Tiga hari cuti umum, RM100 juta mengalir ke Thailand

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Dianggarkan sejumlah RM100 juta mengalir keluar dalam tempoh tiga hari sempena cuti hujung minggu atau cuti persekolahan di Thailand berikutan fenomena rakyat Malaysia bercuti ke negara Gajah Putih itu khususnya Hatyai.

Jumlah tersebut hanya mengambil kira jika seorang pengunjung atau keluarga berbelanja minimum RM1,000 melibatkan 100,000 pengunjung.

Malaysia dilihat gagal mengambil kesempatan tersebut meskipun mempunyai banyak lokasi menarik pelancongan apabila didakwa pelancong dari negara jiran tidak menjadikan negara ini sebagai destinasi utama pilihan berikutan masalah birokrasi, lapor Utusan di Kangar pada Khamis.

Sebagai rekod, dari awal tahun ini sehingga Oktober lalu, seramai tiga juta pelancong Malaysia memasuki Thailand khususnya berkunjung ke Hatyai. Dalam tempoh sama, pelancong Thailand yang direkodkan memasuki Malaysia pula adalah kira-kira 700,000 orang iaitu perbezaan yang cukup ketara.

Malah, pada cuti hujung minggu dalam tempoh empat hari dari 15 sehingga 18 Disember lalu sahaja sebanyak 15,397 rakyat Malaysia yang memasuki Thailand menerusi sempadan negeri ini.

Manakala di Kedah pula, lebih 80,000 pelancong direkodkan memasuki Thailand melalui dua pintu sempadan negeri itu.

Fenomena ‘Hatyai’ itu juga dilihat masih berterusan sempena cuti perayaan Krismas baru-baru ini apabila lokasi pelancongan popular tersebut terus dipenuhi pengunjung dari negara ini.

Bercakap kepada akhabr itu, Pengerusi Jawatankuasa Hubungan dan Kerjasama Sempadan negeri, Izizam Ibrahim berkata, beliau mengakui terdapat sedikit birokrasi dan pihaknya akan meneliti rungutan tersebut bagi menarik pelancong Thailand ke negara ini.

Bagaimanapun katanya, proses dokumentasi rakyat Malaysia memasuki negara jiran tersebut juga sebenarnya lebih kurang sama namun pengunjung tetap ramai ke sana.

“Memang ada perbincangan dengan negara jiran dan mendengar rungutan seperti bas pelancongan dari negara jiran memasuki Malaysia susah dan sebagainya berikutan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan.

“Hal demikian juga kerana ramai juga rakyat Thailand memasuki Malaysia untuk tujuan kerja dan sebagainya, sekali gus sukar membezakan antara pelancong dan pekerja.

“Sebenar kalau dilihat sama sahaja, kita perlu isi borang, ambil insurans, pengisytiharan membawa masuk kenderaan. Sama sahaja rakyat Thailand memasuki Malaysia,” katanya.

Tambah Izizam, bagaimanapun, pihaknya akan melihat semua rungutan tersebut bagi menarik minat pelancong Thailand mengunjungi Malaysia sekali gus menambah pendapatan kepada negara sebagaimana rakyat Malaysia berbelanja di negara jiran berkenaan.

Katanya, Malaysia termasuk di Perlis khususnya juga sebenarnya mempunyai banyak lokasi pelancongan menarik yang menjadi tumpuan.

“Kehadiran ramai pengunjung Malaysia ke Thailand dilihat lebih kepada tarikan di sana selain layanan yang mesra terhadap pelancong dari negara ini,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat