Oleh Zihan Zari
JITRA – KIK My3C muncul naib juara manakala KIK iCMS tempat ketiga yang mewakili Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) bagi kategori inovasi sosial dalam pertandingan Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif Horizon Baharu (KIKHB) 2024 di Politeknik Port Dickson (PPD).
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh POLIMAS, memaklumkan
KIKHB 2024 anjuran Pusat Penyelidikan dan Inovasi (PPI), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) yang berlangsung selama tiga hari telah melabuhkan tirainya baru-baru ini.
Sebanyak 35 penyertaan dari politeknik dan kolej komuniti (POLYCC) seluruh negara telah menyertai konvensyen yang berprestij ini dan majlis penutupnya telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud.
Turut hadir, Exco Kerajaan Negeri Sembilan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Warisan, Teknologi, Inovasi dan Digital Negeri Sembilan, Datuk Mohd Faizal Ramli,
dan Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) JPPKK, Ts. Hj. Muhamad Rumzi Mamat.
Menurut kenyataan itu, KIK My3C dengan inovasinya bertajuk, ‘My Learning and Enjoyment for SPM’ (MyLnE4SPM) oleh enam pensyarah daripada Jabatan Teknologi Maklumat (JTMK) POLIMAS iaitu, Sa’adiah Mohamad, Nur Dini Hashim, Zati Hanani Zainal, Nor Idalaila Aziz, Noorheeza Mohd Zaidin dan Rosnida Baharuddin telah meraih wang tunai bernilai RM1,000.
Manakala, KIK iCMS diwakili oleh Ts. Azimah Ismail, Ts. Izyan Wahida Zainuddin, Ruslinda Karya, Ts. Izza Shafini Zainal Abidin, Hafizoh Hasbullah dan Hasanah Ab Rahim, membawa tajuk ‘iCompEx Management System’ meraih wang tunai RM700.
Ketua Kumpulan KIK My3C, Sa’adiah Mohamad berkata, tidak menyangka bahawa kumpulannya akan muncul sebagai Naib Johan pada pertandingan ini.
“Alhamdulillah, insya-Allah pada tahun hadapan kumpulan kami akan mencuba lagi dengan bersungguh-sungguh untuk menjadi juara dalam pertandingan ini bagi mengharumkan nama POLIMAS, ”katanya.
Pengarah POLIMAS, Rosli Idris, berkata, ianya pencapaian terbaik dan merupakan satu sejarah kerana buat julung kalinya POLIMAS berjaya mendapat emas dan meraih naib juara dan tempat ketiga untuk kategori inovasi sosial.
“Tanpa usaha dan latihan yang bersungguh-sungguh kejayaan ini tidak mungkin akan tercapai dan dikecapi.
“Ini menunjukkan pihak POLIMAS turut cakna dalam memenuhi aspirasi Menteri Pendidikan Tinggi dalam melahirkan tenaga kerja yang berpotensi dan berinovasi dalam merealisasikan transformasi unggul inovasi madani,”ulasnya.
“KIKHB 2024 menjadi platform bagi pensyarah POLYCC untuk menggunakan pendekatan baru dan berbeza dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dalam memberikan perkhidmatan yang lebih berkualiti kepada pelajar,”tambah kenyataan itu.
“Selain itu, mengetengahkan kreativiti dan inovasi terbaik dalam bidang sosial dan perkhidmatan serta menjadi kunci utama dalam memantapkan sistem pendidikan bagi mempersiapkan generasi masa depan yang mampu bersaing di peringkat global, ”tambah kenyataan itu lagi.
Dalam pada itu, KIK MyTarget dari Politeknik Seberang Perai (PSP) muncul juara kali ini, membawa piala serta meraih wang tunai RM2,000. – SUARA.TV