KUALA LUMPUR,— Biro Politik UMNO dijangka bermesyuarat petang ini ketika kemelut politik Negeri Sembilan memasuki fasa baharu susulan tindakan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional menarik sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Difahamkan, semua ADUN BN Negeri Sembilan telah diminta berkumpul di Kuala Lumpur bagi mengikuti perkembangan lanjut berhubung kedudukan politik negeri itu.
Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, juga difahamkan dipanggil menghadiri pertemuan tersebut.
Mesyuarat itu dijangka turut membincangkan perkembangan terbaharu selepas pertemuan melibatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; dan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, semalam.
Pertemuan tiga pemimpin utama kerajaan perpaduan itu dipercayai menyentuh usaha mencari penyelesaian terhadap krisis politik Negeri Sembilan, termasuk kedudukan Aminuddin dan masa depan kerjasama Pakatan Harapan-Barisan Nasional di negeri berkenaan.
Sebelum ini, SuaraTV melaporkan Jalaluddin telah memperoleh sokongan 19 ADUN untuk dinamakan sebagai calon Menteri Besar baharu, membabitkan 14 ADUN BN dan lima ADUN Perikatan Nasional.
Laporan SuaraTV juga menyebut surat rasmi bagi memohon perkenan menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan telah dikemukakan semalam bagi mempersembahkan kedudukan sebenar sokongan majoriti dalam Dewan Undangan Negeri.
“Setakat ini sokongan 19 ADUN masih kekal. Hanya menunggu perkenan menghadap,” kata sumber seperti dilaporkan SuaraTV.
Dengan sokongan 19 daripada 36 ADUN, blok berkenaan mendakwa mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri baharu, berbanding Pakatan Harapan yang memiliki 17 kerusi.
Bagaimanapun, sebarang perubahan pentadbiran negeri masih tertakluk kepada proses perlembagaan negeri dan perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Terdahulu, Jalaluddin mengumumkan 14 ADUN UMNO-BN Negeri Sembilan sebulat suara hilang kepercayaan terhadap Aminuddin dan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinannya. SuaraTV turut melaporkan BN Negeri Sembilan menyatakan sokongan kepada institusi adat negeri susulan krisis adat dan perlembagaan yang sedang berlaku.
Perkembangan petang ini dijangka menjadi penentu sama ada UMNO pusat akan memberikan mandat penuh kepada langkah BN Negeri Sembilan atau memilih jalan rundingan bagi mengekalkan formula kerjasama PH-BN di negeri itu.



