Darurat belum diperkenan, Agong dukacita dengan Takiyuddin

KUALA LUMPUR- Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa dukacita dengan kenyataan yang telah dibuat di Parlimen pada 26 Julai lalu bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat yang telah dimahsyurkan oleh baginda sepanjang tempoh darurat walhal pembatalan belum lagi diperkenan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan media Istana Negara memaklumkan bahawa Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa amat dukacita kerana apa yang telah diperkenankan dan dipersetujui terdauhulu dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun semasa menghadap secara maya pada 24 Julai 2021 bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan telah tidak dilaksanakan.

“Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa kenyataan Menteri (Takiyuddin) pada 26 Julai 2021 adalah tidak tepat dan telah mengelirukan ahli-ahli Dewan Rakyat.

“Seri Paduka Baginda turut menegaskan bahawa permohonan pembatalan semua Ordinan Darurat berkuatkuasa 21 Julai 2021 yang telah dilakukan secara tergesa-gesa tanpa pembentangan di Parlimen.

“…dan kenyataan yang bercanggah serta mengelirukan Parlimen bukan sahaja gagal menghormati prinsip kedaulatan undang-undangyang terkandung dalam Rukun Negara malah telah membelakangi fungsi dan kuasa Seri Paduka Baginda selaku Ketua Utama Negara seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Dalam pada itu, jelasnya, Seri Paduka Baginda sedia maklum akan perlunya Baginda bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri seperti yang terkandung dalam Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan.

“Namun, Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa baginda selaku Ketua Utama Negara mempunyai kewajipan untuk menyampaikan nasihat dan teguran jika berlaku sebaran tindakan yang tidak berperlembagaan oleh mana-mana pihak, khususnya mereka yang melaksanakan fungsi dan kuasa Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa dalam pemrintahan Raja Berpelembagaan dan sistem Demokrasi Berparlimen bertunjangkan prinsip Keluhuran Perlembagaan, semua pihak perlu mematuhi kedaulatan undang-undang.

Perkara 150(2b) dibaca dengan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan secara jelas memperuntukkan kuasa penggubalan dan pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat terletak pada Seri Paduka Baginda.

Justeru, Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa ahli-ahli Parlimen supaya memberikan keutamaan kepada kemaslahatan dan kesejahteraan rakyat serta negara pada sesi sidang Parlimen yang sedang berlangsung untuk mencari penyelesaian terhadap pelbagai masalah dihadapi rakayt dan negara ketika krisis pandemik COVID-19.

Baginda menyeru rakyat berdoa agar negara sentiasa di bawah lindungan ALLAH dan dijauhi musibah dan wabak COVID-19 supaya berakhir segera.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat