KUALA LUMPUR – Sejurus Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengeluarkan satu kenyataan media bahawa Ordinan Darurat yang diumum dibatalkan belum mendapat perkenan baginda suhu Dewan Rakyat bertukar hangat dan kecoh.
Ahli-ahli Parlimen Pembangkang bangun mengecam kerajaan kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang disifatkan telah mengabaikan prinsip perlembagaan dan tidak menghormati institusi diraja.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim membacakan kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara itu.
“Kenyataan ini jelas menunjukkan Kabinet yang diketuai oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melanggar semangat Perlembagaan, menghina Institusi Raja Berpelembagaan khususnya Yang di-Pertuan Agong dan ini juga termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) kerana mengelirukan dewan dan telah tidak bercakap benar kepada dewan juga mengelirukan rakyat.
“Kita tidak ada pilihan selain menuntut Perdana Menteri meletakkan jawatan,” tegas Anwar yang juga Ahli Parlimen (PH-Port Dickson).
Selain beliau, ahli Parlimen (Bebas- Simpang Renggam) Dr Maszlee Malik menegaskan jika perkara ini dibiarkan terus berlaku tanpa sikap ‘gentleman’ daripada Ahli Parlimen Pagoh dan Kota Bharu untuk meletak jawatan.
“Ia akan menjadi titik hitam dalam sejarah negara menjadikan pimpinan secara diktator,” katanya.
Susulan itu Ahli Parlimen (BN-Tanjung Karang) Tan Sri Noh Omar mendesak agar sidang Dewan Rakyat ditangguhkan sementara waktu.
“Ini persolan serius, sangat penting saya nak cadang bila ada perkara yang agak kontroversi biarlah dewan ini ditangguh sementara jika tidak ia tidak akan selesai, syor Noh.
Justeru, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon awalnya menangguhkan selama 15 minit kemudian dilanjutkan sehingga jam 2.30 petang.



