Isteri Tun Daim dapat semula pasport secara kekal

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Balu bekas Menteri Kewangan Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid berjaya mendapatkan semula pasport antarabangsanya secara kekal yang sebelum ini ditahan mahkamah.

Ia susulan keputusan Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini yang mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Mac lalu untuk menolak permohonannya bagi mendapatkan semula dokumen perjalanan itu.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Azizah Nawawi memutuskan bahawa tiada bukti untuk mewajarkan syarat tambahan yang dikenakan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur itu.

“Tiada bukti sokongan mengapa syarat tambahan ini diperlukan, kami berpendapat bahawa hakim Mahkamah Sesyen terkhilaf di mana beliau membuat perintah untuk menyerahkan pasport kepada mahkamah yang tiada alasan sah dan munasabah.

“Oleh itu, keputusan Mahkamah Sesyen menetapkan syarat tambahan untuk menyerahkan pasport diketepikan,” katanya yang bersidang dengan Hakim Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azmi Ariffin, lapor BH di Putrajaya.

Na’imah diwakili peguam Datuk Prof Gurdial Singh Nijar manakala Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin hadir untuk pendakwaan.

Na’imah yang turut hadir semasa prosiding tidak dapat menahan sebak dan memeluk anaknya sebaik prosiding selesai.

Pada 23 Januari lalu, Na’imah, 66, menyerahkan pasportnya di Mahkamah Sesyen sebagai sebahagian daripada syarat jaminan apabila dia didakwa gagal mengisytiharkan hartanya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pada 22 Mac, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Ahmad Bache menolak permohonan Na’imah untuk menuntut semula pasportnya secara kekal dengan menyatakan bahawa tiada ketidakadilan dalam keputusan Mahkamah Sesyen untuk merampas dokumen itu sebagai jaminan tambahan.

Mengikut pertuduhan, Na’imah gagal mematuhi notis SPRM untuk mengisytiharkan hartanya termasuk syarikat, kenderaan mewah dan hartanah.

Antara aset itu ialah Menara Ilham, sebuah kediaman di Bukit Tunku, empat bidang tanah dan bangunan pegangan bebas berhampiran Bukit Tunku, sebuah Mercedes Benz EQC400 dan sebuah Mercedes Benz 500SL.

Kesalahan itu di bawah Seksyen 36(2) Akta SPRM yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda RM100,000 jika sabit kesalahan.

SPRM berkata ia dilakukan untuk memastikan nilai beberapa aset bernilai tinggi di dalam dan luar negara yang dipegang di bawah syarikat milik keluarga berkenaan berhubung siasatan ke atas Daim.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat