KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat seorang ahli politik di negara ini yang didakwa terbabit sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar.
Setiausaha Agungnya, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, modus operandi sindiket ini adalah memperdaya mangsa secara dalam talian dengan menawarkan pekerjaan yang menarik sebelum memaksa mangsa bekerja sebagai `scammer’ penipuan judi secara dalam talian.
Hishamuddin berkata, ahli politik wanita itu adalah bekas ahli parlimen manakala suaminya adalah pesara kakitangan kerajaan.
Katanya, baru-baru ini tular satu video di media sosial pembongkaran sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar bertajuk ‘Neraka Perbatasan: Jejak Mafia Judi Online dan Perbudakan Digital di Asia’ yang diterbitkan di Indonesia.
“Terdapat ramai dalam kalangan rakyat Indonesia yang menjadi mangsa sindiket ini dan secara terang-terangan,” katanya.
Difahamkan ahli politik itu terbabit dalam sindiket berkenaan sejak Mac 2020 dan tular di media sosial baru-baru ini.
Hishamuddin berkata, klip video yang tular berdurasi kira-kira setengah jam itu amat mengejutkan apabila terdapat pembabitan ahli politik Malaysia di dalam kumpulan sindiket itu bersama suaminya.
Beliau mendakwa, berdasarkan video itu, ahli politik wanita itu menyatakan suaminya turut memegang jawatan sebagai pengerusi lembaga pengarah keselamatan yang aktif dalam aktiviti jenayah di Myanmar.
Katanya, syarikat itu membantu membina pusat kegiatan scammer dan pemerdagangan manusia di salah sebuah kawasan dikenali sebagai KK Park di bandar Myawaddy yang dikawal rapi serta mempunyai tembok pagar yang tinggi.
“Tindakan tegas perlu diambil supaya perkara ini dapat dibendung sebelum menjadi lebih parah demi menjaga keselamatan rakyat serta nama baik negara,” katanya.