Kuala Lumpur — Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) memberi komitmen untuk bekerjasama sepenuhnya dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan penahanan seorang pegawai kanan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi membantu siasatan berkaitan isu pengurusan sisa elektronik (e-waste).
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata kementerian mengambil maklum laporan berhubung penahanan tersebut dan menegaskan NRES akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi memastikan siasatan dijalankan secara telus dan terperinci.
“NRES memberikan komitmen dan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM dalam menjalankan siasatan secara telus dan terperinci,” katanya dalam kenyataan.
Arthur menegaskan kementerian tidak akan bertoleransi terhadap sebarang bentuk salah guna kuasa, penyelewengan atau amalan rasuah yang melibatkan mana-mana kakitangan di bawah kementerian itu.
“Kementerian sama sekali tidak akan bertoleransi terhadap sebarang bentuk salah guna kuasa, penyelewengan, atau amalan rasuah. Integriti adalah teras utama dalam memelihara kelestarian alam sekitar negara,” katanya.
Beliau turut memaklumkan Ketua Setiausaha kementerian telah diarahkan untuk memastikan segala fungsi dan operasi harian JAS berjalan seperti biasa tanpa sebarang gangguan, bagi memastikan perkhidmatan kepada rakyat serta pemantauan alam sekitar kekal diutamakan.
Selain itu, Arthur meminta semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan pihak berkuasa.
“Semua pihak diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan. NRES akan terus memantau perkembangan kes ini dan akan mengambil tindakan susulan di peringkat dalaman selaras dengan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) sekiranya perlu,” katanya.
Kes berkenaan kini masih dalam siasatan SPRM.



