Oleh Zihan Zari
KUALA LUMPUR – Orang ramai dan peminat seni tempatan berpeluang menyaksikan pameran Kristal Valley, karya instalasi topografi imersif yang unik dari pengkarya muda Jun Ong mulai dipamerkan di Balai Seni Negara, dekat sini sehingga 11 November ini.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Balai Seni Negara memaklumkan, Krystal Valley adalah siri ke lapan dalam Pameran Hanya Satu ‘Single’ yang disokong oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK) 2024.
“Krystal Valley menampilkan landskap futuristik yang menggabungkan elemen imersif dan kristal buatan berkilauan, bertemakan Lembah Klang sebagai inspirasi artis ini.
“Ianya menggambarkan lembah ini bukan sekadar tempat pembuangan, malah kawasan yang kaya dengan mineral,”kata kenyataan itu.
“Dengan memanfaatkan bahan terbuang seperti besi buruk, papan elektronik dan kertas, ianya mempamerkan sebuah monumen yang memperlihatkan kristal tiruan seperti permata berharga.
“Uniknya karya ini diolah menjadi kristal tiruan yang membentuk kolaj tiga dimensi, menyatukan memori serta objek-objek lama milik artis.
“Proses ini memberi nafas baharu kepada objek yang biasa, selain memori silam dihidupkan semula dan mencipta hubungan mendalam antara manusia dengan sejarah dan geologi, ”katanya.
“Proses pembentukan kristal dikenali sebagai penghabluran (crystallization), berlaku apabila molekul dalam cecair mula menyejuk dan mengeras, lalu menghasilkan kristal-kristal kecil yang berkembang apabila lebih banyak atom bergabung,”
“Krystal Valley mempamerkan pelbagai jenis kristal seperti Amethyst (ungu gelap), Fluorite (hijau lut sinar), dan Bismuth (kilauan), yang mudah dikenali melalui warna dan komposisinya.
“Karya ini juga membincangkan tentang industri penyembuhan kristal yang bernilai berbilion ringgit, sama ada ia disukai kerana kecantikan kristal atau memberi manfaat kepada kehidupan manusia.
“Pencahayaan yang digunakan menjadikannya futuristik, sementara suara halus menghubungkan elemen fizikal dan membangkitkan perasaan serta penghayatan yang mendalam terhadap karya ini,”katanya lagi.
“Orang ramai dan peminat seni dijemput untuk merasai pengalaman Krystal Valley dan meneroka instalasi topografi yang luar biasa ini.
“Maklumat lanjut, boleh diikuti di media sosial rasmi artis, Jun Ong (@junihaoni) atau layari laman sesawang www.junong.co dan www.artgallery.gov.my.
“Pelbagai program sokongan yang menarik turut diadakan di sepanjang pameran ini berlangsung dan dibuka setiap hari bermula jam 9 pagi hingga 5 petang dan masuk adalah percuma, ”tambah kenyataan itu.- SUARA.TV