Sultan Selangor murka dengan Haji Hadi

- Advertisement -

KLANG: DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan YB Tan Sri Dato’ Seri Abdul Hadi Awang pada 20 Februari 2024 yang bertajuk “Ketinggian Islam Wajib Dipertahankan” yang ditujukan kepada alim ulama, para peguam, hakim-hakim, ahli-ahli parlimen dan Dewan Undangan Negeri serta Raja-Raja Melayu.

Dalam satu hantaran di Facebook Selangor Royal Office, pejabat baginda memaklumkan susulan itu, sepucuk surat kepada Hj Hadi telah diutuskan melalui Pesuruhjaya PAS Selangor, Ab Halim Tamuri.

Antara intipati surat berkenaan, Baginda menyifatkan Tan Sri Hadi tidak membaca secara menyeluruh dan mendalam titah ucapan Baginda semasa mesyuarat MKI pada 15 Februari 2024.

“Kenyataan sinis Tan Sri Hadi itu secara tidak langsung mengaitkan titah ucapan Baginda dengan sikap Raja-raja yang perlu berwawasan kepada kehidupan akhirat dan tidak mengejar kepentingan dunia semata-mata adalah satu kenyataan yang amat tidak bersesuaian serta tidak beradab dari sudut budaya orang Melayu yang sentiasa menghormati dan memelihara adab ketika menyuarakan pandangan dan nasihat kepada Raja-Raja Melayu.

“Kenyataan Tan Sri Hadi bukan sahaja mengelirukan malah boleh membawa kegelisahan yang akhirnya boleh menjurus kepada perpecahan kepada perpaduan umat Islam khususnya di kalangan orang Melayu di negara ini.

“Sekiranya Tan Sri Hadi lebih berhati-hati sebelum membuat sebarang kenyataan dengan meneliti dan memperhalusi titah ucapan Baginda, Tan Sri Hadi akan dapat memahami maksud sebenar Baginda, titah Sultan Selangor, pada Khamis.

Terdahulu, Hj Hadi dalam hantarannya yang bertajuk “Ketinggian Islam wajib dipertahankan” mengingatkan bahawa Islam adalah keutamaan dan memberi peringatan kepada semua supaya mereka menjaga akidah masing-masing.

“Kita menerima Perlembagaan Persekutuan yang telah digubal oleh penjajah yang merancang kemerdekaan yang menipu umat Islam, dengan tujuan tidak mahu sekali-kali memberikan kuasa kepada Islam. Walaupun negara kita dikatakan sudah merdeka dan penjajah asing pula sudah pulang ke negara asal mereka, mereka meninggalkan warisan yang masih menjajah kita melalui perlembagaan yang dicipta oleh Suruhanjaya Reid tanpa melibatkan ahli undang-undang kita seorang pun.

“Suruhanjaya Reid dipengerusikan oleh Lord William Reid (Hakim Mahkamah Rayuan England) dan dianggotai oleh Sir Ivor Jennings, Sir William McKell (bekas Gabenor Jeneral Australia), Tuan B. S. Malik (Ketua Hakim Mahkamah Tinggi India), dan Tuan Abdul Hamid (Hakim Mahkamah Pakistan).

“Terlalu banyak bom jangka yang dipasang sehingga ia boleh meletup, yang bertujuan menghancurkan agama, bangsa, bahasa, dan tanah air,” kata Presiden PAS itu.

Dalam pada itu, soal Sultan Selangor, kenapa sekarang Hj Hadi mempertikaikan kedudukan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang utama negara sedangkan agama Islam telah ditetapkan sebagai agama Persekutuan semenjak Perlembagaan digubal pada tahun 1957 lagi.

Baginda menasihatkan Tan Sri Hadi supaya beliau lebih berhati-hati di masa hadapan agar tidak mengulangi perbuatan menghina Raja-Raja Melayu melalui kenyataan-kenyataan beliau yang boleh memecah-belahkan umat Islam di negara ini.

Baginda juga menitahkan agar ahli-ahli politik dan pemimpin politik tidak memperalatkan agama Islam dan mencemari kesucian agama Islam demi kepentingan politik kepartian masing-masing.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat