Oleh Zihan Zari
KUALA LUMPUR – Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menegaskan tidak menyokong sebarang perhimpunan mahupun membuat pertemuan dengan kumpulan yang menggelar diri sebagai Gabungan Veteran, Bekas Tentera dan Badan bukan kerajaan (NGO) bagi membincangkan isu pelarasan pencen veteran ATM.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh JHEV ATM memaklumkan, kumpulan tersebut bukan satu institusi berdaftar yang sah dari segi undang-undang atau pihak yang dibenarkan oleh Akta Veteran 2012 (Akta 740) untuk menjalankan aktiviti veteran.
Menurutnya, Akta Veteran 2012 (Akta 740) telah menetapkan bahawa hanya persatuan veteran ATM berdaftar sahaja dibenarkan melaksanakan aktiviti veteran ATM seperti mesyuarat persatuan , perbincangan dan program-program yang memanfaatkan komuniti veteran.
“Jabatan ini membantah dan tidak menyokong perhimpunan ini kerana tidak wajar dilaksanakan dan mencemarkan imej dan nama baik
persatuan-persatuan veteran ATM yang merupakan entiti sah untuk membawa isu-isu veteran.
“Surat bantahan rasmi telah dikemukakan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut, ”kata kenyataan itu lagi. – SUARA.TV