CYBERJAYA : Di sebalik spekulasi mengenai kemungkinan rombakan kabinet yang sedang hangat diperkatakan, bekas menteri Khairy Jamaluddin menolak dakwaan bahawa beliau mungkin akan kembali menyertai barisan jemaah menteri.
Bekas ahli parlimen Rembau itu menyatakan bahawa keutamaan beliau ketika ini adalah terhadap pelbagai projek dan komitmen peribadi yang sedang dijalankan. Khairy menegaskan beliau belum merancang untuk kembali ke arena politik sekurang-kurangnya dalam masa terdekat.
“Saya cuma boleh cakap, ketika ini saya ada banyak projek yang belum selesai dan perlu diuruskan.
Saya juga agak gembira dengan apa yang dilakukan ketika ini, jadi sekurang-kurangnya sehingga hujung tahun ini, tak terfikir untuk kembali ke dunia politik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menjadi panel dalam forum kesihatan The Healthcare Forum 2.0: Counting The Cost of Care: Can Malaysia Make Healthcare Affordable Again? yang berlangsung di Auditorium, Kompleks Pengurusan Penyelidikan & Inovasi, Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur.
Desas-desus mengenai kemungkinan pelantikan semula Khairy ke dalam kabinet timbul selepas laporan mendakwa dua menteri – Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dan Menteri Sumber Asli serta Kelestarian Alam Sekitar Nik Nazmi Nik Ahmad – bakal berundur daripada jawatan mereka.
Namun begitu, Khairy kekal dengan pendiriannya, menyatakan bahawa beban tugas sedia ada menyukarkannya untuk kembali ke pentas politik buat masa ini.
“Komitmen-komitmen itu memerlukan masa dan perhatian saya. Sekurang-kurangnya sehingga hujung tahun ini, saya akan sibuk. Selepas itu, kita boleh bincang.
Kita tengok nanti macam mana. Buat masa ini saya memang sibuk,” ujarnya.
Sejak pemecatannya daripada Umno pada Januari 2023 atas alasan pelanggaran disiplin parti, nama Khairy kembali disebut-sebut dalam perbincangan politik, khususnya dalam kalangan ahli parti itu sendiri. Ketua Pemuda Umno Johor, Noor Azleen Ambros, sebelum ini mengakui wujudnya perbincangan tidak rasmi mengenai kemungkinan Khairy menyertai semula kerajaan.
Menurut Noor Azleen, kemunculan semula Khairy dalam pentas pentadbiran kerajaan boleh memberi suntikan baharu kepada imej pentadbiran yang semakin terjejas, terutamanya selepas keputusan pemilihan PKR baru-baru ini.
Namun, halangan utama yang membayangi laluan politik Khairy ialah kedudukan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, yang juga merupakan timbalan perdana menteri pada masa ini. Zahid sebelum ini terlibat secara langsung dalam pemecatan Khairy sebagai sebahagian daripada “pembersihan” dalam parti.
Untuk rekod, Khairy pernah menyandang beberapa portfolio penting seperti Menteri Kesihatan, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, serta Menteri Belia dan Sukan. Namun pada PRU ke-15, percubaannya untuk menawan kerusi Parlimen Sungai Buloh tidak berjaya, selepas ditewaskan oleh calon PKR, R Ramanan.