Sejarah Baharu Tercipta, Syabas Kepada Semua Ahli Parlimen – PM

- Advertisement -

CYBERJAYA – Kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 berkenaan peruntukan larangan bertukar parti merupakan sejarah baharu yang tercipta hasil sokongan majoriti lebih dua pertiga di Dewan Rakyat.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau berterima kasih kepada semua Ahli Parlimen kerana menyokong RUU tersebut.

“Terima kasih saya ucapkan kepada semua Ahli-ahli Yang Berhormat sama ada daripada blok kerajaan, pembangkang dan bebas yang melakar sejarah pada hari ini.

“Syabas kerana Ahli-ahli Yang Berhormat yang berada di dalam dewan yang mulia telah menjalankan amanah rakyat melalui sistem Demokrasi Berparlimen,” katanya, menerusi satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, RUU ini terhasil selepas pelbagai sesi libat urus, pandangan serta melalui Jawatankuasa Pilihan Khas secara bi-partisan melibatkan wakil parti-parti utama di dalam Dewan Rakyat.

“Rang Undang-Undang ini penting bagi memastikan kestabilan politik yang berpanjangan.

“Terima kasih juga kepada semua 54 Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah menyertai sesi perbahasan dan memberikan pandangan mereka.

“Ini adalah isyarat yang jelas bahawa Ahli-ahli Yang Berhormat mengamalkan politik matang berteraskan semangat Keluarga Malaysia dengan meletakkan kepentingan dan kesejahteraan rakyat dalam apa juga perancangan dan pelaksanaan,” katanya.

Untuk rekod, RUU berkenaan diluluskan hari ini menerusi undi belah bahagian dengan sokongan 209 Ahli Parlimen, lebih dari dua pertiga sokongan di Dewan Rakyat.

Tiada Ahli Parlimen yang menentang atau berkecuali dalam sesi pengundian tersebut, melainkan 11 Ahli Parlimen dari beberapa parti dilaporkan tidak mengundi kerana tidak hadir semasa sesi berlangsung.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat