negara merupakan khazanah yang tidak ternilai harganya. Bagi tahun 2022, Kerajaan menyediakan 450 juta ringgit kepada pelbagai kementerian untuk melaksanakan beberapa inisiatif antaranya seperti berikut:

Pertama:
Projek pemeliharaan alam seperti Penang Hill Biosphere Reserve dan Tasik Chini Reserve serta projek pemuliharaan alam menangani hakisan pantai di Pantai Merdeka di Kedah dan mengatasi banjir di Melaka;
Kedua:
Program memperkasa penglibatan komuniti tempatan, veteran tentera dan Orang Asli seperti suku Jahai, sebagai pengawal biodiversiti kawasan hutan dengan pertambahan pengambilan peronda sehingga 1,000 orang;
Ketiga:
Pemberian bantuan bagi kos operasi zoo, usaha meningkatkan pembiakan Harimau Malaya dan pelaksanaan program Frozen Zoo untuk memelihara kelangsungan spesis terancam;
Keempat:
Kempen Penanaman 100 juta Pokok dengan sasaran 20 juta pokok setahun; dan
Kelima: Geran sokongan bagi menyokong peranan World Wildlife
Fund, Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia serta Rakan Alam Sekitar.

218. Bagi menerapkan pelaksanaan Ecological Fiscal Transfer (atau EFT) bagi memelihara biodiversiti, peruntukan EFT berjumlah 70 juta ringgit akan disediakan setiap tahun kepada semua negeri dan mekanisme pelaksanaannya diperkukuh melalui kriteria ekologi berasaskan keberhasilan.

Inisiatif 3: Pemerkasaan Komuniti

Datuk Yang di-Pertua,

219. Sejak pandemik bermula, pelbagai pihak terutamanya NGO, GLC, perusahaan sosial dan komuniti telah memainkan peranan yang berkesan sebagai ejen di lapangan bagi menyokong usaha Kerajaan membangunkan sosioekonomi rakyat. Pada tahun ini, Kerajaan bersama-sama Yayasan Hasanah telah membiayai pelbagai inisiatif untuk golongan rentan.

220. Satu contoh penerima Geran Khas Hasanah ialah Earth Heir iaitu sebuah perusahaan sosial yang mempromosi barang-barang kraf mesra alam yang dihasilkan oleh komuniti tempatan. Saudari Sasibai Kimis, pengasas Earth Heir bercita-cita besar untuk membantu penghasil kraf ini mengembangkan pendapatan mereka secara mampan. Earth Heir dan suku kaum Dusun Minokok di Sabah telah bekerjasama untuk menghasilkan beg yang saya gunakan untuk membawa ucapan Bajet 2022 hari ini.

221. Bagi tahun hadapan, sejumlah 100 juta ringgit akan terus disediakan secara geran padanan dengan sumbangan Yayasan milik GLC kepada NGO untuk membiayai pelbagai program sosial membantu golongan rentan dari segi pendidikan, penjanaan pendapatan dan kesihatan mental.

222. Pada masa yang sama, bagi memastikan perusahaan sosial seperti Earth Heir dapat terus berkembang dan membantu golongan sasaran mereka, Kerajaan bercadang untuk memberikan pengecualian cukai ke atas semua pendapatan Perusahaan Sosial sehingga 3 tahun taksiran berdasarkan kepada tempoh sah laku akreditasi yang diluluskan oleh Jawatankuasa Bersama Akreditasi oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta Yayasan Hasanah.

223. Program Perolehan Impak Sosial Kerajaan yang telah diperkenalkan secara rintis sebelum ini bertujuan meningkatkan peluang perusahaan sosial untuk menyertai perolehan Kerajaan. Mulai tahun hadapan, inisiatif ini akan diperluaskan pelaksanaannya kepada semua Kementerian.

224. Di samping itu, Kerajaan juga memperuntukkan 14 juta ringgit kepada United Nation Development Program sebagai menyokong usaha mereka menjalankan pelbagai inisiatif antaranya mewujudkan aktiviti pelancongan selamat dan aktiviti restorasi di Mersing, Johor dan Manjung, Perak.

225. Akhir sekali, sebagai galakan kepada penjawat awam untuk turut serta menyumbang tenaga di dalam khidmat masyarakat, cuti tanpa rekod maksimum 5 hari setahun dibenarkan dengan pertubuhan yang diluluskan.

Inisiatif 4: Sukuk Kelestarian

Datuk Yang di-Pertua,

226. Malaysia komited dalam memenuhi obligasinya sebagai penandatangan Perjanjian Paris. Pada April lalu, Kerajaan berjaya menerbitkan Sukuk
Kelestarian berdaulat yang pertama di dunia menerusi terbitan berjumlah 800 juta dolar Amerika. Sukuk ini telah dilanggan melebihi 5.6 kali yang mencerminkan keyakinan pelabur terhadap negara. Bagi tahun hadapan, Kerajaan akan menerbit Sukuk Kelestarian dalam Ringgit Malaysia sehingga 10 bilion ringgit untuk disalurkan kepada projek sosial atau mesra alam yang layak.

STRATEGI 2: MERAPATKAN JURANG EKONOMI

Datuk Yang di-Pertua,

227. Strategi kedua dalam fokus ini adalah untuk merapatkan jurang ekonomi merentas dimensi. Tahun 2022 akan turut menumpukan kepada usaha melaksanakan projek-projek utama negara yang berupaya memberi limpahan ekonomi kepada penduduk setempat di samping merapatkan jurang ekonomi antara lokaliti.

Inisiatif 1: Projek Pembangunan Untuk Pemulihan

228. Bagi memastikan usaha merangsang pemulihan ekonomi dipergiat, Kerajaan akan meneruskan pelaksanaan projek pembangunan infrastruktur negara bernilai 3.5 bilion ringgit, antaranya pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo dan Central Spine Road.

229. Bagi merancakkan lagi aktiviti pembangunan infrastruktur berimpak tinggi secara kerjasama awam swasta, Kerajaan memperuntukkan dana permulaan sebanyak 200 juta ringgit menerusi pewujudan Dana Mudah Cara Infrastruktur
Ketiga di bawah seliaan Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri. 230. Selanjutnya, Kerajaan juga akan terus melaksanakan projek-projek kecil dan sederhana bernilai 2.9 bilion ringgit yang dikhususkan kepada kontraktor kelas G1 ke G4 di seluruh negara. Peruntukan ini antaranya melibatkan projek selenggara jalan, baik pulih infrastruktur dan peralatan usang universiti awam, politeknik dan kolej komuniti serta projek-projek lain melibatkan ameniti sosial di luar bandar.

Inisiatif 2: Pembangunan Antara Wilayah

Datuk Yang di-Pertua,

231. Keseimbangan pembangunan antara negeri dan wilayah adalah penting bagi memastikan kesemua ahli Keluarga Malaysia dapat menikmati hasil pembangunan. Bagi lima koridor wilayah pembangunan ekonomi, projek-projek pembangunan akan diteruskan dengan peruntukan sejumlah 690 juta ringgit merangkumi enam projek baharu dan 66 projek sambungan seperti projek Pertanian Pintar di Igan Sarawak.

232. Kerajaan juga akan prihatin membantu kerajaan negeri meningkatkan pembangunan ekonomi negeri. Sehubungan itu, peruntukan khusus berjumlah 260 juta ringgit iaitu 20 juta ringgit bagi setiap negeri akan disediakan bagi memfokuskan kepada projek berkenaan jaminan makanan, pelancongan serta pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.

233. Seterusnya, Sabah dan Sarawak akan menerima peningkatan peruntukan perbelanjaan pembangunan masing-masing kepada 5.2 bilion ringgit dan 4.6 bilion ringgit. Peruntukan ini antaranya adalah untuk melaksanakan projek infrastruktur air, elektrik, dan jalan raya, serta kemudahan pendidikan dan kesihatan.

234. Usaha bank bergerak yang dimulakan di Sarawak tahun ini seperti di Pekan Sungai Asap, Belaga mendapat sambutan memberangsangkan. Penduduk luar bandar datang beramai-ramai untuk menggunakan perkhidmatan bank bergerak yang disediakan oleh BSN. Baru-baru ini, perkhidmatan ini juga diluaskan ke Sabah atas usaha Yang Berhormat Sipitang. Tahun hadapan, sebanyak tambahan 20 lagi bank bergerak dijangka mula beroperasi merangkumi 250 kawasan dan mukim di luar bandar terutamanya di Sabah dan Sarawak.

Inisiatif 3: Projek Ketersambungan Digital

Datuk Yang di-Pertua,

235. Dalam menyediakan kemudahan jalur lebar terkini kepada Keluarga Malaysia, pelaksanaan inisiatif Jalinan Digital Negara, (atau JENDELA) akan terus dipergiat. Bagi tahun 2022, Kerajaan menyediakan 700 juta ringgit untuk meneruskan usaha ketersambungan digital di 47 kawasan perindustrian dan 630 buah sekolah terutamanya di luar bandar.

236. Bagi memastikan golongan penduduk di PPR tidak ketinggalan, Kerajaan juga memperuntukkan 30 juta ringgit bagi menyediakan kemudahan internet di 40 PPR sedia ada.

237. Penyediaan perkhidmatan 5G bakal melakar landskap teknologi baharu dan menawarkan pengalaman pengguna yang lebih baik dan pantas. Di samping itu, ia juga merapatkan jurang digital serta mencipta peluang pekerjaan baharu. Bagi tahun 2022, perkhidmatan 5G akan diperluas kepada 36 peratus daripada kawasan kepadatan tinggi termasuk di bandar-bandar utama di Johor, Selangor, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

238. Untuk meningkatkan penerapan digital dalam kalangan PMKS, Kerajaan akan menambah baik inisiatif Skim Geran Pendigitalan PKS. Untuk tahun 2022, jumlah dana bagi skim ini telah dinaikkan kepada 200 juta ringgit dengan 50 juta ringgit dikhususkan untuk usahawan mikro Bumiputera di luar bandar.

239. Bagi menggiatkan lagi transformasi pendigitalan perniagaan dalam kalangan usahawan luar bandar, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia akan juga mentransformasikan 600 Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia sebagai Pusat Sehenti untuk membimbing usahawan mikro menggunakan teknologi digital.

240. Nomad digital ialah golongan yang menjana pendapatan secara dalam talian tanpa lokasi fizikal yang tetap. Golongan ini berpotensi menyumbang kepada ekonomi negara terutamanya sebagai pelancong. Untuk memanfaatkan perkembangan ini, Kerajaan akan memperkenalkan program Malaysia Digital Nomad untuk mewujudkan komuniti dan ekosistem nomad digital di Malaysia dengan menggunakan sektor pelancongan sebagai pemangkin.

STRATEGI 3: KONSOLIDASI FISKAL DAN KEMAMPANAN HASIL

Datuk Yang di-Pertua,

241. Kerajaan telah menangani krisis pandemik COVID-19 dalam keadaan ruang fiskal yang sempit memandangkan ekonomi masih belum pulih sepenuhnya dan kutipan hasil yang terjejas. Oleh itu, Kerajaan terpaksa bergantung kepada sumber hasil bukan cukai di samping meningkatkan hutang statutorinya bagi memastikan pakej bantuan dan rangsangan serta projek pembangunan dapat diteruskan. Bagi tahun 2022, iaitu tahun pemulihan ekonomi, reformasi dan pengukuhan fiskal akan dimulakan bagi membina semula benteng ketahanan fiskal negara dalam menghadapi cabaran di masa hadapan.

Inisiatif 1: Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA)

242. Bagi inisiatif pertama, Kerajaan berhasrat untuk memperkenalkan Akta Tanggungjawab Fiskal dengan tujuan meningkatkan tadbir urus, akauntabiliti dan ketelusan dalam pengurusan fiskal negara bagi memastikan kemampanan fiskal dan menyokong kestabilan ekonomi makro.

243. Seperti yang telah saya maklumkan, Kertas Konsultasi Awam berkenaan Akta tersebut telah diterbitkan dan semua maklum balas konstruktif akan dipertimbangkan untuk menambah baik draf yang sedang disediakan. Kerajaan bercadang untuk membentangkan Akta ini pada tahun hadapan.

244. Selain itu, Kerajaan juga sedang melaksanakan Public Expenditure Review dengan kerjasama Bank Dunia bagi memastikan kecekapan dan keberkesanan perbelanjaan awam tanpa menjejaskan sistem penyampaian awam. Dengan itu, produktiviti perbelanjaan awam dapat ditingkatkan bagi memastikan nilai faedah terbaik bagi setiap ringgit duit rakyat.

