KUALA LUMPUR: Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail meminta rakyat di negeri itu bertenang susulan insiden sebuah kedai serbaneka KK Mart Cawangan Sungai Isap, Kuantan yang dilempar molotov cocktail awal pagi semalam.
Katanya, serahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan lanjut mengenai insiden tersebut.
Menurut Wan Rosdy, beliau tidak menolak kemungkinan kejadian tersebut berunsur khianat atau provokasi.
“Saya mengambil maklum mengenai satu insiden sebuah kedai serbaneka KK Mart Cawangan Sungai Isap, Kuantan yang dilempar molotov cocktail kira-kira pada jam 5.14 pagi tadi.
”Saya juga tidak menolak kemungkinan kejadian yang berlaku awal pagi tadi berunsur khianat atau provokasi yang bertujuan mencetuskan ketidakselesaan di kalangan masyarakat.
”Saya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menyiasat dan mengambil tindakan yang sewajarnya ke atas insiden tersebut,” katanya menerusi kenyataan Facebooknya pada Sabtu.
Dalam pada itu, beliau berharap rakyat di negeri ini bertenang dan memberi keyakinan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk membuat tindakan susulan berhubung insiden ini.
”Saya juga mengingatkan agar mana-mana pihak tidak mengambil tindakan di luar batas undang-undang terutamanya berhubung isu penjualan stoking yang tertera kalimah Allah seperti yang berlaku di KK Mart Bandar Sunway, Petaling Jaya beberapa minggu lalu.
”Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, telah menzahirkan kemurkaan serta menitahkan tindakan sekeras-kerasnya diambil terhadap mana-mana pihak yang terbukti bersalah,” ujarnya.
Terdahulu, Sebuah kedai serbaneka, KK Super Mart cawangan Sungai Isap, di Kuantan dilaporkan hampir musnah dipercayai dilempar bom petrol kira-kira pukul 5 pagi semalam.
Kejadian tersebut menyebabkan bahagian hadapan kedai berkenaan terbakar termasuk beberapa rak barangan runcit yang diletakkan di situ.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu dalam kenyataannya berkata kejadian dipercayai berpunca daripada isu penjualan stoking tertera kalimah Allah yang terkait dengan pasaraya KK Mart yang mendorong suspek melakukan perbuatan khianat tersebut.
Tambah Wan Mohd Zahari, polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan suspek dan termasuk meneliti rakaman daripada kamera litar tertutup (CCTV) premis berkenaan.
“Difahamkan tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dan ekoran kejadian, Kedai Serbaneka KK Mart berkenaan mengalami kerugian dianggarkan sekitar RM500.
”Kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan,”katanya.