KUALA LUMPUR- Ladang Integrasi Lambor yang dibangunkan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) dapat membantu dalam mendepani dan menangani isu sekuriti makanan.

Ketua Pegawai Eksekutif Perak SADC, Yahanis Yahya, berkata secara dasarnya ia dibangunkan melalui kaedah pertanian integrasi di kawasan seluas 72 hektar merangkumi tanaman kontan, nanas dan kenaf.

Katanya, dalam usaha merancakkan lagi pemerkasaan sekuriti makanan di ladang itu, Perak SADC memberikan sewaan kepada Aexis Agroventure Sdn Bhd untuk penanaman nanas MD2 di kawasan seluas 40 hektar, manakala lapan hektar diperuntukkan kepada Agrownas bagi pembangunan tanaman sama.

“Bagi tanaman kontan seperti terung, cili dan jagung yang akan dimajukan oleh enam pekebun kecil terpilih membabitkan kawasan seluas 24 hektar.

“Memahami kekangan Aexis Agroventure Sdn Bhd untuk membangunkan tanaman nanas MD2, berikutan modal permulaan yang tinggi serta faktor kekurangan sulur, Perak SADC memberikan hak guna sementara di sebahagian tanah sewaan syarikat itu bagi pembangunan kawasan penanaman kontan seluas empat hektar.

“Bersebelahan kawasan sama turut ditanam tanaman kenaf seluas 8.8 hektar di mana kira-kira 0.8 hektar dikhususkan untuk diproses dijadikan bahan makanan untuk ternakan lembu di Ladang Dusun Rasau Perdana milik Perak SADC,” katanya lapor BH pada majlis pelancaran program berkenaan di Lambor Kiri, Bota, semalam.

Program berkenaan dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Razman Zakaria.

Yahanis berkata, program berkenaan akan diperluas sehingga 120 hektar yang boleh membabitkan kira-kira 30 peserta.

“Kita menyokong kerajaan negeri untuk sekuriti makanan jadi kita buka kawasan untuk tanaman kontan. Tanaman seperti jagung dan cili memang tak cukup di pasaran jadi kita buka kepada usahawan (mengusahakan tanaman itu) dan kita akan perluaskan lagi,” katanya.

Menurutnya, pihaknya juga bakal mewujudkan Skim Sekuriti Makanan Usahawan Perak SADC membabitkan kerjasama dengan usahawan terpilih.

Katanya, melalui skim ini, pembiayaan projek disalurkan sepenuhnya oleh Perak SADC, manakala pertanian dijalankan oleh usahawan berkenaan membabitkan tanaman sayuran di kawasan seluas empat hektar.

“Untuk permulaan, Perak SADC menyalurkan peruntukan RM300,000 untuk pembangunan projek melalui skim ini khususnya di Ladang Integrasi Lambor dan sekiranya berjaya, ia akan diaplikasikan di ladang lain.

“Selain itu, dalam mendepani isu sekuriti makanan, Perak SADC juga melaksanakan kerjasama dengan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) sejak 2019 melalui kewujudan Program Latihan Kemahiran Kerjaya (PLKK),” katanya.

Sementara itu, Razman berkata, inisiatif itu juga dapat membuktikan penanaman tanaman kontan, nanas dan kenaf dapat diusahakan berhampiran di kawasan tanaman sawit, sekali gus dapat menyumbang pendapatan tambahan.

“Usaha ini membuktikan tanaman tidak terencat, kelapa sawit boleh terus mengeluarkan hasil dalam tempohnya dan pada masa kenaf (dan tanaman lain) juga boleh mengeluarkan hasil,” katanya.

Kredit foto: Twitter