KUALA LUMPUR – Perbahasan Rang Undang-undang (RUU)Pembaharuan Semula Bandar (URA) 2025 ditunda ke mesyuarat Dewan Rakyat akan datang.
RUU tersebut berdepan penolakan kuat daripada wakil rakyat pembangkang dan beberapa dalam kalangan pemerintah, termasuk daripada PKR dan Barisan Nasional.
Pegawai kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming memberitahu bahawa RUU ini tetap dibentang untuk bacaan kedua hari ini, namun perbahasan dan pengundian akan dilakukan pada sidang akan datang, lapor FMT pada Khamis.
Menurut takwim Dewan Rakyat di laman Parlimen, mesyuarat ketiga bagi penggal keempat Parlimen ke-15 tahun 2025 akan bermula 6 Okt dan berakhir pada 4 Dis.
Terdahulu, BN mengumumkan ia bimbang akan RUU URA dan mahu ia ditangguh, disusuli libat urus dengan semua pihak.
Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan mengumumkan pendirian itu selepas bermesyuarat dengan semua Ahli Parlimen BN.
Antara perkara yang beliau bangkitkan, tentang takrif ‘urban’, dan hak golongan yang tidak memberi restu kepada pembangunan semula.



