Sasaran Pragmatik Dalam RMK-12 Mampu Dicapai

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Dewan Rakyat pada Isnin, turut menyenaraikan sasaran pragmatik yang mampu dicapai serta jelas membuktikan kesungguhan kerajaan dalam meneruskan pertumbuhan ekonomi sambil memelihara kesejahteraan rakyat.

Langkah sedemikian disifatkan sebagai praktikal, apalagi keseimbangan itu mengambil kira kekangan kewangan yang dihadapi oleh kerajaan dalam melindungi kehidupan serta memajukan ekonomi susulan impak pandemik COVID-19 yang dilihat semakin reda.

Sejajar dengan harapan tinggi rakyat terhadap kerajaan untuk mempertahan aspek kehidupan dan mata pencarian, sebahagian besar daripada pembiayaan RMK-12 itu akan digunakan untuk menampung perbelanjaan projek-projek besar yang telah dimulakan serta penekanan bagi pembangunan hospital dan klinik.

Ini juga bermakna bahawa pelan ekonomi itu tidak menyenaraikan sebarang projek mega baharu.

Atas alasan ini, sebagaimana dianggarkan kalangan kelompok kerajaan, majoriti atau 85 peratus daripada pembiayaan RM400 bilion bagi RMK-12 itu akan diperuntukkan bagi meneruskan kesinambungan projek-projek sedia ada.

Ini termasuk projek infrastruktur mega dengan manfaat sokongan meluas seperti projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Lebuh Raya Pan Borneo dan Sistem Transit Rapid JB-Singapura manakala baki 15 peratus akan melibatkan projek-projek baharu.

Sudah semestinya, tindakan sedemikian merupakan langkah serta hala tuju tepat dalam mengimbangi kewangan berikutan keadaan semasa yang tidak menentu dengan jangkaan bahawa kedudukan kewangan kerajaan akan meningkat atau bertambah baik menjelang 2023.

Jika diamati, langkah menumpukan pembangunan infrastruktur yang sedang dijalankan itu akan meningkatkan aspek kesalinghubungan dalam pengangkutan darat dan memacu peningkatan pelaburan domestik dan asing selain berupaya menjana peluang pekerjaan baharu.

Apa yang dilaksanakan oleh kerajaan baharu pimpinan perdana menteri adalah daripada sekadar mewujudkan ‘roda’ atau platform semata-mata, kerajaan sebaliknya melakar strategi untuk mengembangkan lagi ekonomi dengan terlebih dahulu bertindak membantu rakyat untuk berdikari semula.

Penekanan penting dalam RMK-12 ialah memperkukuh pemangkin pertumbuhan yang membawa kepada langkah mengembangkan aliran pendapatan dalam bidang seperti pendigitalan di bawah Revolusi Perindustrian Keempat.

Berbanding didorong secara pilihan, wujud keperluan mendesak untuk rakyat Malaysia mencapai pendigitalan dan dagangan dalam talian secara lebih giat dalam situasi norma baharu demi meneruskan kelangsungan ekonomi mereka.

Tidak kurang pentingnya adalah memperkasakan perusahaan mikro serta kecil dan sederhana (PMKS) memandangkan sektor ini merupakan penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan membentuk 60 peratus daripada jumlah pekerjaan.

Ismail Sabri berkata perusahaan mikro serta kecil dan sederhana berjumlah 1.2 juta setakat 2020 dan meliputi 97.2 peratus daripada jumlah perusahaan di negara ini yang sekali gus membuktikan kepentingannya.

Pada akhir 2019, sebanyak 7.3 juta orang bekerja dalam perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia, sekali gus menjadi alasan komitmen kerajaan untuk menyokong mereka mampu memberi kelegaan besar bagi banyak perusahaan yang terjejas teruk akibat pandemik.

Oleh yang demikian, dorongan kerajaan dalam menyokong perusahaan mikro dan PKS merupakan strategi tepat untuk meningkatkan pendapatan pekerja yang tergolong dalam kumpulan B40.

Memandangkan pembentangan RMK-12 tidak menyentuh mengenai cukai barang dan perkhidmatan (GST), ini bermakna perniagaan dijangka tidak dibebani dari segi kewangan.

Bagi kerajaan, ia akan berusaha untuk meningkatkan hasil daripada aliran ekonomi baharu seperti ekonomi digital.

Sektor strategik juga akan diberi keutamaan dalam RMK-12 termasuk pelancongan, elektrik dan elektronik, perkhidmatan global, aeroangkasa serta sektor kreatif dan ekonomi gig manakala penubuhan Pusat Kecemerlangan untuk Industri Masa Depan pula berperanan bagi mengekalkan pertumbuhan.

Tiada usaha yang harus dipinggirkan dalam bidang seperti pelaksanaan rangkaian 5G menjelang akhir tahun bagi memenuhi sasaran kerajaan sumbangan ekonomi digital sebanyak 25.5 peratus kepada KDNK menjelang 2025.

Sekiranya tiada usaha dilakukan, Malaysia akan ketinggalan dalam bidang yang ia mulakan dalam rantau ini menerusi pelancaran Koridor Raya Multimedia (MSC) pada 1996.

Selain itu, masanya juga telah tiba untuk mengurangkan kebergantungan terhadap buruh asing dan industri berorientasikan buruh.
Sepertimana yang dinyatakan dalam RMK-12, Malaysia harus memanfaatkan teknologi baharu dan meningkatkan dana bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan, inovasi, pertanian pintar, sektor halal, biojisim serta teknologi hijau.

Ini adalah langkah-langkah yang sewajarnya kerana Malaysia ternyata telah ketinggalan untuk mencapai status sebagai negara perindustrian pada 2020 serta lewat setahun dalam membentangkan RMK-12.

Sehubungan itu, keutamaan segera adalah untuk memberi tumpuan bagi memulihkan ekonomi negara serta membantu rakyat Malaysia untuk mampu berdikari semula.

Apa yang pasti, pandemik COVID-19 telah memberi pengajaran kepada semua pihak termasuk para pembuat dasar untuk tidak mudah berasa selesa dan berpuas hati, sebaliknya berusaha untuk melaksanakan perubahan supaya Malaysia mampu menjadi sebuah negara yang berdaya saing.

Malah, daya saing adalah prasyarat utama yang harus diadunkan dengan produktiviti kerana tanpa dua aspek penting ini boleh menyebabkan Malaysia terus ketinggalan.

Usaha itu bagaimanapun hanya dapat dicapai dengan menggerakkan sumber secara ekonomi atau berhemat oleh kerajaan, mempertingkat kecekapan dan ketekunan rakyat yang digabungkan dalam norma baharu.

Perlu diingat, Malaysia masih belum terlepas daripada cabaran dan perdana menteri telah memberi jaminan untuk mengurangkan birokrasi bagi memacu pelaburan sektor swasta sebagai jentera pertumbuhan.

Sejajar dengan momentum senario ekonomi global dan serantau yang kembali bergerak, Malaysia juga harus maju dalam meliberalisasikan perniagaan termasuk meningkatkan kerjasama serantau terutama dengan negara-negara anggota dalam Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

Bagi membolehkan ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan antara 4.5 hingga 5.5 peratus setahun dalam tempoh 2021-25 seperti unjuran RMK-12, adalah penting agar dasar propertumbuhan turut dilaksanakan dengan pantas.

Lebih mustahak lagi, unjuran pendapatan isi rumah bulanan naik sehingga RM10,000 menjelang 2025 sewajarnya dibuat berdasarkan pelaksanaan pembaharuan yang cepat dan efisien seperti yang digariskan dalam RMK-12 dan seterusnyas Bajet 2022 yang akan dibentangkan pada bulan depan.

Objektif RMK-12 yang berlandaskan tiga tema utama iaitu pemerkasaan ekonomi, kelestarian alam sekitar dan kejuruteraan semula sosial, hanya dapat dicapai jika semua bahagian masyarakat dapat bersatu sebagai kekuatan tunggal bagi memajukan Malaysia.

Kesatuan inilah yang disarankan sebagai keluarga bersatu oleh perdana menteri dan akan menentukan sama ada negara mampu meraih kejayaan dalam pemerkasaan ekonomi, sumber pertumbuhan baharu, ekonomi digital, pembangunan wilayah bersepadu, teknologi hijau dan tenaga boleh diperbaharui.

Sudah semestinya dalam mana-mana rancangan ekonomi sama ada RMK-12 mahu pun Bajet 2022, apa yang paling utama adalah penyatuan sebagai satu keluarga untuk berusaha meningkatkan pendapatan isi rumah sebenar, berkongsi sumber secara saksama dan berganding bahu dalam mencapai satu tujuan bersama bagi membolehkan negara keluar daripada cengkaman cabaran kesihatan dan krisis ekonomi semasa.

Ini pada akhirnya dapat meningkatkan kesejahteraan negara termasuk kehidupan seluruh rakyat Malaysia.

– BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat