KUALA LUMPUR – Datuk Seri Rafizi Ramli saman yang dikemukakan bekas Setiausaha Politik Datuk Seri Anwar Ibrahim Datuk Seri Farhash Wafa Salvador terhadapnya adalah kes mahkamah beliau yang ke-17 sepanjang kerjayanya sebagai ahli politik.
Akui saman itu bakal menambah beban kerana membayar kos guaman dan menghabiskan masa menyediakan hujahan kes bahkan perbicaraan juga memakan masa yang panjang.
“Tapi yang baiknya, kita boleh membentangkan hujah kita di sisi undang-undang dan menggunakan proses undang-undang untuk mendapatkan maklumat, serta memanggil saksi-saksi.
“Kalau saksi yang perlu dipanggil itu menteri atau Perdana Menteri, kita buat permohonan dengan mahkamah untuk memanggil saksi-saksi itu.Yang lain, kita serah kepada Allah,” kata Ahli Parlimen Pandan itu.
Bekas Menteri Ekonomi itu berkata demikian merujuk laporan akhbar The Edge melaporkan bahawa Farhash Wafa Salvador telah memfailkan saman terhadap beliau di mahkamah.
Katanya, ia berkaitan dua video Rafizi yang dituduhnya telah menjatuhkan reputasinya sebagai ahli perniagaan.
“Saya dan peguam saya belum mendapat serahan saman ini, malah kami hanya mengetahuinya dari laporan berita. Selalunya tindakan saman ini diserahkan dan dimaklumkan kepada yang kena saman. Oleh itu, peguam saya akan berurusan dan menunggu serahan saman ini.
“Ini adalah kes mahkamah saya yang ke-17 sepanjang kerjaya saya sebagai ahli politik. Bila kena saman, sudah tentu ia menambah beban kerana kita kena membayar kos guaman dan menghabiskan masa menyediakan hujahan kes. Perbicaraan pun memakan masa yang panjang,” katanya.
Semalam, ahli perniagaan Datuk Seri Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak memfailkan saman berjumlah RM10 juta terhadap Ahli Parlimen Pandan Datuk Seri Rafizi Ramli berhubung dua video di media sosial yang didakwa berunsur fitnah.
Saman itu difailkan pada 10 Okt dengan Farhash mendakwa kenyataan dalam video itu telah mencemarkan reputasinya sebagai seorang ahli perniagaan dan menyebabkan orang ramai memandang negatif terhadapnya, lapor The Edge.
Beliau berkata tuduhan itu turut menggugat kepercayaan pelabur terhadap syarikat yang dikaitkan dengannya.
“Pelabur, rakan industri, rakan kongsi dan kenalan saya hilang keyakinan terhadap saya. Ini menjejaskan peluang perniagaan serta pelaburan masa depan,” katanya.
Farhash turut menyatakan beliau terpaksa berulang kali menjelaskan perkara itu bagi membersihkan nama dan reputasinya, selain berdepan rasa malu serta tercalar maruah diri dan profesional akibat kenyataan Rafizi.
Video pertama dipertikaikan dimuat naik Rafizi pada 25 Julai, selepas timbul dakwaan kononnya Farhash terbabit dalam salah laku berkaitan penerokaan mineral di Sabah.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kemudiannya mengisytiharkan Farhash bebas daripada tuduhan terbabit.
Video kedua pula dimuat naik pada 20 Ogos, apabila Rafizi mendakwa serangan jarum suntikan terhadap anaknya berlaku seminggu selepas beliau bertemu pemberi maklumat berkaitan skandal yang didakwa melibatkan Farhash dan syarikatnya.
Farhash sebelum ini menuntut Rafizi membuat permohonan maaf berhubung video kedua, namun Rafizi menyatakan beliau bersedia mempertahankan kenyataannya di mahkamah.
Farhash kini pengerusi eksekutif beberapa syarikat tersenarai awam termasuk Apex Equity Holdings Bhd, Excel Force MSC Bhd dan Key Alliance Group Bhd, selain memegang jawatan pengerusi bukan bebas dan bukan eksekutif di MMAG Holdings Bhd dan 7-Eleven Malaysia Holdings Bhd.
Beliau juga berada dalam lembaga pengarah Berjaya Construction Bhd dan Bukit Kiara Resort Bhd, serta penasihat kepada Yayasan Usahawan Malaysia.



