KUALA LUMPUR: Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran MCA berlangsung meriah hari ini di Wisma MCA, Jalan Ampang, dengan kehadiran Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menggayakan baju batik, Ahmad Zahid tiba pada jam 9.30 pagi dan disambut mesra oleh Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong. Sejurus tiba, beliau bersama barisan kepimpinan MCA mengambil bahagian dalam tradisi menggaul ‘yee sang’, simbol kemakmuran dan keberkatan dalam budaya Cina.
Majlis bertambah meriah dengan persembahan muzik serta tarian kebudayaan, termasuk tarian singa yang diiringi paluan gendang dan bunyi mercun, menghidupkan suasana perayaan.
Antara tetamu kehormat yang hadir termasuk Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan; Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan; serta bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang duduk semeja dengan Ahmad Zahid dan Wee Ka Siong.
Turut hadir ialah Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan; serta Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing.
Seawal jam 8 pagi, orang ramai sudah mula memenuhi perkarangan Wisma MCA untuk menyertai sambutan ini. Para tetamu turut menikmati pelbagai juadah tradisional seperti mihun goreng, rendang, teh Cina, aneka kuih, serta limau mandarin, melambangkan kemesraan dan kehangatan perayaan.
Sambutan Tahun Baharu Cina bukan sekadar menandakan lembaran baharu bagi masyarakat Cina, tetapi juga menjadi platform untuk memperkukuh keharmonian dan perpaduan dalam masyarakat majmuk Malaysia.