Inisiatif 2: Langkah-langkah Kemampanan Hasil

245. Sebagai inisiatif kedua langkah kemampanan hasil dan selaras dengan amalan di peringkat antarabangsa, Kerajaan bercadang untuk memberikan layanan cukai sama rata seperti berikut:

Pertama:
Kadar duti setem nota kontrak dinaikkan daripada 0.1 peratus kepada 0.15 peratus dan had duti setem 200 ringgit setiap nota kontrak dimansuhkan. Pada masa yang sama, aktiviti pembrokeran dagangan saham tersenarai tidak lagi dikenakan cukai perkhidmatan;
Kedua:
Cukai pendapatan dikenakan kepada pemastautin di Malaysia ke atas pendapatan yang terbit daripada sumber luar negara dan diterima di Malaysia mulai 1 Januari 2022;
Ketiga: Cukai jualan dikenakan ke atas barang bernilai rendah dari luar
negara yang dijual oleh peniaga dalam talian dan dihantar
kepada pengguna di Malaysia melalui perkhidmatan kurier udara;

Keempat:
Cukai perkhidmatan dikenakan ke atas perkhidmatan penghantaran barang yang disediakan oleh penyedia perkhidmatan termasuk platform e-Dagang kecuali perkhidmatan penghantaran makanan dan minuman serta perkhidmatan logistik;
Kelima:
Program Khas Pengakuan Sukarela Jabatan Kastam Diraja Malaysia diperkenalkan secara berfasa dengan insentif remisi penalti sebanyak 100 peratus bagi fasa pertama dan remisi penalti sebanyak 50 peratus bagi fasa kedua. Remisi cukai juga akan dipertimbangkan bagi kes tertentu;
Keenam:
Sijil Pematuhan Cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia akan dijadikan sebahagian prasyarat untuk syarikat menyertai perolehan kerajaan bermula 1 Januari 2023; dan
Ketujuh: Penggunaan nombor pengenalan cukai (atau TIN) akan
dilaksanakan mulai tahun 2022 bagi memperluaskan asas cukai pendapatan.

246. Dalam meningkatkan disiplin fiskal dan ketelusan serta melengkapi program Strategi Hasil Jangka Sederhana serta kajian insentif cukai yang sedang diusahakan, Penyata Perbelanjaan Cukai akan diterbitkan. Ini penting dalam menentukan kos yang ditanggung Kerajaan berhubung pemberian insentif cukai, pengecualian secara one-off dan penetapan dasar cukai lain.

Datuk Yang di-Pertua,

247. Berikutan krisis pandemik COVID-19, keperluan meningkat untuk membiayai golongan rakyat yang terjejas. Bagi memastikan sistem kesihatan awam lebih berdaya tahan dalam menghadapi sebarang ancaman pada masa hadapan, Kerajaan bercadang untuk memperkenalkan cukai khas secara one-off kepada syarikat yang menjana pendapatan tinggi. Dengan nama Cukai Makmur, syarikat dengan pendapatan bercukai sehingga 100 juta ringgit pertama akan dikenakan cukai pendapatan pada kadar 24 peratus dan pendapatan bercukai selebihnya akan dikenakan cukai pendapatan pada kadar 33 peratus bagi tahun taksiran 2022.

STRATEGI 4: MENDOKONG PENYAMPAIAN PERKHIDMATAN AWAM

Datuk Yang di-Pertua,

248. Perkhidmatan awam merupakan tunjang dalam usaha kita menangani pandemik COVID-19. Kerajaan amat menghargai sokongan dan pengorbanan setiap penjawat awam dalam melaksanakan program dan projek serta pelbagai pakej bantuan dan rangsangan selama ini. Strategi keempat di bawah fokus ketiga adalah untuk terus mendokong penyampaian perkhidmatan awam. Usaha memberikan perkhidmatan berintegriti dan menentukan ketelusan tadbir urus Kerajaan akan terus dipergiat bagi memastikan penyampaian terbaik kepada rakyat.

Inisiatif 1: Pembaharuan Penyampaian Perkhidmatan

249. Bagi memacu transformasi digital dalam perkhidmatan Kerajaan, inisiatif
MyDIGITAL telah dilancarkan pada 19 Februari lalu. Pelaksanaan projek Identiti Digital Nasional akan dimulakan pada tahun 2022 dan merupakan satu platform pengesahan pengenalan diri bagi membolehkan kesalinghubungan pelbagai sistem transaksi untuk memudahkan pengguna berurusan secara digital dan selamat.

250. Selain itu, MyDIGITAL juga menyasarkan penggunaan 80 peratus cloud storage dalam perkhidmatan Kerajaan pada tahun 2022. Oleh itu, inisiatif Digital First Programme akan diperkenalkan bagi meningkatkan usaha penggunaan pengkomputeran awan. Secara tidak langsung, inisiatif ini akan meminimum penggunaan storan fizikal dan membudaya konsep tanpa kertas.

251. Jika dahulu, rakyat perlu pergi ke kaunter-kaunter dan pejabat Kerajaan sekiranya ingin berurusan atau mendapatkan sebarang perkhidmatan. Kini, komitmen untuk memastikan rakyat terutamanya kumpulan tumpuan mendapat akses yang pantas kepada perkhidmatan Kerajaan, pelbagai usaha dipergiat antaranya melalui program klinik bergerak, pemberian vaksin COVID-19 bergerak dan bank bergerak.

252. Bagi tahun hadapan, Kerajaan akan meluaskan perkhidmatan klinik bergerak oleh Hospital Pengajar Universiti sebagai usaha menambah akses saringan dan pendidikan kesihatan di kawasan-kawasan tumpuan. Selain itu, Sebagai tambahan Jabatan Pengangkutan Jalan juga akan menyediakan sebanyak 20 buah kaunter bergerak JPJ khusus untuk manfaat penduduk pedalaman.

253. Bagi meneruskan akses perkhidmatan Kerajaan pada luar waktu pejabat, sebanyak 100 kiosk dengan fasiliti lengkap komputer akan disediakan di UTC untuk memudahkan orang awam yang ingin berurusan dengan pihak JPJ seperti proses memperbaharui lesen memandu.

Inisiatif 2: Kebajikan Penjawat Awam

Datuk Yang di-Pertua,

254. Sejak COVID-19 mula membarah di tanah air kita, penjawat awam ialah perawatnya yang setia; yang menatang kita bagai sebuah keluarga, tanpa jemu dan leka. Dalam mengharungi episod duka ini, anggota barisan hadapan, juga disambut keringat sukarelawan telah sama-sama menjayakan setiap agenda Kerajaan dengan berkesan. Terima kasih, terima kasih, terima kasih kami ucapkan.

255. Oleh itu bagi tahun hadapan, Kerajaan bercadang untuk menambah baik beberapa kemudahan anggota perkhidmatan awam seperti berikut:

Pertama:
Menurunkan kadar keuntungan skim pembiayaan komputer dan telefon pintar untuk penjawat awam daripada 4 kepada 2 peratus;
Kedua:
Memperuntukkan 365 juta ringgit antaranya bagi menyelenggara kuarters dan bangunan guna sama di bawah seliaan Bahagian Pengurusan Hartanah;
Ketiga:
Meneruskan inisiatif Perlindungan Kemalangan Diri sehingga 100 ribu ringgit untuk manfaat 40 ribu peminjam baharu LPPSA. Skop perlindungan ini akan diperluas dengan penambahan tiga jenis perlindungan baharu merangkumi hilang upaya separa, sebahagian dan kekal, badal haji serta perbelanjaan pemulihan kecederaan disebabkan kemalangan;
Keempat:
Meningkatkan Kadar Bayaran Insentif Pengawasan Banduan daripada 150 kepada 200 ringgit sebulan yang bakal memanfaatkan lebih 14 ribu pegawai penjara. Sebagai tambahan, elaun ini juga dipanjangkan kepada 775 pegawai kader di institusi penjara yang terlibat dalam tugas pengawasan banduan;
Kelima: Meningkatkan Elaun Penugasan Sukarelawan Simpanan
Polis (atau PVR) daripada 7 ringgit 80 sen kepada
9 ringgit 80 sen sejam untuk pegawai; dan daripada 6 ringgit
kepada 8 ringgit sejam untuk anggota. Kenaikan ini bakal memanfaatkan hampir 10 ribu PVR; dan

Keenam: Memberikan bayaran insentif sebanyak 200 ringgit kepada Pembantu Pembangunan Masyarakat Gred S19 dan Pembantu Perawatan Kebajikan Gred U11 dan U14 yang bertugas di 24 institusi kebajikan atas jasa dan pengorbanan mereka yang terlibat secara langsung dalam perkhidmatan menjaga dan merawat penghuni warga emas, OKU dan pesakit mental.
256. Dalam menangani krisis COVID-19, ramai penjawat awam terutamanya barisan hadapan tetap komited kepada tugasannya dan antaranya tidak berpeluang bercuti. Bagi mengiktiraf pengorbanan tersebut, sukacita diumumkan gantian cuti rehat dinaikkan daripada maksimum 150 hari kepada 160 hari. Di samping itu, Kerajaan juga akan melaksanakan kemudahan membenarkan penebusan awal GCR sehingga 50 peratus atau 80 hari. Kemudahan ini mengambil kira keperluan penjawat awam seperti menunaikan haji atau membiayai pengajian tinggi anak.

257. Bagi menghargai jasa dan pengorbanan penjawat awam dalam menggalas tanggungjawab menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat terutamanya semasa negara mengharungi tempoh yang penuh cabaran ini, Kerajaan mengumumkan Bantuan Khas Kewangan kepada 1.3 juta penjawat awam Gred 56 dan ke bawah sebanyak 700 ringgit dan 1 juta pesara Kerajaan sebanyak 350 ringgit dengan implikasi Kewangan sebanyak 1.3 bilion ringgit. Diharapkan semoga bantuan ini dapat menjadi pemangkin kepada penjawat awam untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi.

258. Semua inisiatif yang dibentangkan pada hari ini tidak akan bermakna sekiranya pelaksanaannya tidak sampai kepada ahli Keluarga Malaysia dengan tuntas dan berkesan. Sehubungan itu, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri akan mempengerusikan sebuah jawatankuasa pemantauan yang diselaras oleh Kementerian Kewangan bagi memastikan semua inisiatif Bajet 2022 berjaya mencapai objektif yang disasarkan.

PENUTUP

Datuk Yang di-Pertua, Ahli-ahli Yang Berhormat, saudara-saudari yang merupakan Keluarga Malaysia kita.

259. Kini, tiba kita di penghujung pembentangan ini.

Hampir usai AMANAH yang diberikan, berlabuh kita di muara senja, sauh sudah labuh, pendayung sudah sandar, mualim tak sabar menanti jeda.

Maka, berpeganglah kita pada ibrah—yang terkandung dalam ayat 32, surah Al-Qalam— setelah segala usaha, berserahlah kita pada Yang Maha
Esa, semoga Allah Subhannahu Wa Ta’ala menganugerahkan bagi kita, sesuatu yang lebih baik daripada hari ini.
Namun, ketahuilah… perjuangan menentang wabak ini belum berakhir.

Nasib rakyat masih perih, barisan hadapan kita belum pulang dari perbatasan ke pangkuan keluarga mereka, peperangan masih membara di luar sana.

Tapi kita sudah hampir di ambang kemenangan, yakinlah, kita dekat sekali.
Cukup dekat.

Justeru, dalam Dewan yang Mulia ini, saya mohon Ahli-ahli Yang Berhormat semua dokonglah belanjawan ini.

Suara tuan-puan ada hikmat: melindung hayat, memberi kita kudrat… melawan musuh, wabak durjana…

Belanjawan ini—kita tempa bersama

kukuh bagai waja, besi jadi kersani.

Belanjawan ini—perisai pelindung KELUARGA kita,

dari sasana bahaya ke puncak jaya,

dari Dewan Mulia ini, berikanlah rakyat kita, khabar yang baik-baik belaka:

bahawa Bajet ini… milik mereka, suara kita… milik mereka, bahawa kemenangan itu… milik mereka!

Wabillahi Taufik Wal Hidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

260. Datuk Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan.

oleh:

YB SENATOR

TENGKU DATUK SERI UTAMA ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ MENTERI KEWANGAN

 

ketika membentangkan

RANG UNDANG-UNDANG PERBEKALAN (2022)

Di Dewan Rakyat

Pada Jumaat, 29 Oktober 2021

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat