KUALA LUMPUR – Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail turut menggesa pihak Zoo Taiping & Night Safari untuk segera mengambil tindakan membawa pulang Dara, Amoi dan Kelat ke Malaysia dan seterusnya ditempatkan di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Temerloh yang lebih sesuai dengan habitat dan keperluan semula jadi mereka.
Menurut Wan Rosdy, Kuala Gandah mempunyai kepakaran serta persekitaran yang lebih kondusif untuk pemuliharaan dan penjagaan gajah, khususnya dari segi interaksi sosial, ruang pergerakan dan kesejahteraan psikologi haiwan.
Beliau mengingatkan bahawa kita bertanggungjawab memastikan setiap khazanah negara dipelihara dengan sebaiknya dan dalam isu ini, tempat paling wajar bagi mereka adalah kembali ke bumi sendiri.
“Saya mengambil maklum dan mengikuti perkembangan melibatkan tiga ekor gajah Malaysia iaitu Dara, Amoi dan Kelat (DAK) yang kini ditempatkan di Tennoji Zoo, Osaka, Jepun.
“Berdasarkan gesaan Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam serta pelbagai pihak termasuk NGO dan rakyat Malaysia tentang keadaan mamalia itu di sana.
“Saya berpandangan perkara ini tidak boleh dipandang ringan kerana gajah-gajah itu merupakan sebahagian daripada khazanah biodiversiti negara,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.



