Amanah dakwa PAS tak setia dengan Muhyiddin, lebihkan UMNO berbanding Bersatu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Posisi goyah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa berpunca daripada sikap PAS yang tidak setia sepenuhnya kepada Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkenaan.

Pendapat sedemikian disuarakan oleh Ahli Jawatankuasa Parti Amanah Negara (Amanah), Faiz Fadzil yang mendakwa, biarpun PAS bersetuju menyertai Perikatan Nasional (PN), parti itu tetap memberi keutamaan kepada Muafakat Nasional (MN) yang diasaskan bersama UMNO.

Faiz dalam satu kenyataan berkata, PAS telah membentuk kerjasama rasmi dengan UMNO sebelum berlaku ‘Langkah Sheraton’ yang membolehkan Muhyiddin diangkat sebagai Perdana Menteri.

“Kedudukan Muhyiddin yang semakin goyang ini sebenarnya bukan hanya kerana permainan politik UMNO, tetapi kerana PAS yang tidak setia sepenuhnya kepada Muhyiddin kerana masih bermain mata dengan UMNO.

“Walaupun PAS memilih untuk turut menyertai PN, tetapi MN masih menjadi keutamaan, maka tidak mustahil UMNO dan Pas sedang merencana strategi baharu untuk memintas Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

“PAS yang beberapa kali mengkhianati gabungan politik sebelum ini, sudah pasti mereka boleh melakukannya sekali lagi,” dakwanya.

Selain itu, Faiz turut mendakwa pengaruh Muhyiddin dalam kalangan rakyat semakin merosot akibat tindakan kerajaan PN mempertahankan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 selepas pulang dari Turki.

“Menteri PAS tersebut dikritik teruk oleh rakyat dan memberikan imej negatif kepada Muhyiddin kerana sikap double standard. Kini, rakyat tidak lagi peduli jika Muhyiddin tersingkir,” ujarnya.

Selain itu, beliau turut mendakwa PAS menyokong permohonan pengisytihatan darurat biarpun sedar tidak wujud keperluan sedemikian di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

Faiz yang juga ADUN Permatang Pasir itu menambah, sikap PAS yang menyokong permohonan pengisytihatan darurat itu antara punca yang menyebabkan Muhyiddin tidak dapat bertahan sebagai Perdana Menteri.

“Jangka hayat Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kini ibarat telur di hujung tanduk. Mampukah Muhyidin bertahan dengan sikap munafik PAS dalam politik ini? Hanya masa yang menentukan,” dakwa Faiz lagi.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat