NADMA laksana Ops Pembenihan Awan di Papar, Lahad Datu & Tawau

- Advertisement -

Oleh: Zihan Zari

KUALA LUMPUR – Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah melaksanakan Operasi Pembenihan Awan (OPA) pada Khamis di Sabah melibatkan kawasan Papar, Lahad Datu dan Tawau yang terjejas teruk di landa kemarau akibat cuaca panas dan kering.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh NADMA , operasi ini dijalankan selama tiga hari mulai 28 hingga 30 Mac ini oleh Jabatan Meterologi Malaysia (MetMalaysia), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Bahagian Bekalan Air Labuan.

Ketua Pengarahnya , Datuk Khairul Shahril Idrus, berkata pihaknya telah menerima permohonan daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sabah bagi melaksanakan OPA.

Menurut Khairul Shahril, pesawat C-130 Hercules milik TUDM berlepas dari Pangkalan Udara TUDM Labuan dengan membawa bekalan empat tangki air yang mengandungi campuran 800 kilogram garam dan 6,000 liter air yang disediakan oleh pihak MetMalaysia.

“Pelaksanaan OPA ini dibuat bagi mendapatkan sumber air yang mencukupi di kawasan tadahan hujan sepanjang tempoh negara berhadapan dengan cuaca panas.

Kemarau yang berlarutan sejak Februari lalu menyebabkan seramai 58,080 ketua isi rumah (KIR) dari 355 kampung di 12 daerah di Sabah berdepan dan terjejas dengan masalah kekurangan bekalan air,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya telah memperuntukkan sebanyak RM7.5 juta bagi menampung kos penghantaran bekalan air.

“Kerajaan negeri yang memerlukan bantuan bagi menjalankan OPA agar mengemukakan cadangan kepada pihak NADMA untuk dibuat penilaian.

Kesesuaian lokasi dan ramalan keadaan atmosfera di kawasan cadangan perlu dikaji terlebih dahulu oleh MetMalaysia bagi menjamin kejayaan OPA,” katanya lagi.

Menurutnya, kejayaan OPA bergantung kepada keadaan atmosfera yang sesuai seperti kelembapan yang tinggi, kehadiran awan kumulus dan kelajuan angin yang lemah, membolehkan penghasilan hujan yang tepat di kawasan sasaran.

Menurutnya lagi, impak cuaca panas dan kering semasa peralihan Monsun Timur Laut turut melibatkan beberapa kawasan di Sabah.

Sehingga 26 Mac sebanyak 1,392 kes kebakaran hutan dan belukar dilaporkan di seluruh negara menyebabkan kemusnahan kawasan seluas kira-kira 3,800 hektar, termasuk 3.4 hektar di tapak pelupusan sampah Kayu Madang, Telipok.

“Semoga OPA yang dilaksanakan ini boleh membantu dalam meningkatkan kapasiti air di kawasan tadahan hujan dan seterusnya menjamin bekalan air dapat disalurkan kepada pengguna tanpa sebarang gangguan,” tambahnya.

Ujarnya, selaku agensi peneraju pengurusan bencana negara, pihaknya mengingatkan orang ramai agar mengelakkan daripada melakukan sebarang aktiviti pembakaran terbuka terutama di tanah gambut untuk menghindari pencemaran udara (jerebu).

Golongan yang berisiko terkena strok haba dinasihatkan untuk mengurangkan aktiviti di luar rumah, minum air secukupnya dan mengambil langkah-langkah pencegahan yang perlu serta mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

“Sentiasa peka dengan amaran bencana agar sentiasa bersiapsiaga dan pastikan anda merujuk maklumat terkini dari sumber yang sahih serta cakna dengan maklumat yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” ujarnya lagi.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat berkaitan cuaca yang terkini dan sahih dari METMalaysia bolehlah memuat turun aplikasi myCuaca di Google Play dan App Store. – Suara.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat