KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak tidak pernah sekali pun meminta Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sewaktu menjadi Perdana Menteri supaya membebaskan beliau daripada pertuduhan kes di mahkamah.
Ismail Sabri sebaliknya memberitahu, Najib hanya mahu beliau diberikan perbicaraan yang adil.
“Najib tak pernah datang jumpa saya minta dia dibebaskan dari mahkamah, dia (Najib) kata dia hormat keputusan mahkamah.
“Bahkan semasa tandatangan akuan bersumpah (SD) pun tak ada.
“Najib sejak awal tak pernah minta dilepaskan cuma dia minta satu, iaitu beri dia perbicaraan yang adil, itu saja,” dedah Ismail Sabri.
Justeru, Ismail Sabri menganggap keputusan yang diputuskan Mahkamah Tinggi berkait tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC) yang membabitkan Najib itu adalah di luar bidang kuasanya untuk campur tangan.
“Keputusan di Mahkmaha Tinggi adalah paling tinggi, waktu itu kita fikir jauh.
“Kalau mahkamah kita boleh masuk campur, bagaimana persepsi luar? Kononnya mahkamah kita boleh disusun jadi tak ada siapa akan datang melabur di negara kita.
“Pelabur kalau ditipu di sini dia nak hadap ke mana, mahkamah tak boleh pakai Malaysia. Kita bergantung kepada FDI, kalau mahkamah dikawal oleh kerajaan tak ada siapa akan percaya kepada kita.
“Bagi saya dengan Najib, kita bagi perbicaraan yang adil. Orang kata saya masukkan dia dalam penjara, tak betul itu keputusan Mahkamah Tinggi yang menentukan.
“Fakta kes, kenyataan saksi semua orang dah baca, sukar untuk ganggu di mahkamah. Mereka bahkan minta tukar hakim dan peguam negara, jelas gambarkan Umno salah guna kuasa. Mereka tikam saya depan-depan,” kata Ismail Sabri.
Beliau bagaimanapun mengakui sokongan Umno terhadap Najib masih lagi kuat.
Ismail Sabri malah mengemukakan saran agar pimpinan Umno memperjuangkan titah adendum untuk Najib.