Kedah sasar seribu anak muda jadi saintis menerusi KYSP – EXCO

Oleh Zihan Zari

ALOR SETAR – Kerajaan Negeri Kedah
mensasarkan sebanyak seribu anak muda
bergelar saintis menerusi Kedah Young Scientist Programme (KYSP) pada tahun depan. Ia merupakan inisiatif pencarian pembangunan pelajar pintar dan berbakat dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Dalam konteks unjuran jangka panjang, kerajaan negeri mahu mengenal pasti lebih ramai anak-anak muda menjadi saintis kerana negara memerlukan 60 peratus (%) dalam bidang STEM dan kita akan melakukan yang terbaik untuk agenda negara, kata EXCO Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi Kedah , Dr Haim Hilman Abdullah.

Beliau bercakap kepada media, selepas menghadiri Majlis Perasmian Karnival Minggu Sains Negara (MSN) 2025 Zon Utara di Pusat Sains Negara Cawangan Wilayah Utara (PSNCWU), Gunung Keriang dekat sini, baru-baru ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi (MOSTI), Ruziah Shafei; Pengarah PSN, Mohammad Fuad Rahman; Pengarah Pusat Maklumat Sains & Teknologi Malaysia (MASTIC), Shahrizal Shahrudin; dan Ketua Pegawai Eksekutif Tech Dome Penang, Ts Khoo Boo Wooi.

Terdahulu Dr. Haim Hilman berkata, MSN 2025 merupakan platform penting untuk menyemai minat, mencetus inspirasi, dan menghubungkan generasi muda dengan dunia sains yang luas.

Menurut beliau, Kedah kini giat melaksanakan pelbagai inisiatif berimpak tinggi, bagi memupuk minat pelajar, guru dan masyarakat terhadap STEM.

Usaha ini bukan sahaja bertujuan melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi, tetapi juga membina budaya inovasi yang mampan di peringkat akar umbi.

Menurutnya, dengan sokongan padu daripada kerajaan, industri, akademia, dan komuniti, program ini mampu melahirkan generasi saintis, jurutera, dan inovator yang akan meneruskan legasi kecemerlangan Kedah.

Pendekatan ini mencerminkan ekosistem STEM yang inklusif dan bersepadu, di mana setiap pihak memainkan peranan dalam membentuk masa depan negara yang berasaskan ilmu dan teknologi.

Menurutnya lagi, gagasan ‘The Greater Kedah’ yang diilhamkan oleh Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan Pelan Pembangunan Kedah 2035 (KEDAH2035) untuk menjadikan Kedah maju menjelang 2050, bukan sekadar pelan pembangunan fizikal, malah transformasi menyeluruh yang melibatkan ekonomi, sosial, pendidikan dan teknologi.

“Kedah bukan sahaja terkenal dengan sawah padi yang menghijau malah taman teknologi yang menyinar, kini berada di persimpangan penting transformasi ekonomi iaitu daripada negeri pertanian kepada ekonomi berasaskan pengetahuan dan inovasi.

“Contohnya, Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP), kini menjadi mercu tanda industri berteknologi tinggi di Malaysia yang menempatkan syarikat-syarikat multinasional seperti Intel, Infineon Technologies, First Solar, dan OSRAM, yang menjadikan KHTP sebagai hub pengeluaran dan penyelidikan.

“KHTP telah menarik pelaburan dalam sektor semikonduktor, elektrik dan elektronik, menjadikan Kedah sebagai pemain utama dalam rantaian bekalan global.

“Lebih membanggakan, Kedah Talent Development Centre (KTDC) telah ditubuhkan untuk memadankan keperluan industri dengan bakat tempatan.

“Ini membuktikan bahawa kita bukan sahaja membina kilang, malah membina insan. Kedah telah membuktikan bahawa, negeri yang dahulunya dikenali dengan sektor pertanian, kini mampu bersaing dalam ekonomi berasaskan pengetahuan dan teknologi,”katanya.

“Sains dan teknologi menjadi teras kepada transformasi ini terdiri daripada pengurusan hasil bumi, pembangunan industri, hinggalah kepada pemerkasaan pendidikan dan penyelidikan merangkumi pengurusan hasil bumi seperti pertanian pintar, pemetaan geologi, dan teknologi pemuliharaan sumber.

“Selain itu, pembangunan industri berasaskan automasi, kecerdasan buatan (AI), dan Internet of Things (IoT); dan pemerkasaan pendidikan dan penyelidikan melalui kerjasama dengan universiti, pusat penyelidikan dan institusi TVET.

“Antara program utama yang menjadi tulang belakang kepada gerakan STEM di Kedah termasuk, Kedah Digital Centre (KDC) sebuah pusat latihan digital yang merangkumi kemahiran abad ke-21 seperti pengaturcaraan (coding), robotik, teknologi dron, dan AI.

“Penubuhan Kedah STEM Centre berfungsi sebagai hab koordinasi dan jaringan ekosistem inovasi yang menyatukan sekolah, universiti, dan industri di seluruh negeri, menjadi platform rujukan dan penghubung antara pembelajaran teori dan aplikasi sebenar di lapangan industri, serta memanfaatkan kekuatan ekosistem KHTP sebagai hab teknologi negara, ”katanya lagi.

Terdahulu, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) MOSTI, Ruziah Shafei berkata MSN merupakan program utama di bawah Pelan Tindakan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021–2030, selaras dengan aspirasi Malaysia sebagai negara berteknologi tinggi menjelang 2030.

Beliau berkata penganjuran MSN tahun ini merupakan tahun yang ke-8 sejak dilancarkan pada 2018. Usaha ini adalah komitmen MOSTI dalam membudayakan STI dalam kehidupan rakyat Malaysia secara konsisten dan berterusan.

Menurut beliau, karnival ini merupakan salah satu kaedah pelaksanaan Program MSN 2025 selain daripada MSN Kembara dan MSNTaja.

Ujarnya, inisiatif pembudayaan STI yang sedang dilaksanakan oleh MOSTI adalah program pertandingan teknologi melalui Program Malaysia Techlympics 2025 serta program hands-on bersama saintis tempatan di lapangan di bawah inisiatif STEM Camp dan STI 100 kuasa.

Menurutnya lagi, sehingga kini Karnival MSN 2025 telah diadakan di empat zon bermula di Sarawak (Mei), diikuti oleh Zon Timur (Jun) , Sabah (Julai) dan Selatan (September) yang membawakan konsep bermain sambil belajar dalam seisi keluarga telah memberi manfaat kepada lebih 30 ribu orang awam.

“Melalui MSN Kembara, MOSTI telah menganjurkan Rehlah Sains 2025 yang merupakan salah satu inisiatif utama khusus untuk anak-anak tahfiz dan sekolah beragama Islam di bandar dan luar bandar bertujuan untuk memastikan akses pembelajaran STI dapat dinikmati secara inklusif.

“Rehlah Sains 2025 telah menjelajah di sekolah – sekolah terpilih di Utara Semenanjung Malaysia yang melibatkan Perlis, Kedah dan Pulau Pinang. MOSTI telah berjaya menjejaki 15 buah sekolah, bermula di Alor Setar, pada 11 Jun 2025 dan berakhir di Pendang, pada 31 Julai lalu,”katanya.

Ujarnya, sepanjang siri jelajah ini, seramai 14,671 peserta telah mendapat manfaat daripada pelbagai aktiviti yang disediakan dan mendapat respon memberangsangkan daripada pelajar, guru dan penduduk setempat menyambut baik dan berharap program seumpama ini diteruskan dan diperluas pada masa hadapan.

“Penganjuran Karnival MSN Zon Utara telah meraikan pemenang Pertandingan Remote Control (RC) Jet Peringkat Kebangsaan 2025 anjuran PSN yang telah diadakan buat kali ketiga dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Malaysia Aeromodeller’s Club (MAC) dan Malaysia Sports Aviation Federation (MSAF).

“Pertandingan ini telah diadakan pada 22 – 25 Oktober 2025 di PSNCWU dengan menerima penyertaan seramai 45 pasukan daripada 34 buah sekolah dari seluruh Malaysia, merupakan usaha proaktif PSN dalam membudayakan STI serta platform bagi peserta untuk berkreativiti dan berinovasi melalui bahan-bahan yang disediakan untuk membina sendiri jet yang berkualiti,”ujarnya lagi.

Tambahnya, MOSTI yakin pendedahan awal ini bukan sahaja meningkatkan kefahaman pelajar tentang peranan STI dalam kehidupan seharian, malah mampu melahirkan generasi inovatif, berdaya saing dan bersedia menyumbang kepada pembangunan negara.-SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat