Sumber bekalan air masih terkawal, paras air empangan utama memuaskan – SPAN

- Advertisement -

CYBERJAYA – Berdasarkan pemantauan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) terhadap sumber bekalan air mentah di 47 empangan yang khusus bagi tujuan bekalan air dan 67 Loji Rawatan Air (LRA) utama di seluruh negeri di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan, mendapati sumber bekalan air dan perkhidmatan masih berada dalam keadaan terkawal.

“Paras empangan utama di negeri Perak, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang dan kebanyakan empangan di Johor berada pada paras memuaskan iaitu melebihi 80%.

“Namun, beberapa empangan bekalan air di Utara telah menunjukkan trend penurunan paras simpanan dan berada di paras berjaga-jaga dan buat waktu ini, paras empangan untuk bekalan air belum mencapai paras kritikal,” kata kenyataan SPAN hari ini.

Menurut SPAN, bagi perkhidmatan bekalan air di Wilayah Tengah (Selangor, WP Kuala Lumpur dan WP Putrajaya), keseluruhan tujuh (7) empangan dan tiga (3) sungai utama di Selangor merekodkan paras empangan atau sungai pada paras maksimum.

“Ini membolehkan kesemua 34 LRA beroperasi pada kapasiti normal,” katanya.

Sementara itu bagi operasi di Wilayah Timur (Terengganu, Kelantan dan Pahang), sebahagian besar empangan atau sungai berada pada paras yang stabil dan kesemua LRA beroperasi pada kapasiti normal kecuali LRA Kelar di Kelantan yang merekodkan penurunan disebabkan penyusutan sumber air mentah.

“Terdapat beberapa kawasan di Kelantan turut mengalami tekanan air rendah disebabkan kemerosotan sumber bekalan air mentah khususnya bagi punca air melalui sumber bawah tanah,” kata kenyataan itu lagi.

Manakala di Wilayah Selatan (Johor, Negeri Sembilan dan Melaka), hanya Empangan Sembrong Barat (paras empangan semasa – 31.37%) di Johor berada pada paras berjaga-jaga, namun keadaan ini tidak menjejaskan pengeluaran air terawat di LRA Sembrong Barat.

“Situasi semasa bekalan air di WP Labuan pula, Empangan Sungai Pagar telah mengalami penyusutan dan langkah mitigasi telah diambil oleh pihak operator termasuk menempatkan tangki statik dilokasi strategik serta bantuan penghantaran bekalan air melalui lori tangki mengikut keperluan dan pada masa ini LRA Sg Pagar masih beroperasi dengan pengeluaran sercara normal.

“SPAN menjangkakan bahawa permintaan bekalan air akan bertambah di antara 10% ke 15% daripada pengeluaran semasa menjelang musim perayaan khususnya di negeri-negeri Wilayah Utara, Timur dan Selatan kecuali bandar-bandar utama seperti Lembah Klang, Georgetown dan Johor Bahru yang dijangka akan menurun.

“Secara keseluruhannya, bekalan air masih terkawal di kebanyakan negeri. Walaupun begitu, SPAN tidak menolak sebarang potensi gangguan sekiranya trend penurunan direkodkan secara berterusan untuk minggu-minggu mendatang,” katanya.

Pengguna diminta menghubungi pusat khidmat pelanggan operator perkhidmatan air di negeri masing-masing untuk sebarang kemaskini dan maklum balas. Sebarang maklum balas boleh turut disalurkan kepada SPAN melalui sistem e-aduan di laman sesawang SPAN, emel ke [email protected] atau WhatsApp ke nombor 0133885000.

“Para pengguna juga dinasihatkan agar terus menggunakan air secara berhemat bagi mengelakkan pembaziran dan secara tidak langsung dapat menjamin bekalan yang berterusan di premis kediaman masing-masing,” katanya lagi.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat