Pilihan raya PBT mungkin 10 tahun lagi – Kor Ming

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Pilihan Raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkemungkinan boleh diadakan selepas tempoh 10 tahun lagi.

Ini apabila Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) berjaya menyiapkan lebih 50,000 projek kemudahan awam.

Menterinya, Nga Kor Ming, menyifatkan setiap perkara ada masa yang tepat untuk melaksanakannya dan Pilihan Raya PBT bukan keutamaan pihaknya ketika ini.

Negara kita baru pulih daripada pergolakan politik, waktu kini adalah untuk redakan suhu politik dan fokus kepada kerja yang boleh bawa manfaat kepada rakyat.

“Setiap perkara akan berlaku pada masa yang betul (tepat), perkara seperti pilihan raya PBT yang sudah ditangguhkan sejak 1963 ini, pada ketika ini bukan keutamaan KPKT.

“Bagi saya 10 tahun, lepas saya siapkan 50,000 projek kemudahan awam, mungkin itulah masanya (laksanakan Pilihan Raya PBT),” katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan di Pasar Bazar Rakyat, Seri Kembangan hari ini, lapor BH.

Sebelum ini, Pengerusi DAP Kuala Lumpur, Tan Kok Wai, dilaporkan menggesa kerajaan memulakan pilihan raya PBT di ibu negara terlebih dahulu bagi menyemarakkan demokrasi di Wilayah Persekutuan.
Kok Wai berkata, pengenalan pilihan raya PBT di Kuala Lumpur bertujuan untuk kelestarian dan memberi pilihan kepada penduduknya memilih ahli majlis tempatan.

Kor Ming selaku Naib Pengerusi DAP Kebangsaan yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan, menambah jawapannya tetap konsisten jika ditanya mengenai pilihan raya berkenaan bahawa ia bukan satu keutamaan buat masa ini.

“Jawapan saya sentiasa konsisten, keutamaan KPKT pada waktu ini adalah untuk memberi fokus kepada tujuh bidang yang saya umumkan pada hari pertama diberikan amanah dan tanggungjawab sebagai menteri di kementerian ini,” katanya.

Ketika ditanya sama ada menemui Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha Mustafa untuk perbincangan berkaitan isu berkenaan, Kor Ming berkata beliau sering menemui rakannya itu.

“Saya sentiasa berinteraksi dengan YB Zaliha dan kita sentiasa bekerja sebagai satu pasukan. Maka jawapan saya dan dia adalah konsisten.

“Keutamaan kita adalah pastikan tujuh bidang fokus KPKT dilaksanakan. Baru setahun (menjadi kerajaan) ini adalah masa untuk kita tunjukkan permulaan kejayaan,” katanya.

Tujuh bidang yang akan diberikan keutamaan adalah membabitkan aspek pembangunan dan langkah memperkasa peranan kerajaan tempatan, membangun potensi PBT bagi menjana sumber pendapatan tambahan negara dan perancangan perumahan lebih komprehensif dan berdaya saing.

Selain itu, kementerian berkenaan juga memfokuskan pemerkasaan komuniti tanpa mengira kaum, pengurusan sisa pepejal bersepadu lebih efektif dan efisien bagi menghasilkan pelaksanaan ke arah ekonomi kitaran.

Turut difokuskan ialah memperkukuh agenda bandar mampan dan pintar ke arah perbandaran baharu dan memperkukuh kesiapsagaan kebombaan dan penyelamat yang sejahtera.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat