Ketua Pengarah JAPEN santuni mentor, hargai jasa veteran

Oleh Zihan Zari

BATU PAHAT – Jasa dan pengorbanan warga veteran Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) sentiasa dikenang, terutamanya kepada mereka yang telah mencurahkan bakti dalam membentuk generasi pelapis serta memperkukuh peranan JAPEN sebagai agensi penyampaian maklumat kepada rakyat.

Atas semangat menghargai jasa tersebut, Ketua Pengarah JAPEN, Erwin Khairul Ahmad, telah mengadakan kunjungan kukuhkan
silaturahim ke kediaman pesara JAPEN, Abdul Razak Mohammed, dekat sini baru-baru ini.

Turut hadir, Pengarah JAPEN Johor, Mohd Rizal Hashim.

Abdul Razak merupakan antara anggota keluarga besar JAPEN yang telah menabur bakti untuk negara selama 37 tahun, bermula dari 1982 hingga persaraannya pada 2019, dan jawatan terakhir yang disandang beliau ialah Pegawai Penerangan Daerah (PPD) Kluang.

Sepanjang tempoh perkhidmatannya, beliau pernah bertugas di Ibu Pejabat JAPEN Johor serta beberapa daerah lain termasuk Kulai, Kota Tinggi, Batu Pahat dan Kluang, selain pernah berkhidmat di Terengganu.

Beliau juga dikenali sebagai seorang penceramah jabatan yang disegani dan amat sinonim dengan kehebatan berpantun
secara spontan ketika menyampaikan ceramah.

Menurut Erwin, Abdul Razak bukan sekadar seorang rakan sekerja, malah merupakan guru dan mentor yang banyak membimbing beliau, khususnya dalam bidang pengucapan awam.

“Beliau adalah salah seorang guru dan mentor saya di JAPEN, banyak ilmu dan pengalaman yang saya timba daripada beliau, khususnya dalam pengucapan awam,” katanya.

Dalam kunjungan tersebut, Erwin menzahirkan penghargaan atas segala jasa dan khidmat bakti yang telah dicurahkan oleh Abdul Razak sepanjang berkhidmat di JAPEN.

Walaupun kini mengalami keuzuran akibat pernah diserang angin ahmar, Abdul Razak masih memiliki daya ingatan yang sangat baik, mampu mengimbau pelbagai kenangan sepanjang berkhidmat, malah masih boleh berpantun secara spontan, sekali gus menyerlahkan keperibadiannya yang sentiasa dekat dengan seni penyampaian dan komunikasi.

Dalam perkembangan sama, lawatan tersebut bukan sekadar ziarah biasa, tetapi turut menjadi simbol penghargaan JAPEN terhadap jasa dan pengorbanan warga veterannya yang telah membina asas yang kukuh kepada organisasi.

Inisiatif ini juga mencerminkan nilai kepimpinan yang sentiasa menghargai sumbangan generasi terdahulu serta memastikan legasi ilmu, pengalaman dan semangat mereka terus dikenang dan menjadi inspirasi kepada warga JAPEN pada masa hadapan.-SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat