KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa beliau menghormati usia Tun Dr Mahathir Mohamad, namun tidak sependapat dengan pandangan bekas Perdana Menteri itu mengenai UMNO dalam Kerajaan Perpaduan.
Mengulas kenyataan Dr Mahathir yang menyamakan pemimpin UMNO dengan lalat dalam kerajaan, Zahid, yang juga Presiden UMNO, memberi respon ringkas tetapi tajam.
“Saya fikir kita hormatilah… umurnya, tapi saya tidak hormati pendapatnya,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina anjuran MCA di Wisma MCA, Jalan Ampang, hari ini.
Sebelum ini, Dr Mahathir mendakwa kepimpinan UMNO hanya berperanan kecil dalam Kerajaan Perpaduan dan tidak mempunyai kuasa besar, malah menyamakan mereka dengan lalat. Dakwaan itu merujuk kepada kenyataan Naib Presiden DAP, Nga Kor Ming, yang membandingkan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, dengan seekor singa dan lalat.
Reaksi Zahid menunjukkan bahawa hubungan antara kedua-dua tokoh politik veteran ini kekal tegang, terutama dalam landskap politik semasa yang penuh cabaran.